Pages

Thursday, 23 November 2023



MUZIK

 

Mainkan Album Bangun Pertama Kali dalam Showcase Bangun 2023

A.C.A.B

 

TAHUN hadapan, kumpulan A.C.A.B menyambut ulang tahun ke-30 penubuhannya. Sebelum tiba ke angka bermakna tersebut, perintis eastern oi! ini bekerja keras menjayakan pelbagai persembahan pentas pada 2023.

 

Kurang dua minggu lagi, A.C.A.B bakal menjayakan showcase khas Bangun untuk meraikan satu-satunya album penuh dalam bahasa Melayunya.

 

‘Bangun Showcase 2023’ anjuran A.C.A.B Productions bakal berlangsung pada 3 Disember depan di Bentley Music Auditorium, Mutiara Damansara, Petaling Jaya bermula jam 3 petang.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



                        Persembahan khas dengan dua lagu oleh A.C.A.B.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sidang media showcase berkenaan di Timeless Studio, Damansara pada 23 November lalu memberitahu bahawa antara band generasi baharu oi! dan punk yang akan turut tampil ialah The Hard Crop’s, Incase dan Combination 69 (Kuala Lumpur), Zero One Heroes (Johor), The Murphys (Melaka), The Boicott (Perak), Oi! Frequency (Selangor), dan set DJ daripada Soul Boss (Kuala Lumpur).

 

Menariknya, ‘Bangun Showcase 2023’ akan menyaksikan A.C.A.B memainkan set penuh daripada album BangunSebahagian daripada trek album ini tidak pernah dipersembah secara langsung. Jadi ini adalah peluang yang dinanti-nantikan oleh peminat-peminat tegar A.C.A.B untuk kembali bernostalgia sewaktu album groundbreaking ini dikeluarkan.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

D                Dato’ Sulaiman Dahlan (berdiri) turut menyampaikan ucapan ringkas.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Album Bangun merupakan evolusi sound A.C.A.B yang menjejak ke arah heavy metal Melayu yang digaul pekat dengan stail eastern oi!, menjadikannya sebuah gerak perubahan (gamechanging move) untuk suasana oi! dan punk tempatan ketika itu.

 

Bangun adalah album yang bermelodik dan agresif serentak, seterusnya membuka mata kepada lebih ramai pendengar baharu.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                                                                             

A.C.A.B dibarisi dari kiri Zeezul Fitri, Edy J Erwan, Max Mohammad, dan Anas Md Noor.

2.  ------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dalam sidang media itu, vokalis/gitaris A.C.A.B, Max Mohammad menyatakan beliau dan kumpulan tidak sabar lagi mahu memainkan Bangun secara keseluruhan buat kali pertama kepada semua peminat.

 

“Ketika album ini terbit pada 2004, saya ke United Kingdom menyambung pelajaran, dan Bangun tak sempat dipromosikan. Tapi, ia tetap mendapat sambutan hangat,” tambah Max.

 

Jadi, selain mahu meraikannya bersama-sama para peminat dengan memainkan album Bangun secara live bersempena dengan usia tiga dekad A.C.A.B pada 2024, ia juga mencatat sejarah bagi semua orang!

 

Turut menghadiri sidang media tersebut adalah pemain gitar, Edy J Erwan; pemain dram, Zeezul Fitri; pemain bass, Anas Md Noor, serta pengasas/pemilik Timeless Studio, Dato’ Sulaiman Dahlan.

 

Mengenai showcase yang akan berlangsung nanti, Dato’ Sulaiman memberitahu A.C.A.B merupakan band pertama di Malaysia yang akan menggunakan sistem bunyi terbaharu dari Jerman, Linear S MK308 LTA.


 

Vokalis/gitaris A.C.A.B, Max Mohammad atau nama sebenarnya, Megat Hafiz Mohammad (berdiri).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 Timeless Studio juga antara syarikat pertama di Malaysia yang ada sistem bunyi terbaharu ini, yang dilancarkan di seluruh dunia bulan lalu. Ia cukup sempurna untuk persembahan secara langsung yang menjanjikan kepuasan kepada penonton kerana dapat mendengar semua bunyi dari A.C.A.B nanti,” jelas beliau.

