SASTERA BUDAYA

BERKHUTBAH DAPAT RM48 JUTA!
BAGAIMANA agaknya mesej/dakwah dalam Munafik 2 mahu atau cuba disampaikan selain secara berkhutbah? Antara masalah utama filem Melayu Malaysia sekian lama ialah menyampaikan pesanan menerusi dialog panjang lebar atau paparan ayat berjela-jela pada visual. Krisis tersebut tidak mengira sama ada pengarah atau penulis lakon layar lama, baharu, dan penerima anugerah besar perfileman.
Berkat doa dan semangat gigihnya, Syamsul menebus kekecewaan dengan KL Gangster 2 (2013), lantas meraih kejayaan besar dalam kerjayanya sebagai seorang pengarah/karyawan apabila memenangi anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (2016) buat kali ketiga (di samping mengungguli kategori Filem Terbaik Nasional) menerusi filem Munafik (2016).
Syamsul turut merangkul anugerah Pengarah Filem Terbaik Anugerah Skrin 2016. Namun demikian, kejayaan terbesarnya ialah memenangi anugerah Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-57 2017.
Munafik 2 telah berada di pawagam mulai 30 Ogos lalu. Ia mengisahkan perjuangan Ustaz Adam (lakonan Syamsul sendiri) yang menghadapi kumpulan ajaran sesat pimpinan Abu Jar (Nasir Bilal Khan), dan cuba menyelamatkan Sakinah (Maya Karin), ibu tunggal kepada seorang anak perempuan, Aina (Nur Zara Sofia) daripada kejahatan lelaki tersebut.
Sebenarnya, Sakinah ialah bekas isteri Abu Jar. Dia menuntut cerai kerana Abu Jar telah menyeleweng, dan mengembangkan ajaran sesat dengan kelebihan penggunaan sihir – merasuk para penentangnya sehingga sakit dan mati, termasuk Imam Malik (Roslan Salleh), ayah Sakinah. Meskipun setelah Imam Malik lama mati, Abu Jar memasukkan sihir ke dalam jasad agamawan tersebut sebagai penghinaan, dan menakut-nakutkan penduduk kampung.
Ustaz Azhar (Asmawi Ani), kawan baik Ustaz Adam turut ditinggalkan oleh isterinya kerana termakan hasutan ajaran sesat Abu Jar. Asmawi atau lebih dikenali sebagai Mawi, juara Akademi Fantasia 3 (2005) pernah berduet dengan Syamsul menerusi lagu ‘Kalah dalam Menang’ (Munafik) dan ‘Bukan Propaganda’ (Desolasi). Muzik ditata oleh Sky Productions Extreme Music, sementara Rahimi Mahidin mengarahkan sinematografi.
Mawi berganding dengan Syamsul (kali ketiga) menyanyikan lagu tema Munafik 2, ‘Kerana Dunia’ (melodi ciptaan Syamsul, dan lirik oleh Dr Anwar Fazal, sepupu Syamsul).
Ustaz Adam yang masih dihantui kematian Maria (Nabila Huda) dalam Munafik, berusaha menentang Abu Jar kerana diminta oleh Ustaz Azhar membantu Sakinah, dan Imam Malik. Mungkin ada yang bertanya Ustaz Adam mahu membela Islam atau membela Sakinah? Walau bagaimanapun, nama Sakinah itu amat bermakna. Begitu juga dengan Adam – simbolik Islam.
Filem ialah karya visual. Namun demikian, bukan pula bermakna ia tiada dialog langsung. Cuma, yang perlu sentiasa diingati ialah visualnya lebih utama. Menyampaikan mesejnya lebih menerusi visual/bahasa filem, dan/atau dialog yang berpatutan.
Adakah Munafik 2 menampilkan dialog yang berlebih-lebihan? Ia bercorak seram, malah dianggap lebih seram selain penambahan unsur Islam, dan dakwah berbanding Munafik. Banyak persoalan terjawab. Justeru, Munafik 2 yang berdurasi 121 minit dianggap lebih daripada sekadar filem seram.
Filem seram Islamik biasanya menampilkan agamawan, sama ada watak utama atau pembantu. Ada agamawan, pasti ada adegan bersyarah/bercakap banyak atau dalam perkataan lain, berkhutbah.
Berbanding Munafik, saya dapati Munafik 2 menggunakan formula klise – protagonis menentang antagonis, yang akhirnya protagonis menang. Lantaran itu, saya rasa lebih ‘gembira’ menonton Munafik 2. Cuma, kerana lebih cenderung pada bahasa filem, saya agak resah semasa watak, terutamanya Ustaz Adam bercakap (berkhutbah).
