SENI
Solidariti Artis Kontemporari Malaysia untuk Rakyat Palestin
DATO’ M Nasir turut bersolidariti untuk rakyat Palestin bersama-sama 85 artis veteran dan muda tanah air dalam pameran Colours for Gaza – Pameran Seni Solidariti Kumpulan oleh Artis Kontemporari Malaysia di Galeri Puteh, INC KL Eco City, Bangsar yang berlangsung sehingga 21 November depan.
Pameran anjuran Galeri Puteh Art Management (Galeri Puteh) dengan sokongan Dotty’s, Seni Malaya, Sart Centre, Dinn Diran Studio, dan Masar Visual yang bermula sejak 14 November lalu ini, menampilkan 106 karya dalam bentuk lukisan, dan arca.
Jelas Azrin Mohd dari Galeri Puteh, pameran Colours for Gaza yang beliau kelolakan ini dalam bentuk sumbangsih, dengan objektif membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza, dan Tebing Barat. Alhamdulillah, ada karya yang telah dibeli.
“Semua orang boleh memberikan sumbangan ikhlas dengan membeli karya-karya yang dipamerkan. Galeri Puteh membuka peluang meraih pahala kepada sesiapa sahaja. Enam puluh peratus daripada hasil jualan akan diserahkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin,” jelas Azrin.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebagai tanda keprihatinan tinggi terhadap penderitaan rakyat Palestin dalam tragedi besar yang berlaku sejak 7 Oktober lalu, tambah Azrin, Galeri Puteh kepunyaan seorang artis terkenal/veteran negara tidak mengambil baki empat puluh peratus hasil jualan tersebut.
“Ia diserahkan kepada artis terbabit. Namun begitu, saya terharu apabila ramai dalam kalangan artis tidak mengambilnya. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran setimpal kepada mereka atas pengorbanan besar yang dilakukan,” tambahnya.
Tanah Suci: Kubah al-Sakhra (Dome of the Rock), karya Afiq Sebari (2023).
Artikel dan sajak penulis terbabit dimuatkan dalam buletin The Blank Canvas, edition #04 bertarikh 14 hingga 21 November 2023, terbitan Galeri Puteh (bersempena dengan pameran berkenaan). Artis persembahan dan pengendali projek video pula terlibat semasa resepsi pembukaan pameran tersebut pada 15 November lalu.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Haziq Syawal di samping lukisannya, Fly High.
Ekpresi, karya Dato’ M Nasir.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Selain M Nasir dengan lukisannya yang berjudul Ekpresi dan Darwis Menari (2023), artis veteran yang turut berkarya adalah Ahmad Fuad Osman (October 2023/2023), Awang Damit (roh-roh yang tenang… ingatan buat Sabra dan Shatila, Alfatihah/2023), serta Bayu Utomo Radjikin, dan Jalaini Abu Hassan.
Antara
artis muda kontemporari yang ikut memberikan sumbangan mereka ialah Fakhriq
Zulkifli dengan lukisan berjudul Mekar
lah! (2023), dan Haziq Syawal pula Fly
High (2023). Kerana rakyat Palestin dan pameran berkenaan, Fakhriq dan
Haziq memberitahu mereka mengambil masa lebih kurang seminggu menyiapkan
lukisan masing-masing.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Artis
lain yang turut serta ialah Hidayat Arshad dengan Sesuci Kasturi (2023), Alysha Fahmi (Ardhi Mahroo’a/2023), Hamir Soib (Medal of DisHonored/2023), Amirul Md Noor (Mandalorian Effect/2023), Amy Nazira (Unforgettable Sweetness/2023), Farif Jalil (InsyaAllah, Tembok Zionis Itu Akan Runtuh/2015-2023), Aswad Ameir (Resistance/2023), Azaikmal Rashid (Heart of Palestine/2023), Fendy Zakri (The night groove of Gaza/2023), Hushinaidi
Abdul Hamid (Lorong Sempit/2023), Fuad
Arif (Al-Quds/2023), Nur Khairi
Hamidi (Black Summer/2023), Samsuddin
Wahab (Kuasa Terpendam/2023), Fadzi
Idris (Overtime/2023), Hasanul Isyraf
Idris (Pollinator Of Love/2023),
Raden Hisbullah (Nightcall poethic/2023),
Nooy Xin Yen (It will bloom again/2023),
Sudin Lappo (Pistolan/2021), dan
Nazreen Noor (Made for Palestine/2023).
Lantaran
keadaan di Palestin tidak membaik, dan tempoh pameran berbaki beberapa hari
lagi, masih ada kesempatan untuk kita menghulurkan sumbangan.
Galeri
Puteh dibuka setiap hari kecuali Isnin dan cuti umum, secara percuma dari pukul
10 pagi hingga 7 malam. Pihak galeri juga boleh dihubungi menerusi talian 603
22011922.
- RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments:
Post a Comment