 

Tambah Sulaiman, beliau berbesar hati dan berbangga dapat bekerjasama dengan A.C.A.B yang juga perintis muzik eastern oi! di Malaysia.

 

A.C.A.B adalah band skinhead, oi! terawal yang ditubuhkan di Malaysia. Dalam kalangan penggemar muzik oi! di sini, mereka adalah fenomena dengan memiliki ramai peminat, sekali gus menjadikan setiap persembahan menarik semuanya,” ujar beliau lagi.        

 

Setakat ini, tiket Early Bird telah habis dijual. Tiket presale masih boleh didapati pada harga RM80, dan juga pembelian secara walk-in pada hari pertunjukan berharga RM99.

 

Tempahan/pembelian tiket boleh dibuat melalui https://acab.ubertickets.asia/.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke 019 6955634 melalui Whatsapp.

 

 

Tentang A.C.A.B

 

Sejarah unit oi!/street rock Kuala Lumpur bertaraf legenda ini dimulakan pada 1994 oleh Max Mohammad, dan Edy J Herwan.

 

A.C.A.B kemudian mengalami beberapa pertukaran ahli di sepanjang aktif bergerak, tetapi cukup berpengaruh pada pergerakan muzik oi! Di Malaysia, baik kepada band-band baharu mahupun para pendengar.

 

Bermula dari demo ‘95 yang keluar melalui Bovver Brigade Records pada 1995, A.C.A.B tidak menoleh ke belakang lagi dengan keluaran-keluaran seperti eastern oi! dan skinhead 4 life yang mengubah landskap muzik oi!/punk tempatan selain mempengaruhi ribuan anak muda untuk mula bermain muzik.

 

Muzik A.C.A.B turut berevolusi pada setiap keluaran yang menyaksikan mereka bermula dengan Oi!/Street Rock/Ska kepada menyelitkan pengaruh Heavy Metal Melayu menjelang era Orang Timur, dan Bangun serta juga menerima pengaruh Indie Rock pada album terakhir mereka (dikenali sebagai The A.C.A.B).

 

Walau bagaimanapun, perubahan ini tidak membuatkan mereka terasing daripada pengikut-pengikut A.C.A.B yang datang dari pelbagai khalayak muzik. A.C.A.B menjadi sebuah band yang benar-benar menyatukan pergerakan muzik underground.

 

 

Pautan:

 

Instagram: https://www.instagram.com/acabmalaysia/

Tik Tok: https://www.tiktok.com/@acabproductions

Facebook: Megat Hafiz Mohammad (Max Hafiz)

Email: acabmalaysia@gmail.com


- RAJA YUSOFF ARIFFIN


                                 


Friday, 17 November 2023

 

SENI


Solidariti Artis Kontemporari Malaysia untuk Rakyat Palestin


 

DATO’ M Nasir turut bersolidariti untuk rakyat Palestin bersama-sama 85 artis veteran dan muda tanah air dalam pameran Colours for Gaza – Pameran Seni Solidariti Kumpulan oleh Artis Kontemporari Malaysia di Galeri Puteh, INC KL Eco City, Bangsar yang berlangsung sehingga 21 November depan.

 

Pameran anjuran Galeri Puteh Art Management (Galeri Puteh) dengan sokongan Dotty’s, Seni Malaya, Sart Centre, Dinn Diran Studio, dan Masar Visual yang bermula sejak 14 November lalu ini, menampilkan 106 karya dalam bentuk lukisan, dan arca.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Pameran Colours for Gaza di Galeri Puteh, INC KL Eco City dari 14 hingga 21 November 2023.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jelas Azrin Mohd dari Galeri Puteh, pameran Colours for Gaza yang beliau kelolakan ini dalam bentuk sumbangsih, dengan objektif membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza, dan Tebing Barat. Alhamdulillah, ada karya yang telah dibeli.

