SUKAN

 

BOLA KERANJANG NEGARA BAKAL KEMBALI RANCAK


MALAYSIA D-League atau Liga Pembinaan Malaysia yang bakal berlangsung pada 30 Julai sehingga 21 Ogos 2022 nanti bukanlah pertandingan atau persaingan baharu.

 

Dengan namanya Liga Pembinaan Malaysia (MDL), huruf ‘D’ untuk D-League ialah development yang bererti pembangunan atau pembinaan.

Menurut Pesuruhjaya MDL, Frank Ch’ng, kejohanan bagi kelab-kelab bola keranjang ini telah dimulakan pada 2019. Walau bagaimanapun, oleh kerana COVID-19, selama dua tahun kemudian ia tidak dapat diteruskan.

 

Justeru, MDL 2022 yang bakal disertai 16 kelab (13 dari Malaysia, dan tiga negara luar, iaitu Indonesia - BBM CLS Knight, Brunei Darussalam - Pegasus, dan Singapura - Singapore Adroit) nanti akan dapat mengubati kerinduan para peminat bola keranjang tanah air pada aksi-aksi menarik para pemain berbakat besar.

 

Dalam sidang media MDL 2022 di Dewan Mokhtar Dahari, Hotel Olympic Malaysia, Kuala Lumpur pada 21 Julai 2022 lalu, Ch’ang juga memberitahu pertandingan ini terbuka pada para pemain berusia 23 tahun ke bawah.




“Penetapan usia tersebut ada kaitannya dengan COVID-19 dan dua tahun pelaksanaan perintah kawalan pergerakan atau PKP di seluruh negara. Untuk MDL 2023 nanti, had umur diturunkan ke bawah 22 tahun, dan seterusnya bawah 21 tahun bagi MDL 2024,” jelas beliau.

 

Sepatutnya pemain bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita MDL 2022 ialah 21 tahun ke bawah, iaitu yang dilahirkan selepas 1 Januari 1999. Untuk MDL 2023, pemain yang lahir selepas 1 Januari 2001, dan bagi MDL 2024, pemain yang dilahirkan selepas 1 Januari 2003.

 

Para pemain tersebut hendaklah warganegara Malaysia dengan permohonan. Negara-negara dari Asia Tenggara boleh juga mengambil bahagian dengan hanya satu penyertaan, dan mempunyai dokumen pengenalan nasional yang sah.


 

Selain setiap pasukan boleh mendaftarkan maksimum tiga pemain kebangsaan yang pernah mewakili Malaysia/Indonesia/Singapura/Brunei dalam kejohanan rasmi FIBA dan/atau SEABA bermula 1 Januari 2020, kesemua pemain mesti yang telah mendapat vaksinasi penuh mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Kategori lelaki disertai 15 pasukan mengikut regular dan peringkat playoff. Jelas Ch’ng, 15 pasukan dalam kebiasaan akan dipecahkan kepada dua kumpulan, iaitu A dan B. Lapan pasukan diletakkan dalam kumpulan A, sementara tujuh lagi dalam kumpulan B.

 

“Pertandingan dijalankan secara round robin dalam setiap kumpulan untuk mencari empat pasukan teratas. Setiap pasukan dalam kumpulan A akan bermain tujuh kali, sementara semua pasukan dalam kumpulan B pula mengharungi enam perlawanan,” tambah Ch’ng.

                            Pesuruhjaya Liga Pembinaan Malaysia, Frank Ch’ng Eng Hing.


Bagi peringkat playoff pula, empat pasukan dalam setiap kumpulan layak secara automatik ke Lapan Elit (suku akhir). Pada peringkat ini, satu perlawanan sahaja (kalah mati) dihadapi pasukan-pasukan terbabit.

 

Pemenang Lapan Elit akan terus melangkah ke peringkat Empat Terbaik. Satu perlawanan juga akan dihadapi pasukan yang bertanding, dan pemenang mara ke peringkat akhir. Pada peringkat akhir, dua pasukan bertarung untuk bergelar juara.

 

Bagi kategori wanita yang disertai hanya empat pasukan, ada peringkat regular dan playoff. Pada peringkat biasa, pasukan teratas secara automatik layak ke peringkat akhir. Pasukan terbawah pula secara automatik tersingkir daripada persaingan seterusnya.

 

Pasukan di tempat ketiga dan keempat akan bertarung pada peringkat playoff atau separuh akhir. Satu perlawanan akan dihadapi kedua-dua pasukan, dan pemenangnya akan bertemu juara kategori tersebut dalam perlawanan akhir.


Antara yang turut menghadiri sidang media penganjuran Liga Pembinaan Malaysia 2022 di Hotel Olympic, Kuala Lumpur pada 21 Julai 2022 lalu. 


Kedudukan setiap pasukan ditentukan oleh menang-kalah masing-masing dalam biasa. Setiap kemenangan diberikan dua mata, seri memperoleh satu mata, dan tiada sebarang mata jika kalah.

 

“Corak persaingan ini berdasarkan Artikel D.1 Peraturan Bola Keranjang Rasmi 2022 yang disahkan oleh FIBA. MDL memang dilangsungkan mengikut peraturan yang disahkan oleh FIBA bermula 1 Oktober 2020, kecuali pindaan mengikut peraturan MDL sendiri,” jelas Ch’ng.

 

Juara kategori lelaki MDL 2022 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, sementara naib juara memperoleh RM10,000, dan tempat ketiga pula menerima RM5,000.

 

Hadiah RM1,000 diberikan kepada pemain terbaik peringkat regular, dan pemain terbaik perlawanan akhir.

 

Sementara penjaring terbanyak, pelantun terbaik, pembantu jaringan terbaik, ‘pencuri’ bola terbaik, dan penghadang terbaik masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM500.

 

Jumlah hadiah ini juga sama bagi pemenang serupa dalam kategori wanita. Namun demikian, juara kategori ini menerima RM10,000, naib juara meraih RM5,000, dan tempat ketiga pula RM2,500.

 

Selain BBM CLS Knights, kumpulan A kategori lelaki turut disertai Penang Stallions, Selangor XX, Roosters, Flyer Spirit, Go Strong, KL Assel dan jaguh negara, NS Matrix.

 

Dalam kumpulan B kategori lelaki, Pegasus dan Singapore Adroit disaingi Sunrise Youngsters, Selangor XXIII, Johor Tiger, Speed Hunter, dan MBC.

 

Singapore Adroit turut bertanding dalam kategori wanita dan bakal menghadapi cabaran Johor Tiger, MKYC Dragons, dan NS Matrix.

 

Kesemua perlawanan MDL 2022 bakal dilangsungkan di Stadium Tertutup MABA, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur setiap hari pada jam 10 pagi, 12 tengah hari, juga 2, 4 dan 6 petang, serta 8 malam.

 

MDL 2022 dianjurkan oleh Major League Sdn Bhd yang berpangkalan di tingkat 6, Wisma MABA.         

No comments:

Powered by Blogger.