EJEN ALI DARI TV KE PAWAGAM


PADA 23 Oktober 2019 lalu, Primeworks Studio dan Wau Animation mengumumkan tayangan serentak Ejen Ali the Movie di pawagam seluruh Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam mulai 28 November 2019.
Ejen Ali the Movie merupakan filem pertama yang diangkat dari siri animasi popular televisyen ‘Ejen Ali’ yang telah bersiaran selama dua musim. Ia ke layar lebar atas sambutan hebat penonton.
Ejen Ali kini menjadi antara jenama animasi popular Asia yang telah berjaya meraih lebih dua juta penonton di TV3, serta mempunyai lebih 1.4 juta pengikut di laman rasmi YouTube.
Sejak tayangan pertama siri ‘Ejen Ali’ di Malaysia pada 2016, karya animasi ini telah menarik minat stesen media antarabangsa, dan berjaya menembusi siaran di lebih 50 negara, termasuk di rangkaian Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV Indonesia, dan AlMajeed TV di serantau Timur Tengah, dan Afrika Utara.
Ejen Ali the Movie mengisahkan Ali (suara Ida Rahayu Yusoff), 12, yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Agensi Taktikal Maju Mata (Mata Advance Tactical Agency - MATA) yang berperanan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.
Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukan ejen tunggal yang boleh mengawal gajet istimewa, Sistem Perisikan Retina Tanpa Had (Infinity Retinal Intelligence System - IRIS). Gajet tersebut telah diubah suai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal, serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baharu ini dipertikai oleh Ali apabila dia berasa terpinggir, dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.
Pada saat itu, Ali didatangi individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.
Dalam sidang media majlis pengumuman tersebut di sebuah pawagam kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Izham Omar (Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios) memberitahu bahawa 2019 ialah tahun di mana animasi tempatan mendominasi carta industri perfileman negara.
Datuk Ahmad Izham mengucapkan kepada Wau Animation atas karya hebat, dan sumbangan mereka yang sekali gus berjaya membawa industri perfileman Malaysia ke peringkat lebih tinggi. Pihak beliau juga mengharapkan peminat dan pencinta filem akan ke pawagam untuk menyokong Ejen Ali the Movie yang bakal menjengah pawagam pada musim cuti sekolah akan datang.
Tambah Izham, Primeworks Studios yakin filem tersebut bakal diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat hasil impak, dan populariti animasi berkenaan. Primesworks Studios mensasarkan kutipan RM20 juta untuk filem animasi terbaharu terbitan mereka ini.
Ejen Ali the Movie merupakan kesinambungan musim kedua siri ‘Ejen Ali’ dan filem pertama yang diterbitkan oleh WAU Animation, arahan Usamah Zaid Yasin.
Watak Ejen Ali dan kucingnya yang luar biasa, Comot menggunakan suara Ida Rahayu Yusoff. Ejen Alicia pula Noorhayati Maslini Omar. Watak-watak lain ialah Ejen Bakar (Shafiq Isa), General Rama dan Viktor (Azman Zulkiply), Ejen Fit (Megat Zarin), Ejen Bobby (Ahmad Sufian), Dr Ghazali (Haziq Khushairi), Dato’ Othman (Abu Shafian Abg Hamid), Niki (Nabilah Rais), Surya (Amir Mustaqim), dan Vikram (Azuan Wanji).
Usamah Zaid (Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation) yang turut hadir amat menghargai sokongan padu daripada peminat ‘Ejen Ali’ yang sentiasa memberi semangat, dan mendorong pihaknya terus mencapai penanda aras yang tinggi bagi filem pertama ini.
Tambah Zaid yang turut menulis lakon layar, Wau Animation juga berharap agar segala usaha serta keringat yang dicurahkan dalam penghasilan Ejen Ali the Movie dapat menjangkaui harapan peminat tegar animasi ‘Ejen Ali’.
Selain pengumuman kolaborasi Ejen Ali the Movie, majlis tersebut turut memperkenal lagu runut bunyi (OST) filem berkenaan, pratonton eksklusif Ejen Ali the Movie, serta pengenalan dan sesi temu bual bersama-sama Wau Animation, Primeworks Studios, dan pelakon suara Ejen Ali the Movie.
Penyanyi/komposer Altimet dan Malik Abdullah hadir, bersama-sama Ida Rahayu, Noorhayati, Shafiq, dan Nabilah menjawab beberapa soalan daripada pengacara majlis.
Single pertama OST bagi Ejen Ali the Movie, ‘Bukalah Matamu’, nyanyian Aisyah Aziz bersama-sama penyanyi rap muda, Bunga telah dilancarkan pada 20 September 2019 lalu telah mendapat tempat di semua platform siaran digital tempatan. Lirik video yang dihasilkan dan dimuat naik di YouTube turut mendapat sambutan hangat, dan berjaya mencecah 700,000 tontonan.
Lagu tema kedua, ‘Kita Jaga Kita’ nyanyian Altimet bergandingan dengan Cuurley dan Malik Abdullah pula dilancarkan di semua platform digital mulai 25 Oktober 2019, diikuti lirik video yang dipertonton di saluran YouTube Ejen Ali pada jam 12 tengah hari. Selain menyanyi, Altimet turut meminjamkan suaranya untuk watak Andik.
Skor muzik untuk filem ini mendapat sentuhan hebat Azri Yunus dan Hakim Kamal, dua individu yang terawal menjadi tulang belakang pembikinan siri animasi ‘Ejen Ali’.      

No comments:

Powered by Blogger.