PELANCONGAN


Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022 Gamit Pelancong ke Pulau Legenda

 

BASIKAL lipat semakin terkenal dan diminati ramai di negara kita walaupun harganya relatif mahal. Selain menunggang bersendirian, dapat berkumpul bersama-sama dengan para peminat/pemiliknya tentu lebih menyeronokkan.

 

Sehubungan itu, mereka yang berkenaan jangan melepaskan peluang berbuat demikian dengan menyertai pelbagai aktiviti menarik bersempena Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022 (LIFBC 2022) di Langkawi pada 16 sehingga 18 September 2022 nanti.



Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Megaklinik Zahran, Dato’ Mohd Nafidz Abdul Razak menyampaikan ucapan.


                               Pegawai Daerah Langkawi, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya.

    

Penyanyi blues legenda negara dari kumpulan Blues Gang, Ito Mohd (empat dari kiri) turut hadir.



Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya (empat dari kanan) melancarkan Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022.


Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya dan Dato’ Mohd Nafidz Abdul Razak mencuba basikal yang bakal digunakan oleh peserta LIFBC 2022.



                Tiga anak muda pereka basikal (berdiri di belakang) untuk LIFBC 2022 turut hadir.

Untuk menguar-uarkannya, satu majlis sidang media dan pelancaran LIFBC 2022 anjuran Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Kumpulan Megaklinik Zahran, Tourism Malaysia, Cuti-Cuti Malaysia, dan Kerajaan Negeri Kedah ini telah diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2022 lalu.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Acara LTA, Zainudin Kadir, LIFBC 2022 mendapat sokongan padu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tourism Malaysia, dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

 

“Lebih 1,500 peserta dijangka menyertai LIFBC 2022 yang melibatkan penyertaan dari dalam negara, dan luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura,” kata Zainudin dalam ucapannya dalam majlis sidang media dan pelancaran itu.  

 

Katanya, sambutan yang menggalakkan daripada peserta tempatan dan antarabangsa ini membuktikan bahawa aktiviti basikal lipat berjaya menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Langkawi selepas lebih dua tahun lumpuh akibat wabak pendemik COVID-19.

 

“Festival tiga hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti seperti Fun Ride 30KM, Endurance 65KM, pameran, serta jualan. Hadiah bernilai lebih RM35,000, serta pelbagai hadiah cabutan bertuah menanti peserta,” tambah Zainudin.

 

Jelas beliau lagi, setiap peserta akan diberikan jersi eksklusif LIFBC, pingat LIFBC, sijil penyertaan, dan beg ole-ole.

 

“Selain berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang menarik, peserta juga berpeluang menghayati keindahan destinasi pelancongan popular di sepanjang laluan LIFBC 2022 diadakan seperti di Pantai Cenang, dan sekitarnya,” kata Zainuddin lagi.












Turut menghadiri majlis sidang media dan pelancaran LIFBC 2022 itu ialah Pegawai Daerah Langkawi, Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Megaklinik Zahran, Dato’ Mohd Nafidz Abdul Razak; Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia, Datuk Azlie Halim; dan penyanyi blues legenda negara dari kumpulan Blues Gang, Ito Mohd.

 

Menariknya, Dato’ Mohd Nafidz berminat membawa pihak beliau sebagai penganjur bersama LIFBC 2022 selepas beberapa hari mengunjungi Langkawi baru-baru ini.





  

Dalam ucapannya, Dato’ Mohd Nafidz menyatakan pulau indah ini memiliki banyak keistimewaan untuk dinikmati, selain menjayakan hasrat projek pelancongan perubatan.

 

Selain berucap, Dato’ Haji Abdul Gafar diberikan penghormatan melancarkan LIFBC 2022. Dalam ucapannya, beliau tidak menyembunyikan rasa teruja dengan program yang akan diadakan nanti.

 

“Justeru, saya sanggup datang ke Kuala Lumpur dari Langkawi walaupun baru pulang dari mengerjakan haji untuk melancarkan Cabaran Basikal Lipat Antarabangsa Langkawi 2022 ini,” kata Abdul Gafar yang mengakui sudah jatuh cinta dengan Langkawi walaupun baru enam bulan bertugas sebagai Pegawai Daerah.

 

“Saya juga yakin masih banyak sudut dan bahagian pulau legenda ini yang boleh dimanfaatkan dalam usaha membina semula sektor pelancongan selepas landaan COVID-19, sekali gus kemajuan ekonomi negara,” tegas Abdul Gafar yang berbangga LIFBC 2022 dianjurkan oleh anak tempatan.

 

Selain LIFBC 2022, beberapa lagi acara pelancongan bertaraf antarabangsa akan turut mengisi kalender pelancongan Langkawi sehingga penghujung 2022. Antaranya termasuklah Pertunjukan Kereta Klasik Antarabangsa Langkawi 2022 pada 9 hingga 11 Disember, dan ASEANA Blues Rock Antarabangsa Langkawi atau LIBRA 22 (17, 18 dan 19 Disember).

 

Justeru, kehadiran Ito atau nama sebenarnya, Mohd Arif Kendut adalah mempromosi LIBRA 22, anjuran pihak beliau, Itos Cottage Music.

 

Sementara itu, penyertaan untuk LIFBC 2022 masih terbuka. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila hubungi +0195553716 atau 019-2883716.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Acara Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir menyampaikan taklimat mengenai LIFBC 2022.


No comments:

Powered by Blogger.