SASTERA BUDAYA

DBP SUDAH LEBIH ENAM DEKAD!


DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 22 Jun 1956, kira-kira setahun sebelum kemerdekaan negara kita yang ketika itu dipanggil Tanah Melayu (Malaya).
Tarikh tersebut merupakan detik bersejarah apabila sebuah institusi ulung bahasa di negara ini ditubuhkan di selatan tanah air, manifestasi daripada Kongres Bahasa, dan Persuratan Melayu III.
DBP sebagai gapura ilmu, yang lahir daripada kesaktian lidah rakyat terus memperjuangkan kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia institusi yang bergerak dengan tiga sayap utama, iaitu bahasa, sastera dan penerbitan dalam memenuhi matlamat penubuhannya untuk membina, serta mengembangkan bahasa, dan persuratan Melayu.
Pada 21 Jun lalu di Balai Budaya, Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik merasmikan sambutan ulang tahun penubuhan DBP yang ke-63.
Dalam mendepani cabaran semasa, sambutan kali ini mendukung aspirasi peremajaan, pendigitalan, dan pengantarabangsaan DBP dalam memastikan kelangsungan kewujudannya.
Setakat ini, DBP telah menerbitkan lebih 500 judul digital termasuk majalah, kamus dan ensiklopedia. Pada masa ini, judul terbitan berkenaan boleh dicapai menerusi rakan niaga DBP, iaitu portal E-Sentral, dan Bookcapital dalam format ePub, dan PDF.
Sebanyak 11 judul majalah terbitan DBP kini memasuki era digital, iaitu majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam, Pelita Bahasa, dan Tunas Cipta.
DBP juga telah menerbitkan e-buku interaktif kanak-kanak dalam bentuk aplikasi yang boleh dicapai melalui Google Play. Terbitan tersebut berkonsepkan didik hibur yang mengandungi unsur hiperaktif, animasi, dan lagu. Diharapkan inisiatif ini dapat memastikan bahasa Melayu dikembangkan secara meluas.
Selain itu, untuk merancakkan industri penerbitan buku dan industri kreatif, DBP telah bekerjasama dengan stesen televisyen tempatan bagi mengangkat karya sastera melalui adaptasi novel terbitan DBP ke bentuk telefilem, dan drama bersiri seperti di RTM, drama ‘Platun Harimau’ (2011), telefilem ’Hari-hari Terakhir Seorang Seniman’ (2013) diAstro, drama bersiri ‘Kemboja di Hati’ (2016) di TV Alhijrah, telefilem ‘Bening Cahaya Maulid (2016) di TV3, dan untuk siaran RTM, ‘Srengenge’ (2017), dan  telefilem ‘Sesekali’ (2019).
Selain Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Dato’ Padilah Haji Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shaharudin, antara tetamu kehormat yang turut menghadiri majlis sambutan itu termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (Bahagian Pengurusan), Dato’ Kamal Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Pendidikan, Mohamad Azhan Md Amin; Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Ilani Mohamad Ibrahim; Timbalan Duta Besar Iran, Abdol Ali Maktabi Fard; Sasterawan Negara (SN) Dato’ Seri (Dr) A Samad Said, Prof Dr Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr Anwar Ridhwan, Dato’ (Dr) Baharuddin Zainal (Baha Zain), dan Datuk Dr Zurinah Hassan, serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah DBP.
Dalam ucapannya, Dr Maszlee gembira kerana buku-buku terbitan DBP kini boleh didapati dalam bentuk e-Book sebagai tanda mengikut peredaran zaman, dengan memanfaatkan teknologi baharu.
Sebagai responsnya terhadap ucapan terima kasih Datuk Abang Sallehuddin kerana beliau menyayangi DBP, Maszlee mengatakan sayang atau tidak, hal-ehwal DBP tetap sentiasa dibawa olehya semasa sidang Dewan Rakyat.