 

“Semua orang boleh memberikan sumbangan ikhlas dengan membeli karya-karya yang dipamerkan. Galeri Puteh membuka peluang meraih pahala kepada sesiapa sahaja. Enam puluh peratus daripada hasil jualan akan diserahkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin,” jelas Azrin.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


roh-roh yang tenang… ingatan buat Sabra dan Shatila, Alfatihah, karya Awang Damit dalam bentuk isolasi.




Help, karya Ana Alasri (2023).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Silence is Violence II, karya Hirzaq Harris (2023).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebagai tanda keprihatinan tinggi terhadap penderitaan rakyat Palestin dalam tragedi besar yang berlaku sejak 7 Oktober lalu, tambah Azrin, Galeri Puteh kepunyaan seorang artis terkenal/veteran negara tidak mengambil baki empat puluh peratus hasil jualan tersebut.

 

“Ia diserahkan kepada artis terbabit. Namun begitu, saya terharu apabila ramai dalam kalangan artis tidak mengambilnya. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran setimpal kepada mereka atas pengorbanan besar yang dilakukan,” tambahnya.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Azrin Mohd bersyukur pameran yang dianjurkan mendapat sambutan hangat.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Azrin turut bersyukur kerana penganjuran pameran penting ini mendapat sambutan hangat meskipun dirancang hanya dalam masa kira-kira dua minggu. Penglibatan ramai artis, serta dua penulis artikel, lapan penulis sajak, seorang artis persembahan, dan pengendali projek video membuktikannya. 

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                Tanah Suci: Kubah al-Sakhra (Dome of the Rock), karya Afiq Sebari (2023).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Fakhriq Zulkifli dengan lukisannya berjudul Mekar lah!.



Dari kiri; Darwis Menari, karya Dato’ M Nasir, Ardhi Mahroo’a (Alysha Fahmi), Istinggar Mukmin (Abu Bakar Idris), dan Harum (Loqman Zainal) yang kesemuanya pada 2023.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 Artikel dan sajak penulis terbabit dimuatkan dalam buletin The Blank Canvas, edition #04 bertarikh 14 hingga 21 November 2023, terbitan Galeri Puteh (bersempena dengan pameran berkenaan). Artis persembahan dan pengendali projek video pula terlibat semasa resepsi pembukaan pameran tersebut pada 15 November lalu.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                            Haziq Syawal di samping lukisannya, Fly High.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                                            Ekpresi, karya Dato’ M Nasir.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


                                        Darah Syurga
, karya Dzurfazreen (2023).

 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Selain M Nasir dengan lukisannya yang berjudul Ekpresi dan Darwis Menari (2023), artis veteran yang turut berkarya adalah Ahmad Fuad Osman (October 2023/2023), Awang Damit (roh-roh yang tenang… ingatan buat Sabra dan Shatila, Alfatihah/2023), serta Bayu Utomo Radjikin, dan Jalaini Abu Hassan.

 

Antara artis muda kontemporari yang ikut memberikan sumbangan mereka ialah Fakhriq Zulkifli dengan lukisan berjudul Mekar lah! (2023), dan Haziq Syawal pula Fly High (2023). Kerana rakyat Palestin dan pameran berkenaan, Fakhriq dan Haziq memberitahu mereka mengambil masa lebih kurang seminggu menyiapkan lukisan masing-masing.

                                     

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Artis lain yang turut serta ialah Hidayat Arshad dengan Sesuci Kasturi (2023), Alysha Fahmi (Ardhi Mahroo’a/2023), Hamir Soib (Medal of DisHonored/2023), Amirul Md Noor (Mandalorian Effect/2023), Amy Nazira (Unforgettable Sweetness/2023), Farif Jalil (InsyaAllah, Tembok Zionis Itu Akan Runtuh/2015-2023), Aswad Ameir (Resistance/2023), Azaikmal Rashid (Heart of Palestine/2023), Fendy Zakri (The night groove of Gaza/2023), Hushinaidi Abdul Hamid (Lorong Sempit/2023), Fuad Arif (Al-Quds/2023), Nur Khairi Hamidi (Black Summer/2023), Samsuddin Wahab (Kuasa Terpendam/2023), Fadzi Idris (Overtime/2023), Hasanul Isyraf Idris (Pollinator Of Love/2023), Raden Hisbullah (Nightcall poethic/2023), Nooy Xin Yen (It will bloom again/2023), Sudin Lappo (Pistolan/2021), dan Nazreen Noor (Made for Palestine/2023).

