SASTERA BUDAYA


TERSUNGKUR DI KAKI SEKS

ADA orang yang berfikir dan menganggap/merasakan mereka boleh berbuat apa sahaja jika telah berjasa, atau membantu/memangkin sesuatu kejayaan. Mereka fikir mereka telah menjadi raja.
Begitu juga dalam bidang media penyiaran. Mereka yang tentunya menjadi ketua setelah mengasaskan/membina sesuatu kejayaan menganggap mereka boleh berbuat sesuka hati. Amat malang jika dia melakukan keburukan.
Sama ada dalam kisah rekaan, apatah lagi benar, kita memang tidak suka/menyenangi ia berlaku/dilakukan. Perbuatan buruk tetap akan mengakibatkan keburukan. Tidak logik si pembuat kebaikan menerima balasan buruk. Begitu juga sebaliknya.
Bombshell diadaptasi daripada kisah benar yang berlaku dalam syarikat media penyiaran terkenal di Amerika Syarikat (AS), Fox News – mengikut cerita/pengakuan mereka yang terlibat atau lebih tepatnya, mangsa, berlaku dari 2006 hingga 2016. Pengasas Fox News yang kemudian menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya, Roger Ailes (John Lithgow) berwibawa dan pintar hingga mampu membawa kejayaan besar. Itu turut diakui dan disanjungi jutawan media terkemuka, Rupert Murdoch (Malcolm McDowell).
Walau bagaimanapun, Murdoch terpaksa bertindak bijak untuk menyelamatkan Fox News. Dia menjadi CEO dan merangkap Pengerusi selepas memecat Roger.
Apakah kesalahan Roger hingga ‘tersungkur’? Roger ada sifat buruk, iaitu suka melakukan gangguan seksual terhadap staf wanita yang cantik, dan sedang teruja membina kerjaya. Dia seperti mengambil kesempatan. Begitu ramai yang diganggunya selama 10 tahun!
Pelbagai bentuk gangguan dilakukan oleh Roger terhadap staf wanita yang diminatinya itu. Dia menunjukkan kemaluannya dan meminta seks oral, menyentuh buah dada, cuba mengucup bibir, mengesyorkan coli istimewa, dan mahu melihat staf memakainya, melihat paha dan kemaluan staf berkenaan biarpun masih berpakaian dalam, dan meminta hubungan seks.
Dalam filem Bombshell, dua kali dipaparkan adegan Roger meminta staf wanita muda bangun dan memusingkan badan mereka sekali – tidak lain daripada hanya mahu melihat bentuk badan. Ada pula seorang daripadanya diminta mengangkat skirt mini hingga menampakkan seluar dalam bahagian hadapan!
Roger memberi alasan bidang yang diceburi oleh wanita-wanita muda cantik itu ialah medium visual. Ertinya, mereka yang menjadi penyampai, perantara, hos bual bicara, dan pembaca berita dilihat orang, dan orang pasti mahu melihat yang cantik.
Walau bagaimanapun, cukuplah penonton hanya melihat wajah dan bahagian atas/hadapan tubuh sahaja. Tidak perlu hingga ke buah dada, paha dan betis pula. Sebagai ketua, memadailah hanya melihat wajah wanita itu. Ya, memang wajah menawan itu perlu. Namun begitu, janganlah hingga mahu melihat tubuh, dan pakaian dalam pula!
Kejatuhan Roger itu mencetuskan ilham untuk saya mencipta ungkapan tersendiri, iaitu gangguan seksual tidak menghancurkan syarikat anda, tetapi akan memusnahkan anda sendiri!
Selama sedekad, mengapa semua mangsa mendiamkan diri? Mengapa setelah 10 tahun baru ada yang berani membuat pendedahan? Ya, kerana mereka bimbang cita-cita terbantut, dan kerjaya terjejas.
Meskipun berdasarkan kisah benar, tetapi saya melihat ia berlaku kerana kepentingan peribadi. Pada awalnya takut tidak dapat mengembangkan kerjaya, kemudian berubah kepada bimbang kehilangan jawatan pula.
Projek filem Bombshell yang bercorak drama ini mula diumumkan pada Mei 2017 berikutan kematian Roger, dengan Jay Roach ditetapkan sebagai pengarah pada tahun berikutnya. Ramai pelakon ditambah pada musim panas, dan penggambaran dimulakan pada Oktober 2018 di Los Angeles.
Pemasaran Bombshell terhad di Amerika Syarikat pada 13 Disember 2019, dan dijadualkan untuk pasaran luas seminggu kemudian oleh Lionsgate.
Filem ini menerima beberapa ulasan positif umum, dengan kritikan itu banyak memuji lakonan pelakon-pelakon utama Charlize Theron, Nicole Kidman, dan Margot Robbie. Theron dan Robbie menerima pencalonan masing-masing untuk Aktres Terbaik – Drama, dan Aktres Pembantu Terbaik dalam Anugerah Golden Globe ke-77 pada 6 Januari lalu.
Pendedahan gangguan seksual itu dimulakan oleh Gretchen Carlson (Nicole Kidman) yang meletakkan jawatan kerana dia ditukar ke rancangan sebelah petang yang kurang penonton. Itu berlaku kerana dia tidak melayan permintaan Roger melakukan hubungan seks.
Megyn Kelly (Charlize Theron) yang diberi amaran kerana kandungan rancangannya banyak menyelar calon Presiden AS ketika itu, Donald Trump yang tidak disenangi Roger, turut membuat pengakuan. Dia terus bekerja kerana amat mencintai kerjayanya itu. Lagipun, berbanding syarikat lain, hanya Roger yang memberi dia peluang menjadi hos rancangan televisyen.
Selepas pengakuan itu tular, semakin ramai wanita yang tampil membuat pengakuan. Dalam masa yang sama, Roger membuat penafian keras sambil diberi sokongan oleh Beth Ailes (Connie Britton). Di syarikat tersebut, ada pula beberapa orang penyiar wanita diminta berkempen membersihkan nama Roger.
Kayla Pospisil (Margot Robbie), staf baharu yang masih muda menarik tidak dapat mengelakkan diri terpaksa melayan nafsu Roger melakukan persetubuhan. Dia antara mangsa yang diminta bangun memusingkan badan sekali, dan mengangkat skirt mini hingga menampakkan bahagian hadapan seluar dalamnya tanpa kerelaan.
Walau bagaimanapun, selepas mempunyai teman lelaki dan memberitahu tragedi tersebut kepada rakan rapatnya di Fox News, Jess Carr (Kate McKinnon), dia meletakkan jawatan.
Namun begitu, di samping bersimpati dan tidak senang dengan perkara yang merosakkan itu, ada perkara lain yang perlu diambil perhatian. Biarpun tidak semua lelaki ‘hidung belang’, tetapi amalan berpakaian juga penting. Jelas sekali mereka yang menjadi mangsa memakai pakaian seksi, dan mengikut bentuk badan.
Malang sekali pula Roger berperangai buruk sedemikian. Memang sosial di Barat tidak sama dengan di Timur, tetapi perkara tersebut wajar menjadi pedoman kepada mana-mana wanita pun.
Walau bagaimanapun, tindakan Megyn boleh dianggap bijak kerana dia merakamkan semua perbualan/perbincangannya dengan Roger. Tidak tahu kenapa dia terfikir berbuat sedemikian.

 

No comments:

Powered by Blogger.