Poster filem Imam menampilkan keunikan dan sinis kerana menunjukkan makmum Haji Mihad mengikutinya, sedangkan makmum Haji Syamsuri (kanan) membelakangi.

 

FILEM IMAM CATAT SEJARAH TERSENDIRI

 

FILEM Imam mengadakan Malam Gala dan sidang media di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 28 Februari lalu.

 

Sebelum mengharapkan ‘pecah panggung’ atau box-office, iaitu laku keras, filem Imam telah pun ‘pecah rekod’ sebagai filem pertama yang ditayangkan di Panggung Sari, IB.

 

Antara trivia lain ialah Imam merupakan filem Melayu tempatan ketiga yang diadaptasi daripada novel karya Sasterawan Negara (SN), iaitu selepas Langit Petang (1982) dan Ranjau Sepanjang Jalan (1983).


Dari kiri; Dato’ Rahim Razali, Faizal Hussein, Dato’ M Nasir, Mior Hashim Manap, Izzadah Khairan, Vanidah Imran, dan Datin Natasha Charmaine semasa sidang media Malam Gala Filem Imam di Panggung Sari, Istana Budaya pada 28 Februari lalu.



Haji Mihad (tiga dari kanan) lakonan Dato’ M Nasir beralah memberikan laluan kepada Haji Syamsuri (tiga dari kiri), lakonan Faizal Hussein.


Pengarah Imam, Mior Hashim Manap (lima dari kanan) bersama-sama pelakon utama, dan tetamu jemputan selepas sidang media Malam Gala pada 28 Februari lalu.


Langit Petang diadaptasi daripada novel berjudul serupa, karya SN keempat (1985), Datuk Sri (Dr) A. Samad Said, sementara Ranjau Sepanjang Jalan pula karya SN kedua (1982), Allahyarham Prof Emeritus Dato’ Dr Shahnon Ahmad yang sama juga judulnya.

 

Filem Imam juga secara tidak langsung meneruskan pertentangan watak lakonan Dato’ M Nasir dan Faizal Hussein dalam filem, dan juga drama televisyen sebelum ini, malah lebih besar.

 

Dalam filem Rajawali (2022) yang judul asalnya Abang Long Rajawali (2004), Dato’ M Nasir berlakon sebagai antagonis, sementara Faizal pula protagonis.

 

Dalam teledrama Hello yang disiarkan di TV3 pada tahun 1994, M Nasir memegang watak protagonis, dan Faizal sebaliknya.


Haji Mihad (Dato’ M Nasir) juga menyampaikan khutbah Jumaat tanpa menggunakan teks yang disediakan oleh Majlis Agama.

Dalam filem Imam, pertentangan watak mereka lebih besar kerana menyentuh dan berkaitan dengan soal agama Islam. Nasir berlakon sebagai Haji Mihad, sementara Faizal memegang watak Haji Syamsuri. Haji Syamsuri memusuhi Haji Mihad yang telah dilantik menjadi imam baharu Masjid Haji Salih, di kampung mereka, Anggerik Desa.

 

Menarik juga, Ahmad Patria, iaitu anak kepada SN kelapan, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain, penulis novel Imam yang turut menghadiri Malam Gala tersebut menganggap pemilihan Nasir, dan Faizal amat tepat, masing-masing sebagai Haji Mihad yang sentiasa tenang, dan lembut, serta Haji Syamsuri yang kasar, dan suka melenting.

 

Semasa sidang media selepas tayangan filem ImamAhmad Patria yang juga novelis yang terkenal dengan kisah fantasi, menyatakan kekaguman beliau dengan lakonan dua orang pelakon berpengalaman itu. Ahmad Patria juga yakin persembahan akan lebih mantap jika durasi ditambah setengah jam lagi.

 

Namun demikian, Ahmad Patria menyatakan kesedihan kerana ayahnya sudah tiada untuk sama-sama menonton Imam. Datuk Abdullah meninggal dunia pada 31 Disember 2014.  Beliau yakin ayahnya akan turut gembira menonton Imam.

 

Novel Imam pertama kali diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd pada tahun 1995, selepas memenangi tempat pertama Hadiah Nasional (Hadiah Sako) 1992/1994.




Dari kiri; Vanidah Imran, Faizal Hussein, Mior Hashim Manap, Dato' M Nasir, dan Datin Natasha Charmaine,



Noramin (kiri) sebagai Haji Daud yang disangka gila oleh penduduk Kampung Anggerik Desa gembira dengan kekembalian Haji Mihad (lakonan Dato' M Nasir). 


Kisah Imam bermula dengan kepulangan Haji Mihad ke Kampung Anggerik Desa setelah lama menghilangkan diri. Selepas mendapat kepercayaan serta persetujuan ahli jawatankuasa masjid dan penduduk kampung, Haji Mihad dilantik menggantikan imam lama, iaitu Haji Abdul Rahman (lakonan Dato’ Rahim Razali).

 

Setelah menjadi imam, Haji Mihad cuba membawa pembaharuan di kampungnya itu, yang bermula dari Masjid Haji Salih.

