SENI


Solidariti Artis Kontemporari Malaysia untuk Rakyat Palestin


 

DATO’ M Nasir turut bersolidariti untuk rakyat Palestin bersama-sama 85 artis veteran dan muda tanah air dalam pameran Colours for Gaza – Pameran Seni Solidariti Kumpulan oleh Artis Kontemporari Malaysia di Galeri Puteh, INC KL Eco City, Bangsar yang berlangsung sehingga 21 November depan.

 

Pameran anjuran Galeri Puteh Art Management (Galeri Puteh) dengan sokongan Dotty’s, Seni Malaya, Sart Centre, Dinn Diran Studio, dan Masar Visual yang bermula sejak 14 November lalu ini, menampilkan 106 karya dalam bentuk lukisan, dan arca.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Pameran Colours for Gaza di Galeri Puteh, INC KL Eco City dari 14 hingga 21 November 2023.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jelas Azrin Mohd dari Galeri Puteh, pameran Colours for Gaza yang beliau kelolakan ini dalam bentuk sumbangsih, dengan objektif membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza, dan Tebing Barat. Alhamdulillah, ada karya yang telah dibeli.

 

“Semua orang boleh memberikan sumbangan ikhlas dengan membeli karya-karya yang dipamerkan. Galeri Puteh membuka peluang meraih pahala kepada sesiapa sahaja. Enam puluh peratus daripada hasil jualan akan diserahkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin,” jelas Azrin.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


roh-roh yang tenang… ingatan buat Sabra dan Shatila, Alfatihah, karya Awang Damit dalam bentuk isolasi.




Help, karya Ana Alasri (2023).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Silence is Violence II, karya Hirzaq Harris (2023).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebagai tanda keprihatinan tinggi terhadap penderitaan rakyat Palestin dalam tragedi besar yang berlaku sejak 7 Oktober lalu, tambah Azrin, Galeri Puteh kepunyaan seorang artis terkenal/veteran negara tidak mengambil baki empat puluh peratus hasil jualan tersebut.

 

“Ia diserahkan kepada artis terbabit. Namun begitu, saya terharu apabila ramai dalam kalangan artis tidak mengambilnya. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran setimpal kepada mereka atas pengorbanan besar yang dilakukan,” tambahnya.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Azrin Mohd bersyukur pameran yang dianjurkan mendapat sambutan hangat.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Azrin turut bersyukur kerana penganjuran pameran penting ini mendapat sambutan hangat meskipun dirancang hanya dalam masa kira-kira dua minggu. Penglibatan ramai artis, serta dua penulis artikel, lapan penulis sajak, seorang artis persembahan, dan pengendali projek video membuktikannya. 

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                Tanah Suci: Kubah al-Sakhra (Dome of the Rock), karya Afiq Sebari (2023).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Fakhriq Zulkifli dengan lukisannya berjudul Mekar lah!.



Dari kiri; Darwis Menari, karya Dato’ M Nasir, Ardhi Mahroo’a (Alysha Fahmi), Istinggar Mukmin (Abu Bakar Idris), dan Harum (Loqman Zainal) yang kesemuanya pada 2023.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 Artikel dan sajak penulis terbabit dimuatkan dalam buletin The Blank Canvas, edition #04 bertarikh 14 hingga 21 November 2023, terbitan Galeri Puteh (bersempena dengan pameran berkenaan). Artis persembahan dan pengendali projek video pula terlibat semasa resepsi pembukaan pameran tersebut pada 15 November lalu.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                            Haziq Syawal di samping lukisannya, Fly High.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                                            Ekpresi, karya Dato’ M Nasir.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


                                        Darah Syurga
, karya Dzurfazreen (2023).

 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Selain M Nasir dengan lukisannya yang berjudul Ekpresi dan Darwis Menari (2023), artis veteran yang turut berkarya adalah Ahmad Fuad Osman (October 2023/2023), Awang Damit (roh-roh yang tenang… ingatan buat Sabra dan Shatila, Alfatihah/2023), serta Bayu Utomo Radjikin, dan Jalaini Abu Hassan.

 

Antara artis muda kontemporari yang ikut memberikan sumbangan mereka ialah Fakhriq Zulkifli dengan lukisan berjudul Mekar lah! (2023), dan Haziq Syawal pula Fly High (2023). Kerana rakyat Palestin dan pameran berkenaan, Fakhriq dan Haziq memberitahu mereka mengambil masa lebih kurang seminggu menyiapkan lukisan masing-masing.

                                     

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Artis lain yang turut serta ialah Hidayat Arshad dengan Sesuci Kasturi (2023), Alysha Fahmi (Ardhi Mahroo’a/2023), Hamir Soib (Medal of DisHonored/2023), Amirul Md Noor (Mandalorian Effect/2023), Amy Nazira (Unforgettable Sweetness/2023), Farif Jalil (InsyaAllah, Tembok Zionis Itu Akan Runtuh/2015-2023), Aswad Ameir (Resistance/2023), Azaikmal Rashid (Heart of Palestine/2023), Fendy Zakri (The night groove of Gaza/2023), Hushinaidi Abdul Hamid (Lorong Sempit/2023), Fuad Arif (Al-Quds/2023), Nur Khairi Hamidi (Black Summer/2023), Samsuddin Wahab (Kuasa Terpendam/2023), Fadzi Idris (Overtime/2023), Hasanul Isyraf Idris (Pollinator Of Love/2023), Raden Hisbullah (Nightcall poethic/2023), Nooy Xin Yen (It will bloom again/2023), Sudin Lappo (Pistolan/2021), dan Nazreen Noor (Made for Palestine/2023).

 

Lantaran keadaan di Palestin tidak membaik, dan tempoh pameran berbaki beberapa hari lagi, masih ada kesempatan untuk kita menghulurkan sumbangan.

 

Galeri Puteh dibuka setiap hari kecuali Isnin dan cuti umum, secara percuma dari pukul 10 pagi hingga 7 malam. Pihak galeri juga boleh dihubungi menerusi talian 603 22011922.


- RAJA YUSOFF ARIFFIN

 

 

          

 

  

 

No comments:

Powered by Blogger.