Jemaah Kampung Jamuan Solat Jumaat di Bangunan Baharu Masjid

 

MASJID Jamek Kampung Jamuan, Kuala Kangsar telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah pada 15 Ogos 1975.

 

Selama meniti hampir lima dekad peredaran masa tersebut, jumlah jemaah kariahnya kian meningkat dan tidak mampu ditanggung lagi oleh keluasannya yang asal. Justeru, ahli jawatankuasa (AJK) pentadbiran masjid berkenaan merancang pengubahsuaian demi keselesaan semua pihak.

 

Selepas kerja-kerja pengubahsuaian di atas tapak masjid yang sama dimulakan pada tahun 2020 semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersilih ganti ketat, dan longgar, kini bangunan baharu masjid berkenaan boleh digunakan walaupun belum seratus-peratus siap.

 

Menjelang tibanya Ramadan 1444 Hijrah, AJK pentadbiran masjid mengambil keputusan mengisytiharkan solat Jumaat semula untuk jemaah kariahnya. Nama Masjid Jamek Kampung Jamuan juga telah ditukar ke Masjid As-Saudah Kampung Jamuan.

 

Pada 17 Mac lalu, telah berlangsung Majlis Pengisytiharan Solat Jumaat Semula dan Jamuan Kenduri Rakyat Masjid As-Saudah Kampung Jamuan.

 

Penyempurnaan majlis tersebut dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Sohibus Sa’adah Prof Madya (Dr) Haji Ahmad Husni Haji Hasan. Prof Madya (Dr) Haji Ahmad turut diberikan penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat.





Sohibus Sa’adah Prof Madya (Dr) Haji Ahmad Husni Haji Hasan menyampaikan ucapan beliau.

Ruang dewan utama solat Masjid As-Saudah Kampung Jamuan yang selesa menyambut ketibaan Ramadan.

 

Pengerusi Masjid As-Saudah Kampung Jamuan, Tuan Haji Isa Sulaiman menyampaikan ucapan alu-aluan dan penghargaan.


                    Pintu masuk ke dewan utama solat Masjid As-Saudah Kampung Jamuan.



Sebahagian daripada jemaah kariah yang menghadiri Majlis Pengisytiharan Solat Jumaat Semula dan Jamuan Kenduri Rakyat Masjid As-Saudah Kampung Jamuan pada 17 Mac lalu.



Al-Fadhil Ustaz Haji Saiful Azizi Abdul Manap turut diundang menyampaikan Kuliah Jumaat.




Masjid As-Saudah Kampung Jamuan yang dahulunya ialah Masjid Jamek Kampung Jamuan.
-----------------------------------------------------------------

Dalam ucapan ringkas sebelum melakukan penyempurnaan majlis, beliau mengucapkan tahniah kepada AJK pentadbiran masjid, dan bersyukur atas limpah kurnia Allah SWT yang mengizinkan pengubahsuaian masjid berkenaan.

 

Prof Madya Dr Haji Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada generasi terdahulu yang telah berkorban selagi termampu membina Masjid Jamek Kampung Jamuan, yang kemudian dituruti generasi demi generasi seterusnya.

 

Sebelum itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak, Al-Fadhil Ustaz Haji Saiful Azizi Abdul Manap turut diundang menyampaikan Kuliah Jumaat.


Sohibus Sa’adah Prof Madya (Dr) Haji Ahmad Husni Haji Hasan melakukan penyempurnaan Majlis Pengisytiharan Solat Jumaat Semula dan Jamuan Kenduri Rakyat Masjid As-Saudah Kampung Jamuan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dalam ceramahnya, Al-Fadhil Ustaz Haji Saiful Azizi menegaskan bahawa langkah mengubah suai masjid menjadi lebih luas dan cantik memang dituntut oleh Islam. Amat tidak wajar, tambah beliau, umat Islam terus membiarkan pelaksanaan ibadah di masjid yang uzur sekian lama, dan boleh memalukan Islam sendiri.

 

Turut hadir termasuklah Pengarah Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Chenderoh, Encik Salman Dalmi yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderoh; Pegawai Unit Pengurusan Masjid dan Surau Daerah Kuala Kangsar, Encik Faizal Mohd. Sapri yang mewakili Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Kangsar; Penolong Pegawai Fatwa (Unit Buhuth), Jabatan Mufti Negeri Perak, Al-Fadzil Ustaz Mohd Hafiz Baharum, dan Pengerusi Masjid As-Saudah Kampung Jamuan, Tuan Haji Isa Sulaiman yang menyampaikan ucapan alu-aluan serta penghargaan.  

 


 



Sesungguhnya, pengubahsuaian masjid yang menelan kos kira-kira RM2 juta ini amat menggembirakan AJK pentabiran masjid dan jemaah, apatah lagi Ramadan yang mulia hampir tiba. Selepas sekian lama, ibadah di sepanjang bulan puasa tahun ini dan tahun-tahun seterusnya akan lebih selesa, meriah dan bermakna.

 

Selain pengerusi dan AJK kariah masjid yang berhampiran, kaum muslimat turut diundang menghadiri majlis berkenaan, dan menunaikan solat Jumaat bersama-sama. Semua yang hadir menikmati Jamuan Kenduri Rakyat selepas selesai solat Jumaat.

 


 


 


 


 



 




No comments:

Powered by Blogger.