SENI 


KENANG, HARGAI SUDIRMAN DALAM PAMERAN KHAS PERTAMA DI MALAYSIA

 

PAMERAN khas ‘Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No. 1 Asia’ dari 12 Ogos 2022 lalu sehingga 30 September 2022 depan di Galeri Sudirman, Tingkat 2, Pusat Beli-belah Fahrenheit88 Bukit Bintang, Kuala Lumpur merupakan pameran besar yang pertama di Malaysia mengenai penyanyi legenda Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.

 

Dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi sehingga 10 malam secara percuma, pameran anjuran Kamura dan Sudirman Asset Management dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia (ANM – di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia), dan Farenheit88 itu mempamerkan koleksi asli dari ANM, kecuali baju bendera Malaysia terpanjang yang hanya replika.

 

Baju asal bendera tersebut berukuran 120 meter panjang yang dipakai oleh Sudirman ketika majlis penutupan Sukan Asia Tenggara ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.

 

Antara bahan menarik yang dipamerkan termasuklah basikal tua (walaupun hanya replika) yang digunakan oleh Sudirman semasa penggambaran video muzik lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) bersama-sama Allahyarham Yusni Jaafar, 153 buah lukisan animasi Allahyarham yang disiarkan dalam media terbitan Kumpulan Karangkraf yang didedikasikan untuk neneknya, Fatimah Dahlan; ibunya, Ramlah Dahalan; ibu tiri yang dianggap seperti ibu kandungnya, Mariam Mohamad dan para peminat; baju Melayu songket yang digayakan oleh Sudirman semasa sesi fotografi bagi majalah URTV edisi khas Aidilfitri 1991, dan koleksi kaca mata hitam yang selalu dipakai oleh Allahyarham semasa membuat persembahan.

 

Selain itu ialah trofi anugerah istimewa Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) untuk Allahyarham semasa acara AIM tahun 1993 sebagai menghargai sumbangannya dalam industri muzik tanah air, songkok-songkok kain untuk persembahan, koleksi kaset dan piring hitam lagu-lagu popular Sudirman, beberapa pasang kasut, tanjak, dan keratan akhbar/majalah serta poster biografi, pengiktirafan, dan penghibur terbaik Asia.

 

Oleh kerana Sudirman juga dikenali sebagai ikon patriotik negara dan ikon fesyen, bahan-bahan mengenainya turut dipamerkan seperti pakaian yang pernah pakai dipakai oleh Allahyarham semasa membuat persembahan.

 

Perasmian pameran khas “Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur No. 1 Asia”disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Ogos 2022 lalu. Turut hadir ialah kakak dan anak saudara Allahyarham, iaitu Datin Rodziah Arshad, dan Razman Azrai Dato’ Zainudin atau Atai.

 

Selain menurunkan tandatangan sebagai tanda minat dan kehadiran, para pengunjung pameran juga boleh membeli cenderamata berkaitan yang dikeluarkan oleh Kamura.

 

Menurut pihak Kamura, 15 peratus daripada keuntungannya akan diserahkan ke rumah anak yatim pilihan waris Alahyarham Sudirman.

 

*Katering Kamura ditaja oleh Pailong Catering & Chocolate  dari Estana.

 

Oleh kerana Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad juga dikenali sebagai ikon fesyen, bahan-bahan mengenainya turut dipamerkan seperti pakaian yang Allahyarham pernah pakai.

Koleksi kaca mata hitam yang selalu dipakai oleh Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad semasa membuat persembahan.


Basikal tua (replika untuk pameran ini) yang digunakan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad semasa penggambaran video muzik lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) bersama-sama Allahyarham Yusni Jaafar.

                    Antara kaset lagu-lagu popular Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.


    Sebahagian daripada piring hitam lagu-lagu popular Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.


                Koleksi kasut dan tanjak kepunyaan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.


Trofi anugerah istimewa Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) untuk Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad semasa acara AIM tahun 1993 sebagai menghargai sumbangannya dalam industri muzik tanah air.


Para pengunjung pameran juga boleh membeli cenderamata berkaitan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad yang dikeluarkan oleh Kamura.

Replika baju bendera Malaysia terpanjang berukuran 120 meter panjang yang dipakai oleh Sudirman Haji Arshad semasa majlis penutupan Sukan SEA ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.


Replika baju bendera Malaysia terpanjang (berukuran 120 meter panjang yang dipakai oleh Sudirman ketika majlis penutupan Sukan Asia Tenggara ke-15 pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.)

Sebahagian daripada 153 buah lukisan animasi Dato’ Sudirman Haji Arshad yang disiarkan dalam media terbitan Kumpulan Karangkraf yang didedikasikan untuk nenek, ibu, ibu tiri, dan para peminat Allahyarham.


    Maklumat mengenai diri Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad sebagai penghibur terbaik Asia.


Baju Melayu songket yang digayakan oleh Sudirman Haji Arshad semasa sesi fotografi bagi majalah URTV edisi khas Aidilfitri 1991.

Sebahagian daripada keratan akhbar/majalah mengenai Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.


Beberapa buah songkok kain yang biasa digunakan oleh Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad untuk persembahan.

No comments:

Powered by Blogger.