Itu tetap dirasai walaupun menurut Syamsul, dia menangis ketika melakukan suntingan kerana unsur dakwah Munafik 2 diilhamkan daripada kisah Nabi Muhammad saw, dan negara Islam yang ditindas. Dia mahu penonton merasai ajaran Islam yang dibawa menerusi beberapa watak lama, dan baharu dalam filem itu.
Draf pertama skrip Munafik 2 disiapkan pada Ogos 2016. Walau bagaimanapun, Syamsul terpaksa merombaknya kerana merasakan ia tersasar.
Ada yang berpendapat, filem tiada mesej kerana ia bukan peti surat. Namun demikian, perkara tersirat tetap ada sama ada disedari atau tidak/disukai ataupun sebaliknya.
Al-Quran turut menyebut antara golongan yang paling teruk dikeji Allah ialah ulama yang tidak amanah, dan mengharapkan habuan dunia.
Antara siratan yang dapat saya kesan ialah dalam kata-kata Umar (Fauzi Nawawi), orang kanan Abu Jar. Umar angkuh meminta orang kampung melihat, dan mengagumi kekuasaan/kegagahan/kemegahan Abu Jar.
Walau bagaimanapun, itu hanya khayalan Umar/Abu Jar sahaja kerana pada pada visual, penonton nampak markas Abu Jar daif dan usang (Kellie’s Castle, Batu Gajah, Perak sebagai lokasi). Ke mana sahaja pergi di persekitaran kampung, Abu Jar dan konco-konconya hanya berjalan kaki walaupun kaya-raya.
Selain Batu Gajah, penggambaran (selama 60 hari) mulai 20 Mac 2017 dijalankan di Kuala Lumpur, dan Lembah Kelang, termasuk Lembah Kinta, Perak dan Kuantan, Pahang tamat pada 18 Mei 2017.
Itu menunjukkan Abu Jar munafik dan berbohong. Dia bukan menggunakan ajaran sebenar Islam, tetapi sihir sehingga para pengikut dan orang kampung nampak markasnya hebat dan agam. Pengikut/orang kampung tidak peduli Abu Jar tiada kenderaan mewah/mahal. Abu Jar mendakwa dia menegakkan Islam, tetapi meminum darah dan tubuhnya bercacah, amalan yang dilarang oleh Islam, selain menghalalkan perzinaan apabila membenarkan Umar dan konco-konconya memperkosa Sakinah beramai-ramai.
Pun begitu, saya tidak menafikan barangkali Syamsul cuba lari daripada klise dalam filem atau drama televisyen Melayu, iaitu watak kaya-raya serta sangat berkuasa mesti memiliki rumah besar, dan kereta mewah. Jika benar begitu, ia satu percubaan yang baik kerana sekali gus menunjukkan kerancuan jiwa Abu Jar.
Abu Jar serta pengikutnya memakai jubah labuh/besar dan bercelak. Dikatakan itu mengikut sunnah Nabi Muhammad. Hal tersebut juga merupakan masalah dalam karya sastera berunsur Islam, iaitu watak warak mesti memakai jubah dan bercelak. Namun demikian, saya melihat itu sebagai menyindir orang Melayu yang menjadi lebih Arab daripada Arab jika warak (sedangkan malangnya, banyak orang Arab yang ‘jahanam’ Islam mereka). Tidak mengikut sunnah namanya jika syariat sudah punah. Hipokrasi!
Syamsul sendiri ‘menyerang balas’ hal itu menerusi penampilan Ustaz Adam yang ringkas hanya berkupiah dan berjubah tanpa cindai berbelit-belit sehingga mencekik leher.       
Hukum karma selalu ada dalam mana-mana karya sastera. Meskipun klise, tidak mengapa jika membawa kebaikan. Umar mati terbakar pada penghujung cerita. Abu Jar menemui ajal dalam keadaan yang mengerikan. Markasnya runtuh dan dia mati tertimbus dinding batu-bata ketika asyik menyeksa Ustaz Adam. Abu Jar yang berbangga dengan kekuasaan dan mencabar kuasa Allah, akhirnya mati ditimpa ‘kemegahannya’ yang palsu. Dia menyangka Ustaz Adam cuba melawan sihirnya, sedangkan agamawan muda itu berdoa, bukan bersihir.
Kebolehan Sakinah beradu tenaga dan berjaya membunuh banyak konco Abu Jar dengan kapaknya menunjukkan dia sanggup/berupaya mempertahankan anaknya. Itu melambatkan dia dan Aina ditawan oleh Abu Jar, meskipun akhirnya tewas dan tertawan kerana gagal mengatasi Umar yang lebih handal.
Umar yang gagah bergasak digunakan oleh Abu Jar untuk kepentingan dirinya. Secara tersirat, Syamsul yang juga penulis skrip menyelar orang yang menggunakan ilmu seni mempertahankan diri untuk membela penjahat dan kejahatan. Umar juga tanpa belas kasihan membelasah Ustaz Adam, dan ayah guru agama itu, Pak Rahim (Datuk Rahim Razali).
