SYIAR

 

RM1.7 JUTA SUMBANGAN MAIWP UNTUK SAUDARA BAHARU

 

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganggap Ramadan tahun ini istimewa kerana dapat meraikan saudara baharu/kita atau mualaf menerusi iftar atau majlis berbuka puasa khas.

 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, ini membuktikan keprihatinan MAIWP kepada golongan tersebut yang menjadi satu usaha gabungan semua agensi seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), termasuk MAIWP yang tetap membantu komuniti mualaf secara menyeluruh.

 

Dalam ucapan beliau semasa menyempurnakan majlis Rahmah Ramadan MAIWP ‘Iftar Bersama Saudara Kita’ di Dewan Merak Kayangan, Balai FELDA Kuala Lumpur pada 29 Mac lalu, Dato’ Setia Dr Mohd Na’im memberitahu jumlah keseluruhan bantuan tersebut ialah RM1.7 juta.


        

Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar menyantuni sebahagian daripada saudara baharu yang hadir.


Penerima Anugerah Pendidikan (paling kiri),  Anugerah Keusahawanan (tiga dari kanan), dan Anugerah Dakwah (paling kanan) bersama-sama Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dan Dr Mohd Daud Bakar.        


                                                    Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.




                       Bicara Ramadan oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.


                                             Pertubuhan Gerakan India Muslim Malaysia. 





Sidang media selepas penyempurnaan Rahmah Ramadan MAIWP ‘Iftar Bersama Saudara Kita’.



Secara terperincinya, sebanyak RM800,000 diberikan kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Kebangsaan (PERKIM), RM200 ribu untuk Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), RM200,000 kepada Pertubuhan Gerakan India Muslim Malaysia (GEPIMA), dan RM350 ribu (Hidayah Centre Foundation).

 

“Saya harap langkah proaktif NGO ini sedikit sebanyak dapat membantu MAIWP dan kerajaan dalam usaha meningkatkan kefahaman, dan keindahan Islam kepada masyarakat, terutamanya dalam kalangan mereka yang baru mengucap dua kalimah syahadah, dan kepada mereka yang baru mahu kembali kepada fitrah,” tambah Dr Mohd Na’im.

 

Dalam majlis yang juga dihadiri Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Sri Dr Yusof Haji Md Noor, dan pendakwah Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, MAIWP menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM300 seorang kepada 500 saudara baharu.

 

Bantuan tersebut bertujuan meringankan beban dan memberikan keceriaan dalam menjalani ibadah Ramadan, dan menyambut Aidilfitri.

 


“Saya juga mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Dakwah, Anugerah Pendidikan dan Anugerah Keusahawanan dengan setiap seorang menerima RM2,000 dan sijil penghargaan. Anugerah tersebut diharap dapat mendorong mereka terus berjaya,” tambah Mohd Na’im.

 

Penerima Anugerah Dakwah ialah Ahmad Daniel Alhafiz Aduka dari keturunan Melanau. Ahmad Daniel yang memeluk Islam pada 15 Jun 2016, merupakan alumni KDH serta aktif dalam dakwah bersama-sama NGO.

 

Daniel juga pernah menyertai dan memenangi pertandingan Mahrajan Amal Islami Peringkat Kebangsaan.


Farina Catherine Edwin Chan yang berbangsa Iban merupakan pemenang Anugerah Pendidikan. Memeluk Islam pada 17 Jun 2013, beliau yang juga alumni KDH, memiliki tauliah mengajar kaedah Al Hira’, sijil Daie Mualaf dari KUIS, dan Diploma Syariah dari Kolej Dar Hikmah, Kajang.

 

Sementara itu, pemenang Anugerah Perniagaan ialah Sumayyah Teng Yoke Chin yang memeluk Islam pada 25 April 2020.

 

Dari keturunan Cina, Sumayyah Teng pernah mengikuti kursus asas dalam bimbingan mualaf, dan memulakan perniagaan Nasi Arab Mandy Chicken.

 

Na’im turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada QSR Brands yang sudi menaja KFC, dan penerima wakalah individu, Encik Mohammad Safri Shahul Hamid yang menyumbangkan makanan sejuk beku kepada semua saudara kita dalam majlis berkenaan.

 

“Tanpa ada komitmen para pembayar zakat, pasti program bantuan kesihatan seperti ini tidak dapat dilaksanakan secara optimum, maksimum dan menyeluruh. Semoga segala usaha ini akan dibalas dengan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT,” ujar Na’im yang menyampaikan semua sumbangan dan anugerah tersebut.


              Penerima Anugerah Dakwah, Ahmad Daniel Alhafiz Aduka dari keturunan Melanau.


Beliau turut mengucapkan syabas kepada MAIWP. Kesungguhan dan ketekunan mengurus amanah zakat kepada golongan asnaf harus diteladani sejajar dengan transformasi Al-Falah ‘Bersama Mencapai Kejayaan’.

 

Majlis Rahmah Ramadan MAIWP ‘Iftar Bersama Saudara Kita’ dibuka dengan slot Bicara Ramadan oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid yang menceritakan serba sedikit sejarah beliau memeluk Islam.   

 


No comments:

Powered by Blogger.