FILEM


ANWAR IKRAR TERUS PERANGI RASUAH TANPA TANGGUH!


Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan dan dibawa ke lokap, yang kemudiannya dibelasah tanpa belas kasihan oleh yang dipercayai sebagai Ketua Polis Negara ketika itu.

 


PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menahan sebak selepas menonton filem biografi Anwar: The Untold Story (ATUS) semasa acara tayangan perdana, dan VIP di Dadi Cinema, sebuah pusat beli-belah di KL pada 8 Mei lalu.

 

Datuk Seri Anwar mengimbau kembali kenangan perjuangannya memerangi ketidakadilan dan rasuah menerusi filem berdurasi sejam setengah, arahan Viva Westi dari Indonesia yang turut menghadiri acara berkenaan.

 

Menurut Anwar yang turut mengadakan sidang akhbar dengan media tempatan dan antarabangsa selepas menonton filem itu, beliau amat terharu kerana dapat mengimbau kembali episod penting dalam hidupnya, serta memuji kebolehan pelakon dan pengarah kerana berjaya menterjemahkan wataknya.

 

“Ini cerita yang mesti diceritakan. Perjuangan menentang rasuah perlu diteruskan. Sekarang saya Perdana Menteri. Saya mahu menyelamatkan negara ini dan memerangi rasuah dengan bersungguh-sungguh,” katanya disambut tepukan gemuruh.

 

Filem tersebut, berlatarbelakangkan tahun 1993 hingga 1998, mendedahkan kisah Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, sambil menonjolkan perjuangannya yang secara konsisten menentang amalan rasuah, tetapi berakhir di penjara.

 

Pelakon tempatan terkenal Malaysia, Farid Kamil Zahari memegang watak Anwar, sementara pelakon/penyanyi terkenal Indonesia, Acha Septriasa memainkan watak sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 

Selain Hasnul Rahmat sebagai Dr Mahathir Mohamad, turut menjayakan ATUS ialah Acha Septriasa (Wan Azizah), Saskia Chadwick (Nurul Izzah), Dewi Irawan (ibu Anwar) dan Piet Pagau (bapa Anwar).

 

Tayangan Perdana itu dianjurkan oleh DMY Creation, syarikat yang juga merupakan pengedar rasmi untuk ATUS.

 

DMY Creation adalah sebuah syarikat yang mengedar filem antarabangsa, dan tempatan serta penganjur rancangan hiburan langsung utama.

 

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi DMY Creation, Dato’ Mohamed Yusoff menggalakkan orang ramai menonton ATUS bagi merasai perjuangan yang dilalui Perdana Menteri, dan menyaksikan sekilas perjalanannya yang merupakan salah satu perubahan politik paling luar biasa dalam sejarah Asia Tenggara moden.

 

“Kami berharap semua pihak, terutama golongan belia menyokong dan menonton filem ini untuk mengetahui perjuangan sebenar Perdana Menteri kita. Filem ini menunjukkan kepentingan membasmi rasuah di negara ini,” tegasnya.

 

Anwar menonton filem berkenaan, bersama-sama beberapa ahli keluarga terdekat, termasuk mereka dari industri hiburan, tokoh politik dan selebriti.

 

Seramai 1,870 tetamu, termasuk 500 media tempatan dan antarabangsa menonton filem tersebut di 13 dewan khusus.

 

Antara yang menghadiri majlis tersebut adalah isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Halim; penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza; seniman Dato’ M Nasir; pelakon dan penerbit veteran Fauziah Ahmad Daud; penulis lirik dan penulis skrip prolifik, Datuk Habsah Hassan; penerbit filem tempatan, Datuk Yusof Haslam, dan pembuat filem popular, Mejar (K) David Teo.

 

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, Puan Sri Cindy Lim; dan Pengarah Urusan Yusrych Global Sdn Bhd, iaitu penerbit filem ini, Yusry Makmor.

 

ATUS akan ditayangkan di semua pawagam utama di seluruh negara bermula pada 18 Mei 2023. Tempahan awal untuk filem ini akan dibuka tidak lama lagi.

 

Seperkara menarik, Farid yang juga pelakon filem ‘pecah panggung’ pada 2017, Tombiruo: Penunggu Rimba, dan yang terbaharu (tidak mendapat sambutan), Sumpahan Syaitan menegaskan sesiapa yang mahu memegang watak Anwar dalam filem atau karya lain mestilah membenci, dan memerangi rasuah!

 

Farid memberikan contoh dirinya sendiri yang menolak rasuah sebanyak RM5 juta daripada seorang oleh ahli politik tidak lama dahulu.

