SASTERA BUDAYA


TERIMA TAKDIR TIADA ZURIAT


Seram merupakan antara genre filem Melayu tempatan yang memikat ‘kaki wayang’ negara kita. Screen Studios Sdn Bhd memanfaatkannya dengan menerbitkan filem Anak Perjanjian Syaitan yang cuba memberi pengalaman menonton menakutkan!
Sesebuah filem mengikat penontonan sehingga tamat durasi dengan pelbagai
aspek. Dalam filem ini, ada adegan mengejutkan meskipun seketika, iaitu dua orang
kanak-kanak dihempap almari sehingga berkecai darah melimpah di lantai di hadapan Azlinda (Cha Cha Maembong), dan mungkin sentiasa diingati penonton – kerana visual dan/atau kemampuan pembikinnya (walaupun agak berlebih-lebihan kerana almari itu tidak terlalu besar, tetapi dalam kemampuan CGI yang tidak setaraf
Hollywood, penampilan visual sedemikian wajar dipuji).
Mungkin ada penonton yang trauma jika adegan itu dipaparkan berulang-ulang
dalam beberapa sudut berbeza, dan/atau gerak perlahan.
Tiada pasangan suami isteri yang tidak mahukan zuriat, apatah lagi setelah lama
bernikah. Hubungan mereka pasti teruji apabila tiada anak. Keadaan memburuk
apabila insan paling rapat dengan mereka, ibu misalnya, berterusan mendesak.
Tanpa mengira genre, setiap filem tetap/perlu ada mesej. Filem arahan sutradara
yang telah membikin Bikers Kental (2013) dan Bikers Kental 2 (2019 - yang
bergenre aksi lasak) ini tidak mengecewakan kerana ada mesej berguna meskipun
klise (tidak salah yang baik diulang-ulang).
Saya agak meragui kemunculan kali pertama Nadzmi Adhwa dan Cha Cha Maembong di layar lebar, apatah lagi memegang watak utama. Namun begitu, penampilan mereka tidak menghampakan, walaupun sesekali Nadzmi sebagai Cikgu Zaidy agak kaku – barangkali kerana dia sudah biasa dengan watak cergas/periang dalam drama-drama televisyen.
Lakonan mereka dibantu oleh gerak tubuh dan pertuturan yang meyakinkan
pelakon-pelakon lama/berpengalaman yang menarik perhatian saya seperti
Shahronizam Noor (Pak Man), Roslan Salleh (Pak Leman), Azlan Komeng (Ustaz
Aznan Shamsullah), Jasmin Hamid (Puan Rahmah), dan Z Zambry (Bomoh Said).
Kekuatan lakonan mereka tambah memesrakan saya dengan beberapa mesej/persoalan yang cuba disampaikan. Antaranya, benarkah orang Melayu mudah bertindak melulu akibat terlalu terdesak? Lantaran tiada zuriat setelah sekian lama bernikah, dan dicaci hina, Azlinda meminta bantuan bomoh/pengamal perubatan tradisional (yang mengambil kesempatan melampiaskan nafsu syahwat dengan ilmu hitam), Bomoh Said.
Ibu/ibu mertua tidak wajar mencampuri urusan rumah tangga anak menantu, kecuali
membantu membetulkan/membaiki keadaan, bukan tambah merosakkan.
Puan Rahmah menghina Azlinda kerana tiada anak setelah tujuh tahun menikahi
Cikgu Zaidy. Dia yang seperti tidak meyakini qada’ dan qadar, serta rezeki Allah
mendesak Azlinda membenarkan Cikgu Zaidy berkahwin baharu.
Walau bagaimanapun, Cikgu Zaidy sentiasa bersabar, bersyukur dan enggan
melayani kehendak ibunya. Dia tidak pernah menyalahkan Azlinda.
Penghinaan dan desakan boleh memudaratkan. Barangkali disebabkan gagal
bertahan/kurang iman, Azlinda terdorong berjanji dengan syaitan, dan/malah
membohongi suaminya. Jadi, semua gangguan terhadap Azlinda di rumah pusaka
Cikgu Zaidy bukan kerana saka peninggalan nenek suaminya itu. Semuanya akibat
dosa Azlinda.
Ketua kampung wajar waras serta usah mengadu domba, dan memfitnah sehingga memusuhi anak buah/penduduk kampung sendiri, apatah lagi individu yang kuat beragama Islam. Pak Leman memfitnah Ustaz Aznan kerana mahu menjaga maruah/kedudukannya.
Sebelum tragedi menimpa anak perempuannya, Pak Leman tiada masalah dengan
Ustaz Aznan. Dia meminta Ustaz Aznan yang turut membuka klinik perubatan Islam di pekan, membantu anak perempuannya yang sukar bersalin. Malangnya, anak
perempuan Pak Leman mati selepas Ustaz Aznan menolongnya melahirkan anak.
Anak perempuan Pak Leman terdesak memperoleh anak. Untuk menutup malunya,
Pak Leman memfitnah Ustaz Aznan menyebabkan kematian anak perempuannya.
Akibatnya, Ustaz Aznan dipulaukan oleh seluruh penduduk kampung, kecuali Pak
Man, sehingga terpaksa menjadi nelayan.
Anak perempuan Pak Leman dan Azlinda melakukan perkara serupa. Cuma, tidak
diketahui bagaimanakah/siapakah yang menemukan mereka dengan Bomoh Said.
Mungkin pengarah/penulis tidak mahu memberitahu kerana menganggapnya kecil.
Walaupun menarik, tetapi klise apabila Ustaz Aznan dan isterinya, Mizah (Nur Atikah
Suhaimie) yang budiman, tetapi pada peringkat awal, imej mereka dipaparkan
negatif/mencurigakan seperti merenung tajam, dan tidak menjawab salam. Demikian
Mizah ketika terserempak dengan Azlinda.
Ustaz Azlan juga merenung tajam Pak Leman dan Cikgu Zaidy semasa di jeti. Namun begitu, setelah menyelamatkan Azlinda yang pengsan dalam hujan lebat di
halaman rumah, citra baik Ustaz Azlan dan Mizah (mereka berjalan dengan selamba
dalam hujan lebat), dipaparkan.
Kisah sebenar dibongkar oleh Pak Man, dan Ustaz Aznan. Jadi, tiada isu memburukkan agamawan dalam filem ini. Anak perempuan Azlinda yang sihat sempurna menunjukkan bahawa anak kecil tidak berdosa meskipun lahir atas dosa ibunya (Azlinda mati ketika melahirkan anaknya itu).
Saya turut tertarik pada teknik penceritaan Helmi Yusof. Dia memaparkan adegan
sebelum dan semasa menerusi teknik imbas kembali dengan baik, walaupun kekerapan adegan Azlinda sebenarnya bermimpi apabila menghadapi keadaan cemas/ngeri merimaskan. Barangkali juga itu cara Helmy mewajarkan genre filem
Anak Perjanjian Syaitan. Tidak salah. Cuma, terlalu kerap boleh mengecewakan/membunuh mood penonton.


No comments:

Powered by Blogger.