 

Lantaran keadaan di Palestin tidak membaik, dan tempoh pameran berbaki beberapa hari lagi, masih ada kesempatan untuk kita menghulurkan sumbangan.

 

Galeri Puteh dibuka setiap hari kecuali Isnin dan cuti umum, secara percuma dari pukul 10 pagi hingga 7 malam. Pihak galeri juga boleh dihubungi menerusi talian 603 22011922.


- RAJA YUSOFF ARIFFIN

 

 

          

 

  

 

PELANCONGAN 


Apam Beras Kuala Kegemaran Sultan Perak 

 

PAMERAN Makanan Terkenal Kuale: Himpunan Makanan Tradisi Menarik yang Terdapat di Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan berlangsung di Perpustakaan Awam Cawangan Utama Kuala Kangsar (PACUKK) sejak 1 Ogos lalu.

 

Pameran anjuran bersama PACUKK dan Kerajaan Negeri Perak ini menampilkan maklumat mengenai makanan-makanan tradisi yang terkenal di kawasan Kuala Kangsar seperti rendang tok, rendang pedas, daging dendeng, gulai tempoyak, ikan pekasam, lemang, laksa, wajik, bahulu, putu Perak, popia, apam, halwa, limas, dan cendol, berserta direktori penjual dan lokasi kedai, atau gerai jualan makanan tersebut yang boleh diimbas.

 

Rendang tok adalah antara makanan tradisi Perak yang sangat terkenal. Pameran ini memaparkan rendang tok hasil masakan Yeop, yang sering dijadikan antara lauk kegemaran semasa kenduri kendara, atau majlis perkahwinan.

 

Masyarakat Melayu di Lembah Sungai Perak dari Kuala Kangsar ke Teluk Intan memang menggemarinya. Daging untuk masakan ini dipotong berbentuk kiub sebesar kira-kira 3.3 cm x 3.3 cm. Penyediaannya mengambil masa yang agak lama. Selain dijadikan lauk semasa kenduri, ia turut menjadi juadah Hari Raya yang enak dimakan dengan lemang, dan ketupat.

 

Rendang pedas yang aromanya menyelerakan dipercayai berasal dari Negeri Sembilan dalam kalangan masyarakat Minangkabau. Oleh kerana setiap daerah di Malaysia ada hidangan rendang yang tersendiri, resepinya di pelbagai agar dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.


                                Pameran tanpa bayaran masuk.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------




Pameran ini memaparkan Rendang Daging Tok dan Rendang Daging Mak Pah Stesen Keretapi Kuala Kangsar.

 

Daging dendeng atau rendang dendeng berasal dari Indonesia. Pada zaman dahulu, ia selalu dibawa oleh pengembara atau perajurit semasa peperangan, sebagai bekalan makanan mereka, kerana daging dendeng boleh bertahan lama di luar tanpa perlu dipanaskan.

 

Pameran ini memaparkan Daging Dendeng Cik daripada Almarhum Raja Intan Suraya Almarhum Sultan Iskandar. Raja Intan Suraya mendapatkan resepinya daripada bonda Almarhumah, iaitu Raja Perempuan Kelsom.

 

Tempoyak yang memang amat popular di Perak dibuat daripada isi buah durian yang diasingkan daripada bijinya, dan ditambah dengan sedikit garam, serta disimpan selama tiga hingga lima hari dalam suhu bilik untuk proses penapaian. Dalam pameran ini, ditampilkan gulai tempoyak Yeop Helmi Lembah.




Kuih Penganan Pulo yang kembali menarik perhatian.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                            Antara cara penyediaan kuih Penganan Pulo.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Apam Beras Kuala yang digelar ‘apam diraja’ kerana turut digemari Sultan Perak terdahulu dan sekarang, serta kerabat sebagai hidangan ringan dimakan dengan kelapa parut.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pekasam merupakan sejenis makanan peram tradisi yang terkenal, dan tahan lama di Malaysia. Ia merupakan satu cara mengekalkan makanan (lazimnya ikan) menggunakan banyak garam (atau asam), dan mampu untuk menghasilkan pekasam yang mampu bertahan lama (antara lapan bulan hingga setahun).