Pemaparan Ustaz Adam yang tidak pandai bertarung mungkin untuk meraih simpati penonton. Jika dia gagah, perasaan penonton menjadi sebaliknya. Itu juga untuk menjelaskan hanya Allah yang mampu membantu. Ustaz Adam tidak jemu berdoa juga menunjukkan doa ialah senjata mukmin. Jadi, umat Islam perlu sentiasa berdoa untuk memohon kebaikan, perlindungan, dan bantuan.
Sedangkan Rasulullah saw pun terkena sihir, apatah lagi agamawan biasa seperti Imam Malik, dan Ustaz Adam. Justeru, kita perlu sentiasa berwaspada, dan membentengi diri dengan nilai-nilai sejati ajaran Islam. Keikhlasan dan kejujuran yang memang amat bertentangan dengan kepura-puraan juga sangat penting.
Azman (Datuk Fizz Fairuz) munafik kerana mengkhianati Ustaz Adam yang juga kawan baiknya. Dia mengaku membunuh Maria dan menjadi saksi (memfitnah) Ustaz Adam memperkosa Sakinah.
Walau bagaimanapun, kebaikan masih ada dalam dirinya ketika melihat Ustaz Adam diseksa oleh Abu Jar. Dia sempat memohon maaf daripada rakannya itu, dan bertaubat sebelum lari menyelamatkan diri daripada bencana Allah yang menimpa Abu Jar.
Ada yang bertanya mengapa kata-kata/dialog semasa pertarungan protagonis (Ustaz Adam) dengan antagonis (syaitan yang merasuk diri Imam Malik, Sakinah dan Ustaz Adam sendiri) dalam bahasa Arab, berbeza dengan filem Indonesia yang berbahasa kebangsaan. Ingin diingatkan bahawa antaranya ialah ayat al-Quran yang diangkat menjadi doa – lebih afdal dan beraura dalam bahasa Arab, sebagaimana bacaan dalam solat.
Meskipun Ustaz Azhar dan Sakinah mati, itu bukan petanda kebaikan atau pihak yang baik tewas. Mereka hanya manusia biasa seperti kita yang tidak hidup selama-lamanya. Namun begitu, mereka ialah lambang pejuang Islam yang mahu membela Islam – manusia mati, tetapi Islam terus hidup sehingga hari kiamat.
Seperkara lain yang mahu disentuh ialah watak wanita iblis (Weni Panca, pelakon Indonesia). Munafik 2 yang menelan biaya RM2.8 juta ialah filem seram Melayu Malaysia dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, kenapa wanita iblis bertutur dalam loghat Indonesia?
Usahlah itu semata-mata kerana mahu menembusi pasaran Indonesia. Pelakon jelita Indonesia, Dian Sastrowardoyo, yang terkenal dengan filem Ada Apa Dengan Cinta? (2002) turut membintangi untuk pasaran Indonesia. Namun demikian, bagi promosi di Indonesia, Syamsul memilih Weni.
Ustaz Adam dikatakan munafik. Dia didakwa oleh penduduk kampung dan wanita iblis bukan membela Islam, tetapi melindungi/menyelamatkan dirinya. Bukankah jika seseorang umat itu membela/memelihara Islam, Allah akan membela/melindunginya?
Munafik 2 yang juga filem ke-10 arahan Syamsul turut ditayangkan di Indonesia, selain Singapura, dan Brunei Darussalam. Syamsul pernah mengumumkan Munafik 2 bakal ditayangkan pada awal tahun. Apabila terlewat, banyak yang mula bertanya, terutamanya peminat di Indonesia. Munafik 2 menemui peminat di Indonesia seminggu selepas tayangan di Malaysia. Cuma, tayangan di Singapura dan Brunei Darussalam sahaja serentak.
Lantaran Munafik menjadi filem Melayu terlaris di dua negara berkenaan, lebih banyak pawagam dibuka untuk Munafik 2. Di negara kita ada 130 pawagam.
Munafik 2 menarik minat Thailand, Vietnam dan Kemboja. Indonesia mahukan Munafik 2 selepas melihat kejayaan Munafik di negara itu pada 2016. Untuk pasaran Indonesia, Munafik 2 ditayangkan di lebih 100 pawagam mulai penghujung September.
Menurut Syamsul, tiga negara itu bersetuju menerima Munafik 2 selepas menonton treler rasmi yang sudah dimuat naik ke laman Youtube, dan Facebook. Katanya, mereka pada awalnya mahu melihat poster dan jalan cerita filem bergenre seram Islam itu sebelum


















No comments:

Powered by Blogger.