FILEM

 

Fast & Furious Ilhamkan Filem Tempatan Termahal

THE CATCHER

 

PADA 2004, dunia perfileman tanah air digemparkan dengan kos penerbitan sebanyak RM20 juta untuk filem epik sejarah, Puteri Gunung Ledang (PGL).

 

PGL, arahan Saw Teong Hin, diterbitkan oleh EnfiniTi Productions Sdn Bhd, milik Puan Sri Tiara Jacquelina  dengan barisan pelakon utamanya Datuk M Nasir, Adlin Aman Ramlie, Sofia Jane, Datuk Rahim Razali, Khir Rahman, dan Tiara sendiri sebagai Puteri Gunung Ledang.

 

Tidak lama lagi khabarnya akan muncul sebuah filem yang menelan kos lebih besar, iaitu The Catcher. Filem bercorak perlumbaan  kereta yang merupakan kolaborasi Labuan Overseas Holding  Berhad dan Robotz, serta diterbitkan oleh Hudred Years Popcorn Production Sdn Bhd ini menelan kos lebih RM50 juta.

 

Selain bakal menjadi filem tempatan dengan  kos terbesar setakat ini, The Catcher juga dijangka memecahkan beberapa rekod  dalam dan luar negara bersama-sama hasrat merancakkan semula industri pelancongan di Malaysia yang tenat dipukul oleh badai COVID-19, sekali gus membantu ekonomi negara.

 

Walaupun tidak bertujuan mencipta rekod seperti yang disebutkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Overseas Holding Berhad, Burhanudin Mohd Yusoff, tetapi The Catcher memang menuju ke arah itu.

 

Menurut Burhanudin, meskipun Labuan Overseas Holding Berhad telah banyak melabur dalam projek-projek tempatan dan antarabangsa, tetapi penerbitan filem The Catcher amat istimewa baginya.

 

Tambah Burhanudin, pihaknya menyokong projek penerbitan filem ini bukan hanya kerana ia akan memecahkan rekod, tetapi disebabkan nilai tambahnya yang berpotensi menarik pelabur-pelabur baharu.

     

Burhanudin menyatakan sedemikian semasa majlis pelancaran The Catcher di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Subang Jaya pada 3 Oktober lalu.

 

The Catcher, katanya lagi, mampu membuka mata banyak pihak, terutamanya para pelabur berkapasiti tinggi bagi Labuan Overseas Holding Berhad, lantas tidak keberatan untuk melabur.

 

Turut hadir termasuklah pengasas Robotz, Dato’ Sri Jeffrey Teoh; penasihat automobil, Joe Lim; Pengerusi Persatuan Perkembangan Bakat Malaysia China, Dato’ Sri Dr Chong Chin Fung; pelakon dan penerbit tempatan, Dato’ Nancy Foo; atlet sukan permotoran tempatan, Leona Chin, dan semestinya pengasas Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd, Ong Peng Chu.

 

Tegas Burhanudin, lantaran teruja dengan pelancaran The Catcher, pihaknya akan melangkah ke hadapan untuk kemajuan perniagaan, serta menarik peluang pelaburan untuk industri berkaitan kenderaan, secara langsung atau tidak langsung demi memulihkan ekonomi Malaysia.

 

Jelas Ong pula, Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd akan menggunakan kelebihan dan kelainan jenama tertentu, serta nilai sejarahnya untuk membangunkan harta intelek dengan pengiktirafan bernilai tinggi, berdasarkan  prestasi jenama kereta lumba yang boleh diubah kepada hotel, bandar raya auto, stesen petrol, taman tema, dan sebagainya yang jenama berlesen.

 

Sehubungan dengan matlamat kemajuan pelancongan, sebahagian daripada The Catcher, tambah Ong, akan menjalani penggambaran di teluk Port Dickson. Ia tidak akan hanya merangsang pasaran industri filem, tetapi turut mempromosi kegiatannya yang berfaedah seperti pembinaan Studio Teluk Port Dickson yang mampu memajukan industri pelancongan, runcit dan makanan/minuman, perladangan dan hartanah, serta automobil, dan sebagainya.

 

Kereta mewah, kata Jeffrey, disukai semua orang tanpa mengira taraf atau latar belakang kehidupan. Sebagai penggila kereta mewah, tambah beliau, semua individu di Robotz sentiasa terilham oleh kejayaan besar francais filem lakonan Vin Diesel, dan Paul Walker, Fast & Furious.

