TEATER

 

KISAH PEMERINTAH WANITA DI SELANGOR DIPENTASKAN

 

MAJLIS Teater Negeri Selangor (MTS) akan mementaskan teater Masahoro Opu Raja Siti (MORS) di Pentas Terbuka, Taman Tasik Shah Alam pada 10 dan 11 September 2022.

 

Pementasan MORS yang mengenakan bayaran RM20 sebagai sumbangan masuk menonton ini disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Selangor (JKKNS), dan Tenaga Nasional sebagai rakan strategik.

 

Menurut pengarah yang juga menulis lakon pentas MORS, Sharul Titis, teater ini wajar dipentaskan kerana ia menampilkan pemerintah wanita berwibawa yang pernah wujud di Selangor. Kebiasaannya pemimpin wanita selalu dipertikai.

 


                Sidang media pelancaran teater Masahoro Opu Raja Siti pada 25 Ogos 2022 lalu.


                                    Sedutan gimik babak teater Masahoro Opu Raja Siti.


Sifu Najib (paling kiri) memberikan beberapa penjelasan semasa sidang media teater Masahoro Opu Raja Siti pada 25 Ogos 2022 lalu.



                             Amirah Razak menjayakan gimik sedutan babak teater Masahoro Opu Raja Siti.




Mohd Raizuli Jusoh (dua dari kiri) melancarkan teater Masahoro Opu Raja Siti.


                                M Rosslie A Wahab menyampaikan ucapan alu-aluan.


Pengarah teater Masahoro Opu Raja Siti, Sharul Titis (dua dari kiri) bersama-sama Mohd Raizuli Jusoh (tiga dari kiri), M Rosslie A Wahab (paling kanan), dan pendokong utama teater berkenaan.


Amirah Razak bercerita mengenai watak Opu Raja Siti yang dipegangnya. Di sebelah beliau ialah pelakon veteran Shah Farid Zain.


Sidang media pelancaran teater Masahoro Opu Raja Siti pada 25 Ogos 2022 lalu.


Dalam sidang media teater MORS di pejabat JKKNS, Shah Alam pada 25 Ogos 2022 lalu, Sharul memberitahu cerita Opu Raja Siti ini memang pilihan utama untuk dipentaskan. Dari mula lagi, ia telah timbul dalam pemikiran, dan perancangan.

 

Mengenai para pelakon MORS, Sharul menjelaskan, mereka yang dipilih tidak hanya dalam kalangan ahli MTS sahaja. Katanya, pengumuman untuk mencari pelakon dan sesi uji bakat memang dilakukan.

 

“Sesiapa sahaja pelakon lama dan baharu yang berminat boleh menghadiri sesi uji bakat. Akhirnya, mereka yang menepati ciri-ciri kelayakan telah disenaraikan sebagai pelakon MORS,” kata Sharul.

 

Justeru, barisan pelakon yang terpilih terdiri daripada muka baharu dan lama. Pendokong watak Opu Raja Siti ialah Amirah Razak. Sebelum ini Amirah merupakan pendokong watak Dara dalam teater sensasi arahan Dinsman, Teater di Sawah Padi: Muzika Uda & Dara pada 25 dan 26 Oktober 2019 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.


Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor, Mohd Raizuli Jusoh menyampaikan ucapan pelancaran teater Masahoro Opu Raja Siti.


Antara pelakon veteran yang turut menjayakan MORS ialah Shah Farid Zain dan Rahim Kedol. Mereka bergabung dengan Sifu Najib, Idan Shahril, Dayang Norinah, Anwar Rusdini, Taha Muhammad, Azmie Daim, Pairul Azhar, Jamaludin, Hazley, dan Thaqif.

 

Menjawab soalan mengapa Shah Farid tidak dipilih memegang watak utama lelaki, Sharul menjelaskan, pihaknya mengutamakan kesesuaian dan keselamatan para pelakon. Faktor usia membataskan pergerakan Shah berbanding semasa muda dahulu.

 

“Sebenarnya, Sifu Najib yang masih muda sebagai pelakon utama lelaki adalah guru silat. Usia muda dan tenaganya boleh dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk aksi-aksi lasak,” jelas Sharul.

 

Selain Sharul, Amirah, Sifu Najib, dan Shah, turut menghadiri sidang media MORS termasuklah Pengarah JKKNS, Mohd Raizuli Jusoh yang juga melancarkan teater berkenaan; wakil MTNS, M Rosslie A Wahab; dan penasihat produksi, M Romazi Nordin.

 

Dalam ucapannya, Mohd Raizuli menyatakan kegembiraan kerana teater dapat muncul kembali setelah sekian lama terhalang. Kali terakhir, katanya, teater dipentaskan di Selangor ialah Teater Atas Pokok, juga arahan Dinsman pada 16 dan 17 April 2016.

 

“Pementasan teater ini besar ertinya sebagai pembuka jalan semula selepas tertutup akibat wabak pandemik COVID-19. Lebih menggembirakan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyokong penuh pementasan teater ini, dan tiada masalah untuk yang lain-lain nanti,” tambah Raizuli.

 

Sementara itu, M Rosslie memberitahu memang banyak cerita sejarah dan tokoh di Selangor yang boleh diteaterkan. Sokongan MBSA, katanya, memberikan harapan menggunung untuk meneruskan pementasan teater dari semasa ke semasa.

 

M Romazi yang kaya ilmu mengenai sejarah Selangor khasnya, dan Malaysia khasnya, telah agak lama terlibat dengan pementasan teater di Selangor.

 

Mengenai tempat terbuka sebagai arena tetap setiap pementasan teater, hal itu, katanya, terpulang pada pihak produksi, dan kesesuaian.

 

Turut mengisi sidang media MORS ialah gimik sedutan babak, dan tayangan video teaser teater berkenaan.              

 

    


No comments:

Powered by Blogger.