 

Makanan ini amat popular di negeri utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Negeri Perak terkenal dengan perusahaan pekasam ikan air tawar, terutamanya selepas pembinaan Empangan Tasik Cenderuh, yang membekalkan ikan air tawar bagi penghasilan pekasam.

 

Ikan pekasam tidak lagi dipandang sebagai menu kampung kerana pasarannya telah menembusi peringkat antarabangsa. Pekasam daerah ini ada keenakan tersendiri kerana kebanyakannya dihasilkan menggunakan ikan lama yang banyak terdapat dalam Sungai Perak.


 __________________________________________________________________________________

Pekasam yang dipaparkan dalam pameran ini adalah Pekasam Tradisi Lenggong yang memang layak kerana pernah dinobatkan sebagai produk terbaik sejak tahun 2004 sebagai keluaran makanan tradisional masyarakat Melayu, dan kini telah dikenali hingga ke negara luar.

 

Lemang memang merupakan makanan tradisional yang popular. Di Malaysia, ia terkenal sejak tahun 1864, yang juga merupakan makanan kegemaran bagi penduduk asli dari suku Negrito dan suku Semai. Dipercayai cara memasak lemang berasal daripada cara memasak nasi oleh orang asli.

 

Pameran Makanan Terkenal Kuale: Himpunan Makanan Tradisi Menarik yang Terdapat di Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan ni menampilkan Lemang Pak Uda, Liman Kati.     

 

Sementara itu, Laksa Sarang, Warung Telaga dan Laksa Pokok Limau adalah pengusaha laksa yang ditampilkan dalam pameran ini.

 

Warung Telaga, Kuala Kangsar dimiliki Mohd Azami Mohd Said yang berniaga sejak sekitar tahun 2016. Selain amat terkenal dalam kalangan penduduk tempatan, pengunjung luar dan pelancong asing turut berkunjung ke sini kerana suasananya yang dikelilingi pemandangan sawah padi, dan kelapa sawit cukup santai dan menyenangkan.

 

Nama Warung Telaga diinspirasikan daripada telaga berusia 100 tahun milik arwah ibunya yang terletak berdekatan warung tersebut. Warung berkonsepkan ‘retro’ yang dihiasi barang-barang lama, serta antik di dalam dan di luarnya telah menarik minat pengunjung mengambil gambar, dan lain-lain.

 

Laksa Pokok Limau antara makanan tradisi yang terkenal di Perak, terutamanya di daerah Kuala Kangsar. Ia adalah makanan tempatan Malaysia yang popular, serta unik di daerah berkenaan kerana dibuat sendiri menggunakan tepung gandum, dan kuahnya sedikit cair berbanding kuah laksa di negeri-negeri lain.

 

Laksa ini terletak di Kota Lama Kiri, berhampiran bandar Kuala Kangsar. Kedainya hanya di pinggir jalan dengan satu papan tanda besar yang mudah dilihat. Berita mengenainya juga pernah tersiar dalam rancangan Jom Terokai Perak yang dihoskan oleh Maria Tunku Sabri.

 

Wajik pula antara manisan tradisional Melayu sejak beratus tahun dahulu. Sebagaimana lemang, dodol, dan ubi rebus, wajik menjadi makanan sewaktu zaman perang dulu-dulu, kerana semasa peperangan, makanan yang akan dibawa, dan disimpan adalah yang tidak mudah basi.

 

Manisan yang diperbuat daripada beras pulut, santan, dan dimaniskan dengan gula ini amat popular semasa musim perayaan, atau majlis perkahwinan kerana rasanya. Ia makanan adat yang perlu ada dalam kalangan masyarakat Perak. Wajik yang dipaparkan dalam pameran ini adalah Wajik Kak Long.