 

Robotz, tambah Jeffrey, berharap  dapat mengikut jejak filem berkenaan. Penglibatan Robotz dalam mencipta sejarah dengan penghasilan filem termahal ini, kata beliau, menceria dan membanggakan setiap warganya.

 

Joe atau nama sebenarnya, Joe Hun Beng Lim, mempunyai kepakaran serta pengalaman luas dalam aspek kejuruteraan dan teknikal permotoran. Beliau juga bertanggungjawab memperkenal sukan permotoran di China yang kini merupakan pasaran kereta terbesar di dunia.

 

Sebagai Timbalan Pengerusi dan Pengurus Besar Zuhai International Circuit Ltd, Joe menyedari apa yang kita lakukan di China adalah mencari pengaruh pemangkinan dalam pasaran, dan persepsi kereta di negara ini.

 

Dengan pengenalan siri tahap-masuk FIA, dan mengangkat ke tahap atas Grand Prix Formula 1 di Shanghai, kejayaan sukan permotoran sebagai model dicapai dengan cepat dan jelas.

 

Pada tahap ini, tambah Joe, beliau melihat potensi, iaitu dari permulaan industri kereta, dan memimpin pembangunan kereta untuk pasaran China.

 

Dengan perkara-perkara ini, The Catcher boleh menjadi pemangkin untuk menggalakkan minat dalam pembangunan permotoran, dan industri sukan permotoran yang pelbagai. Justeru, Joe sedia berkongsi idea untuk membangunkan tiga sektor utama dengan nasihat bagi jenama baharu yang dinamakan ‘Penambahan’, iaitu:

-         Zon Penambahan terletak di Kota Revo. Di sana, penukaran dan pengubahsuaian ke atas kenderaan bermotor dilakukan. Ia terletak di OneCity Mall, Subang Jaya.

-         Stesen Penambahan, yang mungkin stesen mengecas EV Moden yang juga produk petroleum/gas. Yang pertama ada di Cyberjaya, dengan kedudukannya sebagai hab teknologi untuk menunjukkan sokongan akan datang terhadap industri EV di Malaysia.

-         Kota Automotif Penambahan, di mana terdapat trek lumba kereta pecut, termasuk Zon Penambahan untuk pengubahsuaian kenderaan bermotor, yang turut merangkumi kemudahan hotel/resort. Kesemuanya dirancang akan dibina di Gurun, Kedah.

  

Selaras dengan kenyataan Joe ini, The Catcher akan turut menjalani penggambaran di kota bertema automotif (yang akan dimajukan) seluas kira-kira 3,000 ekar, dengan kerjasama agensi pelaburan Kerajaan Negeri Kedah, iaitu Invest Kedah Berhad.

 

Kota tersebut akan menempatlkan hotel berjenama kereta sukan yang terkenal, lumba kereta pecut dan lumba Formula 3/GT/EV (Formula E), khidmat penambahan pengubahsuaian kenderaan, akademi latihan pemanduan selamat-pantas yang diiktiraf, dan kolej kejuruteraan automotif.

 

Terletak di Gurun, kota bertema automotif itu akan menjadi hab pelancongan bagi para penggemar kereta mewah untuk menambah baik kenderaan mereka, sambil mengagumi kereta mewah hebat yang lain.

 

Selain sebagai hab pelancongan, ia juga akan menjadi lokasi idaman bagi penerbit filem antarabangsa menerbitkan filem penuh aksi lasak. Kota bertema tersebut akan menjadi lokasi filem rasmi bagi siri televisyen antarabangsa, dan filem cereka, yang berkaitan dengan francais The Catcher.

 

Dengan bajet lebih RM50 juta, The Catcher memaparkan gaya hidup dan budaya penggemar pengubahsuaian kereta di Malaysia. Ia membawa kisah seorang pemuda kampung yang berbakat, dan bekerja keras mengatasi cabaran di seluruh dunia dengan prestasi hebat dalam pengubahsuaian kereta mewah.

           

Selari dengan bajet terbesar setakat ini, The Catcher turut memecahkan rekod dunia apabila menampilkan 500 kereta mewah. Kesemuanya merupakan ahli Robotz Car Club, yang turut membiayai penerbitan The Catcher.       

 

Dalam majlis pelancaran The Catcher itu juga, Labuan Overseas Holding Berhad turut menandatangi jumlah tambahan sebanyak RM2 juta bagi permulaan filem berkenaan.

 

Skrip atau lakon layar The Catcher dan para pelakonnya akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Penggambarannya dijangka dimulakan pada 2022, dan siap pada 2023.           

      





























No comments:

Powered by Blogger.