SASTERA BUDAYA

ANTI KULIT HITAM ATAU TAK PERASAN?

Kelihatan aman tenteram dalam kejiranan tempat Starr Carter (Amandla Stenberg), 16, tinggal, Gardern Heights walaupun dikawal oleh pengedar dadah, King Lords (Anthony Mackie).
Suasana persekitaran/perjalanan sekolah persendirian, Williamson Prep. juga nampak sentosa tanpa masalah perkauman, samseng, dan buli. Semua pelajar tanpa mengira warna kulit bergaul dengan baik - riang, mesra, dan saling menghormati. Tiada siapa pun menyangka keadaan tersebut akan bertukar huru-hara.
Starr dapat menyesuaikan dirinya menjalani kehidupan dua dunia - penduduk miskin, kebanyakannya berkulit hitam di Gardern Heights, dengan penduduk berada, kebanyakannya berkulit putih di Williamson Prep, sekolah dia belajar.
Walau bagaimanapun, kesejahteraan itu tergugat selepas Starr menyaksikan rakan baiknya sejak bayi, Khalil Harris (Algee Smith) mati ditembak oleh seorang anggota polis berkulit putih semasa mereka dalam perjalanan pulang dari sebuah parti pada suatu malam.
Starr berubah sikap dan trauma dengan kejadian itu (tambahan pula semasa kanak-kanak, dia pernah menyaksikan rakan perempuannya yang ditembak mati semasa mereka bermain bola keranjang - cuma penembaknya pemuda berkulit hitam). Dia menjadi pembenci, dan marah-marah.
Kurang jelas apa kesalahan Khalil sehingga anggota polis itu menahan kereta yang dia dan Starr naiki.
Starr tidak nampak apa kesalahan Khalil (barangkali Khalil tidak menyalakan lampu isyarat keretanya ketika memasuki lorong. Mungkin juga dia memandu di lorong yang salah).
Kemudian tiga das tembakan yang membunuh pemuda itu membuat dia marah - sikat rambut yang diambil oleh Khalil disangka sebagai pistol oleh anggota polis tersebut.
Starr mempertikaikan adakah anggota polis itu benar-benar tidak nampak sikat rambut tersebut, atau memang anti kulit hitam.
Gadis manis itu bingung dan tersepit kerana teman lelakinya, Chris (KJ Apa) yang sama sekolah, berkulit putih. Dua orang rakan baiknya di sekolah itu, Hailey (Sabrina Carpenter) dan Maya (Megan Lawless) juga berkulit putih, dan ayah saudaranya, Carlos (Common), anggota polis (detektif), berkulit hitam.
Ayah Starr, Maverick Carter (Russell Hornsby) terkejut anak gadisnya itu bercinta dengan Chris. Dia juga terkejut kerana isterinya, Lisa (Regina Hall), dan anak lelakinya, Seven (Lamar Johnson) sudah lama tahu, tetapi berahsia.
Entah kerana cinta, atau tidak perkauman, Starr membantah ayahnya dengan mengatakan Chris ialah teman lelaki, bukan teman lelaki berkulit putih - ayahnya sangsi dan kelihatan tidak senang.
Sejak tragedi Khalil juga merenggangkan diri/bertelagah dengan Carlos - kerana jawatan/kerja birasnya itu.
Kematian Khalil menjadi berita utama. Identiti Starr sebagai saksi dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Persetujuan Starr diwawancara di televisyen dan membuat pengakuan di hadapan juri utama setelah dicadangkan oleh peguam hak awam untuk meredakan keadaan.
Namun demikian, keadaan menjadi parah kerana sambil mempertahankan Khalil semasa wawancara - wajah Starr dikaburkan, dia menyebut nama King. Lantas King mengugut Starr dan keluarganya. Mereka terpaksa berpindah ke rumah Carlos.
Walau bagaimanapun, Maverick yang pernah menjadi penghuni penjara tiga tahun akibat aktiviti dengan kumpulan King, enggan tinggal di rumah Carlos (Seven menemaninya di rumah mereka).
Maverick mengusahakan kedai runcit di Garden Heights selepas bebas. Dia dibenarkan "cuci tangan" oleh King kerana "jasa"nya menghalang King diberkas.
Kebencian di kejiranan Starr merebak selepas juri utama gagal mendakwa anggota polis penembak Khalil. Demonstrasi dan bantahan jalanan tercetus.
Keadaan itu memaksa Starr menampilkan dirinya sebagai saksi kematian Khalil. Itu merenggangkan hubungannya dengan Hailey, malah Chris.
Dia mendapat sokongan aktivis berslogan "Just Us Justice", April Oprah (Issa Rae) untuk bersuara.
Hubungan Starr-Hailey putus kerana Starr merasakan Hailey berpura-pura menyokong, padahal bersikap perkauman.
The Hate U Give yang berklasifikasi PG-13 dan berdurasi 133 minit diadaptasi daripada novel dewasa berjudul serupa, karya Angie Thomas.
Novel tersebut diterbitkan oleh Brizer + Bray pada 28 Februari 2017. Ia menduduki tempat pertama novel terlaris dalam senarai tersebut di The New York Times selama 50 minggu, serta menerima ulasan positif, dan memenangi beberapa anugerah.
Ia juga merupakan novel pertama Thomas yang dikembangkan daripada cerpen yang ditulis semasa di kolej, ekoran kejadian pegawai polis menembak mati Oscar Grant.

SukaTunjukkan lagi reaksi

No comments:

Powered by Blogger.