 

Antara yang dilakukan oleh Haji Mihad ialah mengubah suai suasana masjid dengan membersihkannya, menanam pokok bunga di sekitar dan di bahagian bawah (masjid terletak di atas bukit), meletakkan bangku-bangku dan meja, serta membina gelanggang sepak takraw, dan badminton.

 

Pembaharuan Haji Mihad itu bertujuan menarik minat anak muda Kampung Anggerik Desa mengunjungi masjid. Beliau juga mahu menjadikan masjid bukan sekadar tempat untuk solat berjemaah semata-mata.


 

Walau bagaimanapun, beberapa pembaharuan Haji Mihad itu mendapat tentangan hebat daripada penduduk kampung yang masih berfikiran sempit. Semua yang beliau lakukan turut disalah tafsir oleh pihak yang menolak kepimpinannya di Masjid Haji Salih.

 

Latar waktu cerita Imam ialah pada tahun 1983. Ketika itu juga memang aneh dan sukar diterima jika ada sesiapa yang cuba merubah wajah, dan persekitaran masjid atau surau. Ketika itu juga orang Melayu cenderung kafir-mengkafir, dan menganggap masjid atau surau hanya tempat untuk solat berjemaah sahaja.

 

Haji Mihad juga berkhutbah tanpa menggunakan teks yang disediakan oleh Majlis Agama. Pembaharuan itu bukan sahaja menyebabkan penentangan terhadapnya semakin kuat, malah beliau sendiri turut disoal siasat oleh pegawai Majlis Agama.

 

Konflik berlarutan apabila dikatakan terdapat emas di sekitar kawasan Masjid Haji Salih. Jumlah jemaah masjid berkurangan gara-gara ramai penduduk kampung sibuk melombong emas, dan tidak lagi mahu solat berjemaah.

 

Beban pelbagai masalah yang terpaksa Haji Mihad hadapi bertambah apabila beliau turut diugut bunuh akibat hasad dengki Haji Syamsuri, sepupunya sendiri. Haji Syamsuri yang juga mahu menjadi imam, mendapat sokongan Haji Abdul Rahman, dan Lebai Saat (Rasdi Daud).

 

Hasad dengki dan pertentangan ini menyebabkan berlakunya solat berjemaah dua imam. Sebuah adegan menunjukkan hampir terjadinya solat fardu Jumaat dua imam, jika tidak diselesaikan oleh Haji Mihad yang memberi laluan kepada Haji Syamsuri sebagai imam.

 

Selain berjaya mencatat sejarah filem pertama ditayangkan di IB, filem Imam ini menjadi kejayaan pengarahnya, Mior Hashim Manap dan anak buah kerana berjaya memindahkan cerita novel setebal 705 halaman ke layar lebar yang berdurasi selama 105 minit, dengan empat kali rombakan lakon layarnya.

 

Tidak dinafikan tiada karya atau ciptaan manusia yang sempurna, kerana hanya Allah yang Maha Sempurna, dan sebaik-baik Pencipta. Demikianlah juga dengan filem Imam ini.

 

Walaupun ada filem yang dianggap sebagai ‘sampah’, iaitu tidak berguna dan tidak perlu diterbitkan atau ditonton, tetapi saya, dengan menolak kekurangan yang ada, menyimpulkan bahawa Imam adalah antara filem yang amat berguna, serta wajar-perlu diterbitkan, dan ditonton!

 

Tidak keterlaluan dikatakan kalau mengambil dari segi persoalan atau pemikiran yang dibawakan olehnya, Imam memang filem terbaik, terbesar dan terpenting setakat ini.

 

Saya berani mengatakan sedemikian kerana tiada lagi yang lebih besar daripada persoalan atau permasalahan agama Islam, dan bangsa di dunia ini.

 

Mior Hashim sendiri mengatakan beliau amat tertarik dengan tema cerita Imam. Beliau tidak mengubah apa-apa kerana cerita serta persembahan novel telah sedia baik dan ;cantik’, sebaliknya hanya mengambil beberapa bahagian penting, dan membawa ke layar lebar.

 


Filem Imam diterbitkan oleh Alkahfi Pictures Sdn Bhd yang juga milik Mior Hashim sendiri bersama-sama keluarga mula ditayangkan di 45 pawagam di seluruh negara pada 2 Mac lalu.

 

Ia turut dibintangi Vanidah Imran (Rubiah), Datin Natasha Charmaine (Siti Nur Aisyah), Sani Sudin (Parman), Dewa Sapri (Bilal Haji Kulub), Rahim Jailani (Haji Omar), Noramin (Haji Daud), Buyung Zasdar (Abu Had), DJ Pool (Cikgu Shahidan), Sophia Ibrahim (Hajah Syamsiah), Kapten (B) Mohd Nor Bond (Penghulu Haji Ismail), serta Dato’ Jalaludin Hassan dan Omar Abdullah (masing-masing sebagai YDP Majlis Agama, dan Dato’ Berserban Merah).

 


 


 


 




 

 

 

 

No comments:

Powered by Blogger.