SASTERA BUDAYA

PAMERAN ANGKAT GENRE SENI ISLAM

CITI Jeleha Yousoff merupakan artis kaligrafi Islam yang pertama dari Malaysia yang mendapat tunjuk ajar, dan ‘ijazah’ (pengiktirafan) daripada ‘Reis ul-Hattatin’, guru tunggal Khat Uthmaniah - Hassan Celebi di Turki dalam penulisan kaligrafi gaya Nasakh, dan
Thuluth.
Pameran ‘Oleh Tangan yang Berkata Citi Yousoff’ di Galeri Potret Balai Seni Negara (BSN) mulai 20 Ogos lalu sehingga 20 September depan mengangkat genre kesenian Islam yang mempamerkan 30 karya terbaik hasil gabungan pengalaman, dan penglibatan Citi Yousoff dalam bidang seni kaligrafi, seni tradisi Islam termasuk seni ukiran batu, kayu dan seni artis kontemporari.
Kesemuanya ditampilkan dalam pameran ini menerusi tujuh skrip berlainan, iaitu Jali
Thuluth, Thuluth, Nasakh, Jali Diwani, Diwani, dan Ijazat. Citi Yousoff merupakan artis yang memegang kuat prinsip-prinsip khat tradisional yang dipelajari, dan tidak terkeluar daripada batas asalnya.
Pameran ‘Oleh Tangan yang Berkata Citi Yousoff’ dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu biografi artis sebagai penulis kaligrafi wanita, karya-karya beliau, dan cara pembelajaran tradisi seni khat Uthmaniah yang masih hidup pada zaman ini bersama-sama paparan alat, dan bahan yang beliau gunakan untuk menyiapkan karyanya.
Citi Yousoff menggunakan pelbagai medium bagi menghasilkan karya seperti kanvas, kayu, dan batu. Kemahiran beliau bereksperimentasi dengan pelbagai permukaan bahan, serta teknik penghasilan tulisan kaligrafi merupakan anugerah yang tidak dimiliki oleh ramai penulis, terutamanya wanita.
Bersempena dengan pameran ini, sebuah katalog diterbitkan untuk diwariskan kepada generasi pelapis hari ini, dan masa depan Malaysia.
Pada 10 September 2019 lalu telah diadakan majlis perasmian ‘Pameran Oleh
Tangan yang Berkata Citi Yousoff’ di BSN. Majlis tersebut disempurnakan oleh Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin (Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia). Selain Citi Yousoff, turut hadir ialah Zanita Anuar (Kurator Kanan BSN).
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Prof Dr Azizan berkata, gabungan pengalaman dan penglibatan Citi Yousoff yang diutilasi dengan kepelbagaian penyampain menjadikan karya beliau begitu mempesonakan.
Tambah Dr Azizan, Islam mengajak kita menghargai, dan menikmati keindahan, dan menerusinya memberi panduan kepada para seniman Malaysia untuk berdaya kreatif, sejajar dengan prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam prinsip ketiga, iaitu ‘Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan’.
Menurut beliau lagi, para seniman Malaysia turut menjadikan prinsip ini dalam mengenengahkan konsep karya mereka.
Dr Azizan berharap para seniman Malaysia akan sentiasa memperjuangkan kesenian Islam yang menjadi salah satu unsur penting dalam pembentukan identiti negara kita. Peranan kesenian Islam dalam kita mentauhidkan Allah, tambah beliau, dengan berlandaskan falsafah seni Islam melalui kebenaran, keindahan dan kebaikan ialah penting dalam pengkaryaan oleh para seniman.
   


No comments:

Powered by Blogger.