SASTERA BUDAYA


BUSUK DAHULU SEBELUM WANGI



JIKA mampu mencetuskan pelbagai persoalan di minda penonton dalam 10 minit awal durasinya, sesebuah filem itu dianggap baik, dan menarik.
Mengapa/bagaimana Khuzairi (Sharnaaz Ahmad) boleh berubah dari lemah-lembut bersopan/berhemah kepada ganas, dan kejam sehingga membunuh Bella (Nabila Huda), dan Azlan (Syazwan Zulkifli), teman lelaki Bella, malah isterinya sendiri, Nor (Erra Fazira)! Ini persoalan yang paling besar dalam filem Wangi yang telah memulakan tayangannya di seluruh negara pada 5 September 2019.
Bella ialah adik angkat Nor. Penonton dapat melihat Khuzairi begitu berhemah dalam
pergaulan/kehidupan harian dengan keluarganya dari awal durasi lagi. Tidak berlebih-lebihan jika dikatakan ucapan salam olehnya ‘paling lembut dalam dunia’.
Kita tertakluk pada hukum sebab dan akibat bagi setiap perkara (kecuali kalau kehendak Allah SWT). Mustahil Khuzairi menjadi ganas tanpa sebab kukuh. Tiada tanda/punca perlakuan Khuzairi itu yang boleh/dapat meyakinkan penonton Wangi. Malang sekali kalau persoalan tersebut menjadi sandaran Mohd Latiff Zami untuk filem arahannya yang keenam ini ‘pecah panggung.
Namun demikian, Latiff tidak bersalah jika Wangi gagal di pawagam. Barangkali ia tidak patut dibangkitkan kerana itu seolah-olah menunjukkan kebodohan sendiri sebagai

penonton. Walau bagaimanapun, ia menjejaskan Wangi.
Oleh sebab ada kesempatan, ditanyakan juga kepada mereka yang berkenaan. Memang bukan salah pembikinnya, tetapi angkara Lembaga Penapis Filem (LPF).
Sharnaaz mengatakan Khuzairi berubah mendadak kerana dia takut/tidak sanggup kehilangan semua kekayaan yang dimiliki jika Nor mengetahui skandalnya dengan Bella. Namun demikian, jawapan itu tidak mantap.
Penjelasan Latiff bahawa adegan Khuzairi memukul ayahnya ketika kanak-kanak pada penghujung durasi yang telah dipotong oleh LPF yang menjawab segala persoalan.
LPF memberi alasan bahawa adegan keganasan oleh kanak-kanak tidak wajar dipaparkan. Ia tetap dengan keputusan meskipun Latiff telah memberi penjelasan.
Malanglah pihak berwajib kurang arif dengan soal tersebut, sedangkan adegan itu membuka kunci kekeliruan. Sementelah pula adegan Khuzairi ketika kanak-kanak itu ada hubungan dengan pertanyaan mengapa judul filem ini Wangi. Penonton yang tahap tafsirannya rendah tidak akan tahu mengapa. Demikian juga dengan pengkritik mentah. Sebaliknya, penonton dan pengkritik yang berinterpretasi tahap tinggi boleh faham sendiri.
Walau bagaimanapun, peluang bertanya elok dimanfaatkan. Wangi sebenarnya merupakan siratan bagi keinginan pembikin untuk disampaikan kepada penonton/pengkritik.
Khiri (Nik Muhammad Adam Mikael) anak istimewa berusia tujuh tahun, skandal Khuzairi-Bella, dan keganasan Khuzairi ialah keburukan yang keterbalikannya diingini oleh semua orang, dan diistilahkan sebagai ‘wangi’ yang bererti kebaikan/keindahan.
Dalam hal ini, saya teringat pada kata-kata pelakon veteran Dato’ Baharuddin Haji Omar, iaitu jika kita mahu mencari yang baik, paparkan dahulu keburukan (dalam filem dan drama televisyen/radio). Ia merupakan penyampaian mesej secara tersirat, dan falsafah tinggi.
Memang kita/penonton tidak dapat lari daripada logik dalam kehidupan, dan logik dalam cerita filem. Walaupun aneh dan sukar diterima akal, misteri kehilangan Bella terjawab apabila roh Bella sendiri memberitahu (memanggil-manggil nama Nor) Nor jasadnya diletakkan di belakang sebuah lukisan pada dinding oleh Khuzairi. Jika mengikut logik dalam dan luar filem, bau mayat Bella dapat dihidu oleh Nor (malah siapa sahaja, lebih-lebih lagi bau mayat memang paling busuk), apatah lagi dia menjenguk ke dalam lubang di belakang lukisan itu. Namun demikian, reaksi Nor biasa sahaja.
Penonton juga dapat melihat kepura-puraan Khuzairi, dan Bella. Sebagaimana yang Azlan nyatakan sambil marah-marah kepada Khuzairi sebelum dia dibunuh oleh lelaki itu, skandal Khuzairi-Bella bermula selepas hari pengebumian ibu Bella (Ruminah Sidek). Khuzairi dan Bella ‘berlakon’ di hadapan Nor, ibu Nor (Mak Wan), dan Khiri. Besar dosa mereka – berzina dan berpura-pura.
Hukum karma dikatakan tiada dalam Islam, tetapi pembalasan terhadap Khuzairi tetap dipaparkan. Dalam adegan semasa kredit (satu pembaharuan kerana biasanya adegan selepas kredit?), Khuzairi dibunuh oleh Mia (Mia Nasir), isteri baharunya. Tubuhnya pula dibalut dengan plastik seperti yang pernah dilakukan olehnya terhadap Azlan, dan Nor.
Kalau pembikin ingin menjawab persoalan identiti Khuzairi dalam filem, saya fikir lebih baik diterbitkan prekuel Wangi, bukan sekuel kerana Khuzairi sudah mati.



No comments:

Powered by Blogger.