 

Pastilah sikap/pendirian sedemikian amat sesuai dan melayakkan Farid memegang watak Anwar untuk ATUS, tetapi beliau bukanlah satu-satunya pelakon yang dipilih. Sebelum beliau, beberapa orang pelakon dari Malaysia dan luar negara telah menolak tawaran berlakon kerana bimbangkan risiko terpaksa dihadapi.

 

ATUS yang menelan kos pembiayaan RM10 juta ini bakal memberikan anjakan paradigma, serta menjadi satu penanda aras baharu untuk industri perfileman tanah air.

 

Menjalani penggambaran di Indonesia dan Malaysia dengan gabungan dua negara serumpun, termasuk kehadiran gabungan pelakon terkenal, serta pasukan penerbitan membuktkan filem ini mampu menarik semua lapisan masyarakat menontonnya di pawagam.

 

Oleh kerana ada yang menganggap ATUS dihasilkan setelah penubuhan Kerajaan Perpaduan, dan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX), Penerbit Eksekutif ATUS, Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee Anwar Haq, tampil memberikan penjelasan.

 

“Sebenarnya, filem ini dihasilkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, dan tidak mengambil kira kerajaan mana yang memerintah. Begitu pun, pelbagai kesukaran dihadapi, termasuk kebimbangan mengenai soal tayangan kalau bukan Pakatan Harapan yang memerintah, dan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri,” jelasnya, yang juga kartunis tersohor sejak 1990-an.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sidang media khas selepas Tayangan Perdana filem Anwar: The Untold Story.

 

  
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sampai untuk menghadiri Tayangan Perdana dan sidang media khas filem Anwar, The Untold Story di Dadi Cinema, 8 Mei lalu.

 

  Acara Tayangan Perdana filem Anwar:The Untold Story di Dadi Cinema pada 8 Mei lalu.

 

Dato’ Mohamed Yusoff menggalakkan orang ramai menonton ATUS bagi merasai perjuangan yang dilalui Perdana Menteri, dan menyaksikan sekilas perjalanannya yang merupakan salah satu perubahan politik paling luar biasa dalam sejarah Asia Tenggara moden. Di sebelahnya ialah pengarah ATUS, Viva Westi.

 

Dari kiri, Mejar (K) David Teo, Zunar, Dato’ Mohamed Yusoff, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Farid Kamil Zahari semasa sidang media Tayangan Perdana filem Anwar: The Untold Story.

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan simbolik ‘lawan tetap lawan’ beliau semasa sidang media Tayangan Perdana filem Anwar, The Untold Story’ di Dadi Cinema pada 8 Mei lalu.


ATUS membawa kisah jatuh bangun perjuangan Anwar dalam politik Malaysia, terutama melawan rasuah. Filem yang diusahakan (penulisan skrip) sejak Ogos 2011 ini telah bersedia untuk ditayangkan.

 

Latar waktu cerita ialah kira-kira lima tahun - 1993 hingga 1998, iaitu ketika Anwar mula menjawat jawatan Menteri Kewangan sehingga dipecat pada 2 September (1998).

 

Diadaptasi dan diolah daripada kisah benar, jalur ceritanya adalah mengenai sikap Anwar yang tegas, dan konsisten menolak pelbagai jenis imbuhan, dan wang tunai daripada pihak tertentu.

 

ATUS turut memaparkan bagaimana Anwar enggan menggunakan wang rakyat untuk ‘menyelamatkan’ syarikat anak pemimpin tertentu yang kerugian berbilion RM. Justeru, beliau difitnah dengan satu konspirasi besar, dipecat, dipukul dengan ganas di lokap, dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan selama beberapa hari.

 

Dari seorang menteri kewangan terbaik Asia yang berjaya membebaskan Malaysia daripada belenggu hutang, Anwar akhirnya merengkok di penjara.

 

Dengan penjelasan Zunar dan sinopsis cerita, pastilah filem ini tidak menampilkan Anwar sebagai PMX.

 

Sementara itu, pengarah ATUS, Viva Westi menyatakan rasa terharunya dengan penerbitan filem ini. Katanya, doa dan air mata telah mengiringi kerja-kerja pembikinan AtUS.

 

“Saya masih mengingati pesanan Zunar yang keras-lucu, iaitu saya boleh sakit, tetapi jangan mati selagi filem ini belum disiapkan. Saya dan suami juga kerap berbalah kerana kedegilan saya untuk menyiapkan filem ini,” cerita Viva.












Acha pula teruja dapat membintangi ATUS, serta terharu dengan layanan dan sifat keibuan Wan Azizah terhadapnya ketika bertemu buat pertama kali. Dia yang juga penyanyi lagu terkenal Berdua Lebih Baik, turut gembira dapat belajar bertutur dalam bahasa Melayu.



No comments:

Powered by Blogger.