Sastera Budaya - Karyawan harap menteri selesaikan krisis

Karyawan harap menteri selesaikan krisis

Sebagaimana belum ada sebarang kenyataan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamad Din Ketapi mengenai seni dan budaya negara sejak dilantik memegang jawatan, demikianlah tiada rumusan konkrit yang dapat dibuat oleh Sembang Seni bertajuk ‘Hala Seni dalam Konteks Malaysia Baru’ di Rumah Seni Selangor, Petaling Jaya baru-baru ini.
Kekesalan salah seorang ahli panel dan kekecewaan seorang peserta memang tiada jawapan. Penggiat seni budaya, Hasmi Hashim kesal kerana tiada persoalan mengenai seni dan budaya dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen sejak 16 Julai lalu.
Seorang peserta lantang dan berterus-terang menyatakan kekecewaannya kerana kementerian berkaitan seni dan budaya lambat ditubuhkan. Dia berterus-terang gembira kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang, tetapi kecewa kerana selepas beberapa minggu menunggu, akhirnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya – pelancongan masih bersama-sama, serta di hadapan seni dan budaya.
Peserta itu turut menyebut cadangan banyak seniman/budayawan agar Perdana Menteri menubuhkan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, atau Kementerian Pendidikan, Seni dan Budaya. Ditambah dengan tokoh yang dilantik menerajui kementerian yang ‘entah siapa-siapa’, peserta itu agak emosi apabila mengatakan dia tidak mahu menjadi pembangkang seumur hidup – kembali menjadi pembangkang kerana isu tersebut.
Ada seniman/budayawan yang meragui kemampuan Datuk Mohamad Din dan timbalannya, Mohammad Bakhtiar Wan Chik. Setakat ini, saya dapati Mohamaddin hanya mengeluarkan kenyataan mengenai cukai yang dikenakan kepada pelancong untuk menyewa hotel di Sabah.
Walaupun memang sah menyebelahi kerajaan HARAPAN, dan pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 12 dan PRU13, Hasmi mengatakan kekesalannya terhadap apa yang berlaku. Dia bimbang, kerana dalam tempoh 100 hari kerajaan HARAPAN, isu seni dan budaya terus dipandang sepi, krisis era 1980-an akan berulang.
Hasmi tidak menafikan ada seniman yang berani terlibat dalam gerakan menentang kerajaan ketika itu walaupun tidak dapat menikmati ‘kemanisan’ sebagaimana yang ahli politik kecapi.
Pada penghujung era 1990-an atau lebih tepatnya, 1998, Hasmi mengatakan seniman 1998 bergerak dengan batang tubuh mereka. Cuma masalahnya, mereka dianggap tidak berguna kepada masyarakat.
Menurut Hasmi, dia berusia 22 tahun ketika menyertai demonstrasi menentang kerajaan BN – yang lebih sinomim dengan laungan ‘Reformasi’. Dia merasakan ada yang tidak kena dengan pentadbiran kerajaan dalam bidang seni dan budaya.
Selepas 20 tahun, muncul pula ‘Malaysia Baharu’ meskipun ada yang mengatakan tiada baharu atau lama. Meskipun banyak yang terkejut dan masih sedemikian sehingga kini, Hasmi menganggap peristiwa selepas 9 Mei 2018 hanya perubahan biasa, bukan ‘revolusi senyap’. Namakan apa sahaja, katanya – sebagai contoh, ‘Arab Spring’, peralihan kerajaan bukan perkara aneh kerana banyak negara mengalaminya, malah berkali-kali. Ia hanya menjadi luar biasa di Malaysia kerana tidak pernah mengalaminya – BN berkuasa sejak 1956 – bermula dari Perikatan.
