PELANCONGAN/SUKAN

 

KLTITC Akan Kembali Menakluki Menara Kuala Lumpur  

 

SESUATU yang menggembirakan bagi para penggiat dan peminat sukan lasak di negara ini ialah kembalinya JomRun, acara larian ikonik dan utama Asia Tenggara selepas dua tahun.

 

Pada 14 Ogos 2022 nanti, akan diadakan JomRun Ikonik Cabaran Menaraton Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (KLTITC) yang disertai kira-kira 2,000 pelari. 

 

Dengan rekod kejayaan selama 19 tahun, KLTITC telah membina prestijnya yang tersendiri di Malaysia, dan mampu menarik penyertaan pelari dari seluruh dunia.

 

Larian ini menghamparkan cabaran yang unik kepada para pelari, iaitu mendaki 2,058 anak tangga sehingga ke garisan penamat, di puncak tertinggi di Kuala Lumpur, iaitu setinggi 288 meter dari paras bumi.

 

Pada 7 Julai 2022 lalu, telah berlangsung pelancaran dan sidang media KLTITC di Megaview Menara Kuala Lumpur, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

 

Turut hadir ialah Pengasas dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif JomRun Sdn Bhd, Chang Yi Hern; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Azhan Abrar; Pengarah Jabatan Sukan, Pelancongan, Seni, dan Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Khairul Azmir Ahmad; dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar.

 

Dalam ucapannya, Ainol Shaharina mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin, dan mengalu-alukan kedatangan mereka ke menara komunikasi tertinggi di Asia Tenggara, dan ketujuh tertinggi di dunia.

 

Selain mengucapkan terima kasih kepada Wan Ahmad Fayhsal yang sudi menyempurnakan pelancaran, beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat bertemu dengan hadirin menunggu kedatangan KLTITC 2022.

 

Sementara itu, Chang Yi Hern mengatakan pihaknya amat berbangga dapat membawa kembali KLTITC, salah sebuah acara larian yang begitu terkenal di Malaysia. Katanya, JomRun KLTITC telah mencabar, dan memberi inspirasi kepada ribuan orang selama 19 tahun.

 

“Kami tahu kami akan melakukannya lagi pada tahun ini. Untuk JomRun KLTITC 2022, matlamat kami ialah terus mencipta lebih peluang kepada para penggila acara larian, sekali gus mewujudkan gaya hidup sihat,” tambah Chang dalam ucapan beliau.

 

Kata Chang lagi, sebagai penganjur profesional pertama dan tunggal larian menara di Malaysia, dengan mematuhi peraturan Persatuan Larian Menara Sedunia, JomRun mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua peserta.

 

“Untuk mengelakkan sebarang kecederaan dan kejadian tidak diingini, para pelari akan berlari ke atas seorang demi seorang. Pemenang akan ditentukan menerusi masa yang diambil untuk melengkapkan keseluruhan cabaran,” jelas Chang.

 

Pada tahun ini, tambah beliau, pihaknya gembira melihat kebanyakan peserta bukan sahaja dari Malaysia, malah dari Singapura, Brazil, Jepun, Jerman dan banyak lagi, dengan peserta tertua berusia 73 tahun, dan termuda pula 11 tahun. JomRun juga berharap lebih ramai akan menyertai larian dan menguji kemampuan mereka.

 

Pendaftran untuk menyertai KLTITC 2022 dibuka sehingga 12 Ogos 2022. Rakyat Malaysia yang ingin mengambil bahagian boleh membuat pendaftaran awal pada kadar hanya RM80 seorang. Bagi rakyat luar negara pula, mereka boleh mendaftar sekarang pada kadar RM120 seorang.

 

Dalam ucapan beliau, Wan Ahmad Fayhsal menyatakan kegembiraan kerana acara yang dinanti-nantikan kembali semula. Justeru, peluang yang ada ini, tambah beliau, jangan dipersia kerana sukan sentiasa memberikan kebaikan seperti kesihatan.

 

Sebagai timbalan menteri yang berkaitan dengan perpaduan kaum, sukan juga, kata beliau boleh menjadi alat menghakis permusuhan, dan persengketaan.

 

Sementara itu, khabarnya setiap peserta akan menerima jersi Ultron Superlite, alas dada perlumbaan dengan cip penetap masa, sijil elektronik, insurans kemalangan peribadi, juadah ringan, dan pingat penamat bagi peserta yang menamatkan cabaran.

 

Peserta sehingga ke garisan penamat juga boleh memilih untuk menambah jersi Premium Penamat eksklusif pada harga diskaun RM49.99.

 

Pemenang kategori terbuka akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan sebuah trofi. Naib juara pertama akan diberikan RM500 dan sebuah trofi, sementara naib juara kedua memperoleh RM250 dan sebuah trofi.

 

Dalam kategori veteran pula, para pemenang masing-masing akan menerima RM500, RM250, dan RM100 bersama-sama trofi.

 



Timbalan Menteri Perpaduan Negara Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.


Beberapa tenaga penting KLTITC 2022 bersama-sama Chang Yi Hern, Azhan Abrar, Khairul Azmir Ahmad, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kanal, Ainol Shaharina Sahar.


         Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif JomRun Sdn Bhd, Chang Yi Hern.








               Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar.







Poster rasmi 
JomRun Ikonik Cabaran Menaraton Antarabangsa Menara Kuala Lumpur (KLTITC) 2022 dilancarkan.

KLTITC 2022 diperkuat oleh Rakan Baju Rasmi, Ultron, iaitu jenama pakaian sukan nombor satu di Malaysia. Acara ini mendapat sokongan Kelab Larian JomRun, TrackAsia – cip penentu masa RFID utama, dan Menara Kuala Lumpur Malaysia.

 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai KLTITC 2022, sila lawati https://www.jomrun.com/event/JomRun-KL-Tower-International-Towerthon-Challenge-2002.

 

                  

No comments:

Powered by Blogger.