Pages

Thursday, 19 October 2023

SASTERA 


Sembilan Resolusi PPNXII Menjelang PPNXIII 2025

 

PRESIDEN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad menegaskan penganjur atau tuan rumah Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) perlu menunjukkan kesungguhan mereka untuk menarik perhatian kerajaan, atau pemerintah memberikan peruntukan.

 

Jika bersikap sambil lewa dan tiada kesungguhan sebagai penganjur, tentulah pemerintah juga tidak berminat. Kalau penganjur sendiri tidak serius, bagaimana mahu mengharapkan kerajaan yang mempunyai banyak tanggungjawab lain pula berminat, dan serius?” ujar beliau dalam nada pertanyaan.

                                                                                

            Selamat tinggal PPNXII dan berjumpa lagi pada PPNXIII tahun 2025.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Dr Saleeh menegaskan sedemikian semasa berbicara sebagai ahli panel terakhir Sidang 6: Pleno - Hala Tuju Pertemuan Penyair Nusantara pada 15 Oktober lalu di Dewan Bankuet, The Grand Campbell Hotel, Jalan Dang Wangi.

 

Sidang tersebut merupakan sidang perbincangan terakhir bagi PPNXII dari 13 hingga 15 Oktober lalu, anjuran PENA bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka, serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), bertemakan ‘Luka. Cinta. Damai’.

***********************************************************************************

   

Dr Mohamad Saleeh Rahamad membentangkan Resolusi PPNXII sebelum penutupan acara berkenaan.

###################################################################################

Turut menjadi ahli panel sidang pleno itu termasuklah Hj Jawawi Ahmad dari Brunei, Samsudin Said (Singapura), Ahmadun Yosy Herfanda (Indonesia), dan Nik Rakib Nik Hassan (Thailand). Pengerusi TV Alhijrah/Timbalan Presiden PENA/Pengarah Urus Setia Tetap, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Mohd Khair Ngadiron sebagai moderator.

 

Gesaan Saleeh itu juga merupakan salah satu resolusi PPNXII yang dibentangkan oleh beliau sendiri selepas menamatkan Sidang 6: Pleno, iaitu para panitia PPN setiap negara perlu meraih sokongan, serta dukungan pihak pemerintah, dan entiti korporat di negara masing-masing untuk mendanai kegiatan PPN.

 

Resolusi lain ialah teknologi digital perlu dimanfaatkan secara silang budaya, dan negara bagi memperluas penyebaran karya; dan panitia PPN perlu menyediakan laman maya yang komunikatif secara khusus dan giat bagi menggerakkan suasana pengkaryaan yang lebih kondusif, mencerdaskan pemikiran, dan kreativiti.

 

Diyakini dua resolusi ini reaksi atau tercetus daripada perbincangan dalam Sidang 3: Forum - Pergelutan Puisi dalam Arus Teknologi pada 14 Oktober, yang menampilkan SM Zakir dan Saifullizan Yahaya dari Malaysia, serta A Razak Panamalae (Thailand), dan Morsidi MH (Brunei) sebagai ahli panel, dengan moderatornya, Dayangku Mastura Pengiran Ismail.

 

Sembilan resolusi tersebut disyorkan sebagai tanda menyedari genre puisi telah berkembang luas, dan merakyat dalam ranah kesusasteraan seluruh masyarakat di gugusan Nusantara, dan menjadi wahana ekspresi estetika, pemikiran, sikap, pandangan dan suara hati pengarang.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

                    

Enam lagi resolusi PPNXII ialah:

-         memilih Jakarta sebagai tuan rumah PPNXIII pada 2025.

-         pada setiap kali PPN, sekurang-kurangnya diterbitkan sebuah antologi puisi khusus PPN oleh tuan rumah.

-         menghormati hak kemerdekaan dan pemilikan warga Rempang, Palestin, dan di mana-mana sahaja demi kemanusiaan sejagat.

-         penyertaan perlu dibuka kepada penulis dengan jumlah yang munasabah mengikut kemampuan tuan rumah.

-         merancang penyediaan dana pengiktirafan kepada karya dan penulis, pada peringkat Nusantara.

-         merancang usaha mewacanakan karya penulis secara lintas negara.

 

Untuk PPNXII, antologi puisi yang diterbitkan berjudul Luka, Cinta, Damai, mengandungi 210 puisi melibatkan penyair lima negara peserta (Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, dan Brunei), terbitan GAPENA dengan kerjasama PENA.


- RAJA YUSOFF ARIFFIN 






No comments:

Post a Comment