Maszlee berharap dan meminta DBP agar menjadi sebuah badan yang berintegriti. Sehubungan itu, kata beliau, DBP perlukan penjenamaan semula.
Menariknya, Maszlee menggunakan istilah ‘satu keharaman’ jika DBP tidak berubah kerana kerajaan yang memerintah Malaysia sudah berubah – Malaysia Baharu.
Walau bagaimanapun, dalam beraneka cabaran dan tantangan yang perlu/terpaksa dihadapi, Maszlee yakin DBP akan mampu berubah dalam masa terdekat. Untuk itu, DBP perlu berubah dari ‘atas’. Setiap warga kerja DBP, tegas beliau, jangan melihat/menganggap diri masing-masing hanya sebagai pekerja. Mereka perlu sedar mereka sebenarnya ialah wira, dan kesatria sastera budaya bahasa negara. Untuk itu juga, tegas Maszlee, ‘tajdid sikap’ perlu ada dalam diri setiap warga kerja DBP.
DBP, tambah Maszlee, memang berperanan besar dalam menjayakan matlamat mengangkat Malaysia menjadi Negara Pembaca pada 2030.
Seperkara yang menarik juga, Maszlee menggesa agar DBP menjadi badan penghalalan bahasa, iaitu dalam aspek penggunaan bahasa Melayu yang tepat/betul. Kata beliau, jika makanan dan minuman tempatan ada tanda halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, kenapa tidak ada tanda halal bagi bahasa Melayu daripada DBP! DBP perlu menjadi pengawal/penjaga standard bahasa Melayu di negara ini.
Mengenai kehadiran SN di UA yang memang dibawa/diundang oleh pihak tersebut, Maszlee turut mengatakan tidak memadai dengan hanya kehadiran ‘manusia berharga’ itu. Tegas beliau, SN yang dibawa ke UA perlu diberikan elaun khas sebagai penghargaan terhadap taraf, dan ilmu/pengalaman mereka.
Maszlee turut menyatakan beliau akan berusaha mengatur pertemuan SN dengan Kementerian Kewangan untuk urusan pemberian imbalan jasa kepada mereka. Tujuan tersebut, kata Maszlee untuk mengelakkan anggapan seolah-olah SN yang meminta. Kata beliau, selagi masih menjadi Menteri Pendidikan, beliau akan berusaha/cuba mengatur pertemuan itu.
Abang Sallehuddin pula dalam ucapan beliau menegaskan kesungguhan DBP untuk kembali ke landasan yang betul, dan mengulangi kegemilangan lalu, serta menjadi lebih baik.
Beliau menyatakan penghargaan DBP terhadap segala teguran dan ‘kemarahan’ Menteri Pendidikan Malaysia. Menegur dan marah itu ialah tanda Maszlee menyayangi DBP.
Sebaliknya, Sallehuddin menyatakan kebimbangan jika Maszlee tidak lagi mempedulikan DBP. Beliau sangat bimbang perkara itu berlaku!
Dalam ucapan beliau juga, Sallehuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang sentiasa menyokong DBP dalam segala usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.
Beliau berharap keprihatinan dan sokongan ini akan berterusan bagi memastikan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus terpelihara.
Majlis Sambutan Ulang Tahun itu dimulakan dengan pendeklamasian sajak berjudul ‘Suara dari Dinding Dewan’ yang pedas/panas, bertenaga, dan masih relevan oleh SN Datuk Seri A Samad atau Pak Samad (walaupun dihasilkan pada era 90-an).
Selain itu, tayangan video DBP dalam Era Malaysia Baharu turut dipersembahkan untuk tontonan para hadirin.
Maszlee juga diberi penghormatan melancarkan Terbitan Digital DBP, dan menyempurnakan sesi penyerahan sumbangan buku DBP. Selain itu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman DBP-Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), serta Majlis Menandatangani Surat Hasrat DBP-RTM-Syarikat Mache AllStar United Sdn Bhd (Penerbitan adaptasi novel Korban Kasih 1 dan 2), dan DBP-Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (Pertukaran Pelajar Malaysia-China).
 