Namun begitu, sambil tidak menyenangi keadaan yang berlaku, Hasmi berpendapat tiga menteri kabinet HARAPAN boleh bergabung menyelesaikan krisis – sebahagian, kalau pun tidak dapat sepenuhnya. Selain Mohamad Din, dua lagi ialah Dr Maszlee Malik (Menteri Pendidikan), dan Gobind Singh Deo (Menteri Komunikasi dan Multimedia).
Mohamad Din, Maszlee, dan Gobind, jelas Hasmi, boleh bertemu sambil minum petang untuk berbincang menyelesaikan masalah.
Walaupun bukan rumusan, pandangan dan cadangan itu harus diberikan perhatian, dan barangkali boleh diusahakan. Mungkin sukar, tetapi tidak salah untuk mencuba.
Mengenai pengkaryaan, sebesar mana pun kuasa yang dimilikinya, tegas Hasmi, kerajaan tidak boleh mencampuri hal pengkaryaan seniman. Cuma, karyawan juga perlu sedar mereka tidak boleh melanggar etika masyarakat, dan batasan agama.
Hasmi turut merujuk Perdana Menteri New Zealand yang merupakan seorang wanita. Katanya, tokoh itu juga mengurus portfolio kebudayaan. Kebiasaannya, perdana menteri turut memegang kementerian lain seperti dalam negeri dan/ataupun kewangan. Ini, katanya, menunjukkan betapa seni budaya dipandang tinggi di negara itu berbanding negara kita.
Apabila ditanya, Hasmi tidak menafikan ada juga negara lain yang ‘benak’ dalam seni dan budaya. Adakah Malaysia mencontohi negara berkenaan (walaupun tidak wajar)?
Masalahnya, menurut Hasmi, yang tidak dinafikan mengganggu ialah HARAPAN kerajaan baharu yang berfikiran lama. Selain itu, tiada pula pendidikan ‘luar pagar’, iaitu seni dan budaya yang mampu membentuk jati diri.
Selain itu, kerajaan masih tidak memahami walaupun hal berkenaan telah dijeritkan sejak dua dekad lalu. Hasmi hairan mengapa kerajaan masih tidak faham? Sengaja atau memang tidak tahu?
Mengenai parti politik yang memikirkan soal seni dan budaya, Hasmi hanya nampak Gerakan dan Parti Keadilan Rakyat sahaja yang sedemikian. Katanya, kedua parti itu bersedia menerima dari luar, sambil mempertahan dari dalam.
Walau bagaimanapun, dari segi pemimpin yang berkuasa untuk melaksanakan aspirasi seni dan budaya, Hasmi melihat Menteri Besar Terengganu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (agama) telah menyebutkannya.
Barangkali hanya inikah sahaja yang boleh karyawan tanah air harapkan, atau harapan tinggal harapan?
Sembang seni itu turut dijayakan oleh kurator, Badrolhisham Tahir, dan pelukis, Sharon Chin. Kurator/pelukis, Intan Rafiza Abu Bakar bertindak sebagai pemudah cara.
Badrolhisham berasa tidak selesa kerana isu yang dibincangkan sudah usang dan berpenyakit yang sama. Baginya, tarikh 10 Mei lalu hanya menyaksikan kerajaan yang berubah. Sehingga kini, keadaan atau iklim bagi seni dan budaya tanah air masih sama.
Saya bersetuju dengan kata-kata Badrolhisham bahawa budaya ialah perkara harian. Menurutnya, Allahyarham Ismail Zain pernah mengatakan perlu ada kealiman dalam seni. Kealiman itu bermaksud memiliki ilmu untuk berkarya.
Dalam hal penapisan karya, Badrolhisham mengatakan tiada kebebasan bersuara di negara kita. Namun demikian, dia menasihatkan agar seniman tidak menunggu kerana HARAPAN juga akan ada penapisannya sendiri. Dia berharap tiada penapisan yang mengarut, walaupun penapisan sekarang, katanya, tidak begitu ketat. Yang penting, jangan ada seniman yang jumud sebelum penapisan wujud.

No comments:

Powered by Blogger.