 

Sementara itu, maklumat mengenai Bahulu Warisan Cik Kiah, Kg Guar Manong dan Bahulu Kak Long dipaparkan dalam pameran ini.

 

Pembuatan kuih bahulu secara tradisional, iaitu menggnakan bara api dari dapur kayu, serta sabut kelapa diusahakan oleh Rokiah Kulop Malodin di Kampung Guar, Manong, Kuala Kangsar.

 

Lebih mesra disapa sebagai ‘Cik Kiah’, Rokiah mengakui amat sibuk menghasilkan lebih 1,500 biji bahulu sehari, serta telah dikomersial dengan jenama ‘Warisan Cik Kiah’ untuk memenuhi permintaan pelanggan jauh dan dekat.

 

Cik Kiah turut menghasilkan bahulu kemboja, putu kacang dan kuih karas menggunakan kaedah serupa sejak lebih 20 tahun lalu, dengan bantuan ahli keluarga, mengikut tempahan yang biasanya meningkat menjelang perayaan.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

                                     

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Putu Perak yang berasaskan beras yang telah dikisar halus, digaul  dengan tepung beras, tepung pulut, air dan gula kastor serta sedikit kelapa parut, dan gula pasir sebagai intinya ini amat terkenal di Perak.

 

Ia dikukus di dalam acuan khas mirip bentuk acuan kuih bahulu, yang boleh didapati di Kuala Kangsar, Taiping, Lenggong, Ipoh dan daerah-daerah lain. Pameran ini menampilkan Putu Perak Karai.

 

Popia Stesen Lembah yang dipaparkan dalam pameran ini diasaskan oleh Allahyarham Puan Norrihan Abdullah pada sekitar 1980. Dinamakan Popia Stesen kerana gerainya berdekatan dengan Stesen Kereta api Kuala Kangsar. Sebuah lagi cawangannya terletak di kawasan Lembah, Kuala Kangsar.

 

Sementara itu, Popia Omar Orang Lama yang gerainya di tapak pasar malam Jumaat, Kuala Kangsar mula terkenal sejak tahun 1982. Diwarisi dua generasi keluarganya, popia yang ada dua jenis, iaitu basah dan kering ini menjadi antara daya penarik menu warga Kuala Kangsar kerana sangat enak.

 

Apam Pasang atau Apam Beras Kuala adalah kuih tradisional yang hanya ada di Kuala Kangsar, hingga digelar ‘apam diraja’ kerana turut digemari Sultan Perak terdahulu dan sekarang, serta kerabat sebagai hidangan ringan.

 

Sebanyak 70 biji apam ini dikukus serentak di dalam loyang bertingkat-tingkat selama 20 hingga 30 minit. Lapan kilogram tapai nasi dan tepung beras digunakan setiap hari untuk menyediakan apam pasang.

 

Apam Pasang Kuala tradisi tidak dicampur ragi. Jadi, ia boleh disimpan antara dua hingga tiga hari tanpa perubahan warna atau rasa – tidak basi. Pameran ini menampilkan Apam Beras, Lembah.

 

Halwa betik adalah antara produk daripada buah betik (carica papaya) yang merupakan sejenis produk tradisional sejak dahulu. Semasa perayaan seperti Hari Raya, gubahan untuk hantaran perkahwinan dan rombongan marhabban dari rumah ke rumah seluruh kampung, halwa betik adalah antara kuih yang digilai kanak-kanak kerana lazat, dan sangat manis.

 

Paling menarik mengenai halwa ialah warna dan bentuknya yang unik. Halwa betik ini perlu ditempah kerana pembuatannya yang rumit dan teliti. Ia boleh didapati, terutama di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar seperti yang dipaparkan dalam pameran ini.

 

Juadah lain yang turut dipaparkan dalam pameran ini adalah Cendol Mustafa, Medan Lembah; Penganan Pulo, Kampung Bendang Kering; dan Kopi Mat Rezeki.

     

Pameran Makanan Terkenal Kuale: Himpunan Makanan Tradisi Menarik yang Terdapat di Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan berlangsung setiap hari, kecuali Ahad dan cuti umum dari jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang.


- RAJA YUSOFF ARIFFIN