Dewan Bahasa dan Pustaka Mahu Kembali Berwibawa

Di sepanjang  63 tahun penubuhannya, DBP telah melalui pelbagai bentuk penubuhan dan tranformasi. Mulai pertengahan 2018, transformasi yang dilalui DBP ialah pada tahap anjakan halaju maksimum. Semuanya terhasil daripada sokongan dan dukungan berterusan daripada Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik yang ingin melihat DBP terus cemerlang dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, serta gagasan beliau yang mahu melihat bahasa Melayu terus gemilang sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa pemersatu, malah gah di persada antarabangsa sebagai salah satu bahasa utama dunia.
Mulai 2018, DBP telah giat menggerakkan program berstatus nasional seperti Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan, yang tercetus menerusi idea, dan gagasan Dr Maszlee. Program ini merupakan penjenamaan semula program Bulan Bahasa Kebangsaan dan Kempen Membaca yang pernah dilaksanakan, dan merupakan antara program awal yang diperkenalkan oleh beliau selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.
Di bawah pimpinan Maszlee, usaha untuk terus melonjakkan kecemerlangan DBP dilaksanakan menerusi kajian semula Akta DBP yang memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, dan pengantarabangsaan bahasa Melayu, serta pemberian kuasa bagi penubuhan perbadanan, selaras dengan hasrat dan aspirasi beliau.
Kajian semula Akta DBP ini diharap akan memberi dampak positif dalam usaha DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, malah akan turut memberi dampak positif dalam usaha DBP mengantarabangsakannya.
DBP yakin usaha murni ini pasti akan mencapai kejayaan, terutamanya menerusi restu, dan sokongan dalam bantuk kewangan daripada kementerian. Kemahuan/tekad politik (political will) itu amat penting bagi menjamin kejayaan, serta keberkesanan sesuatu dasar atau program yang dilaksanakan oleh mana-mana agensi kerajaan.
Dasar merupakan sesuatu asas, panduan, keputusan atau aturan yang digubal oleh kerajaan bagi mencapai matlamat/objektif tertentu. Justeru, dengan mengambil kira pengalaman serta wibawa DBP, Maszlee sekali lagi telah memberikan tanggungjawab kepada DBP untuk mengkaji semula Dasar Buku Negara, serta menggubal suatu dasar baharu, iaitu Dasar Sastera Kebangsaan.
Amanah tersebut dapat DBP sempurnakan dalam jangka masa yang diberikan. Penggubalan kedua-dua dasar ini telah memberikan pengalaman berharga kepada pihak Ketua Pengarah dan pasukan kerja DBP kerana mereka perlu menyempurnakan tugasan berstatus nasional ini dalam jangka waktu yang singkat dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
Dalam mendepani cabaran masa hadapan, DBP perlu terus berevolusi dan mengadaptasi dengan cepat kepada perubahan, untuk terus kekal relevan. Melihat kepada keperluan ini, serta bagi menyahut saranan Menteri Pendidikan Malaysia yang amat menitikberatkan tentang perkembangan dunia digital, DBP telah menggerakkan transformasi digital yang akan menjadikan ‘DBP Organisasi Digital’.
Usaha pendigitalan DBP ini telah dimulakan seawal 2000, khususnya dalam usaha merakyatkan penyampaian perkhidmatan. Bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan cepat, cekap, berkualiti, proaktif, dan responsif, DBP telah mewujudkan rangkaian perkhidmatan seperti Sistem Bahasa Melayu Bersepadu (SBMB), Khidmat Nasihat DBP (KNDBP), Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Portal i-Pintar, Gerbang Kata, dan kedai buku maya DBPNiaga yang berupaya memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan digital.
Mulai 2019, DBP terus meneroka dunia digital, khususnya dalam fungsi penerbitan menerusi penerbitan majalah digital yang dirasmikan pada 21 Jun lalu, dan penerbitan buku digital, serta interaktif.
Keupayaan DBP dalam penerbitan digital ini diharap mampu membantu kementerian khususnya dalam merealisasikan penerbitan digital buku teks yang akan memasuki Gelombang Ketiga Penerbitan Buku Teks Digital (2021-2025), dan seterusnya menyokong aspirasi, serta matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dunia pendidikan pada era digital ini memerlukan anjakan yang ketara dalam teknik dan kaedah pengajaran, dan pembelajaran. Atas kepentingan ini serta dengan mengambil kira aspirasi Maszlee, kaedah pembelajaran campuran (blended learning) akan dilaksanakan oleh DBP. Menerusi kaedah ini, DBP akan membangunkan sistem pembelajaran bahasa Melayu secara dalam talian.
Pembelajaran secara dalam talian ini akan digabungkan dengan kaedah pembelajaran secara tradisional yang dilaksanakan oleh Akademi DBP. Menerusi kaedah ini, DBP akan berupaya meneroka lebih ramai calon pelajar bahasa Melayu, sama ada dalam mahupun di luar negara, serta DBP akan mampu membentuk program-program baharu yang turut memberi manfaat kepada kumpulan khusus seperti orang kelainan upaya (OKU).
Memang tidak dapat dinafikan peranan Sasterawan Negara (SN) dalam membentuk peradaban, dan ketamadunan negara, dan salah satu peranan SN ialah dalam membentuk nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Berdasarkan idea dan saranan Menteri Pendidikan Malaysia, bagi memastikan jiwa nurani generasi muda disuntik dengan cita rasa, dan kasih kepada kesusasteraan kebangsaan, program SN di universiti awam (UA) dan sekolah-sekolah telah mula dipergiatkan pada 2019. Jika sebelum ini SN hanya didekati oleh kumpulan dan kelompok tertentu sahaja, idea yang dicetuskan oleh Maszlee ini berupaya mendekatkan remaja, belia dan pelajar sekolah dengan SN. Usaha murni ini diharap akan terus dipergiat, dan diperluas ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Selain itu, usaha pembentukan peradaban dan ketamadunan negara, khususnya dalam bidang kesusasteraan turut dipergiat menerusi pelbagai aktiviti keilmuan dengan SN di Anjung DBP, serta menerusi program eksplorasi, dan eksperimentasi persembahan di Stor Teater DBP.
     

No comments:

Powered by Blogger.