Sisi Lain Menentang Penjajahan Jepun

PAGARI BULAN

 

TS Raja Mukhriz tidak menganggap filem pertama arahannya, Pagari Bulan, sebuah filem feminis meskipun memaparkan cerita dan perjuangan watak-watak wanita.

 

Pagari Bulan bukan filem feminis. Saya bukanlah penyokong feminism dalam semua aspek. Apa yang saya ingin paparkan adalah kekuatan kuasa melawan yang ada pada wanita seperti Bulan dan Sui Li dalam filem ini,” jelas beliau sambil menegaskan filem yang menonjolkan wanita sebagai watak utama itu tidak semestinya feminis.

 

Feminist atau feminis bermaksud penyokong gerakan kewanitaan yang menuntut kesamaan hak dengan lelaki. Sementara feminism pula membawa erti fahaman kewanitaan.

 

Berdasarkan persembahannya, Pagari Bulan hanya seakan-akan feminis. Jadi, ia sesuai ditonton oleh semua tanpa mengira jantina.


                    
                   Majlis Malam Gala Pagari Bulan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.


***********************************************************************************

Namira mendendangkan lagu runut bunyi Pagari Bulan, berjudul Bulan, ciptaan beliau sendiri sepenuhnya, sejurus tamat tayangan filem berkenaan pada 27 September lalu.


Memang selama ini, kita biasa menonton filem dan karya visual lain yang feminis atau seumpama dengannya diarahkan oleh pengarah wanita. Namun demikian, Pagari Bulan lain kerana digarap oleh pengarah lelaki.

 

Mengenai persoalan bagaimana beliau membawa kewanitaan yang ingin ditampilkan olehnya dalam Pagari Bulan, Raja Mukhriz menjelaskan selain tidak menganggap ia filem feminis, urusan dipermudah kerana penulis skripnya adalah Siti Jasmina Ibrahim, seorang wanita.

 

Tambahnya, beliau memang mendapatkan kerjasama erat dengan Siti Jasmina, dan disokong juga oleh isteri sendiri, pelakon Sharifah Shahora sebagai penerbit, di samping pernah mengarahkan karya kewanitaan sebelum ini.


Barisan pelakon utama dan pembantu filem Pagari Bulan yang akan menemui penonton di pawagam bermula 5 Oktober 2023.


“Saya tertarik dengan tema Pagari Bulan yang unik. Persoalan wanita Melayu kampung dijadikan mangsa seksual memang menarik, dan elok dipaparkan dalam karya seperti filem, kerana kita telah banyak menonton filem dan drama televisyen mengenai penjajahan Jepun dari satu sisi sahaja,” kata beliau semasa sidang media Majlis Malam Gala Pagari Bulan di pawagam Dadi Cinema, Pavilion, Bukit Bintang, 27 September lalu.

 

Selain Raja Mukhriz dan Shahora, turut hadir pelakon-pelakon utama dan pembantu Pagari Bulan, iaitu Nazeera Sardi, serta Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh, Alvin Wong, Chelsia Ng, Azlan Komeng, Helmy Hakim, Irin Puteri, Hazi Juzaili, dan Wanji Aswandi.



Ts Raja Mukhriz (tengah) semasa sidang media Majlis Malam Gala Pagari Bulan pada 27 September lalu di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur. Dua dari kiri ialah penerbit, Sharifah Shahora.

 **********************************************************************************

 Malangnya, Wan Azli Wan Jusoh, Laila Nasir dan Michael Ang, serta Siti Jasmina tidak dapat hadir.

 

Hadirin turut dihiburkan oleh Namira yang mendendangkan Bulan, lagu runut bunyi Pagari Bulan, ciptaan beliau sendiri sepenuhnya, sebaik tamat tayangan filem berkenaan. Dimaklumkan, Raja Mukhriz terus memilih lagu tersebut selepas pertama kali mendengarnya.

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Shahora gembira kerana ramai wakil media, rakan artis dan ‘orang kuat’ perfileman tanah air turut hadir seperti pelakon/pengarah/penerbit Datuk (Dr) Yusof Haslam; Pekin Ibrahim, Sarimah Ibrahim, Sabrina Ali, Joey Daud, Watie Sadali, Azman Hassan, serta pelakon/pengarah/penerbit filem/drama televisyen (mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

 

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia, serta FINAS kerana memberikan sokongan padu, termasuk pemberian Dana Kandungan Digital (DKD),” kata Shahora yang turut menghargai peranan pihak media cetak, elektronik dan sosial dalam mempromosi Pagari Bulan.

 

Wakil FINAS yang hadir ialah Timbalan Pengerusinya, Tuan Noor Azam Shairi, serta Ahli Perbadanan, Encik Rozaidi Abdul Jamil (Zack Zaidi), dan Encil Saeful Fadhly Hj Mokhtar.

!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

                                  

 @@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Sementara itu, dalam ucapan ringkas masing-masing, para pelakon menyatakan rasa teruja membintangi Pagari Bulan. Cuma, mereka mengakui menghadapi kesukaran untuk bertutur dalam dialek Kelantan, dan bahasa Jepun sehingga perlu berlatih bersungguh-sungguh.

 

Nazeera juga mengakui sukar menjayakan adegan pertarungan dengan Andy kerana beliau tidak pernah beraksi lasak, apatah lagi tempur senjata tajam sebelum ini.

 

Diterbitkan oleh Eleven Field Creative Sdn Bhd (Eleven Field), Pagari Bulan diedarkan oleh Metrowealth (MIG). Ketua Pegawai Eksekutif MIG, Mejar (K) David Teo turut hadir bersama-sama isterinya, Jane Lim.

 

Bakal ditayangkan di lebih 60 buah pawagam di seluruh Malaysia dan Singapura bermula pada 5 Oktober 2023 nanti, Pagari Bulan mengisahkan Bulan (lakonan Nazeera), anak sulung kepada pengusaha tanaman, dan pemburu cekap, Ismail (lakonan Wan Azli), dan Hasnah (Laila) yang berhadapan dengan kedatangan tentera Jepun ke Kelantan menerusi Kota Bharu.                          

        

      Bukan filem feminis walaupun menonjolkan perjuangan wanita sebagai watak utama.


Penduduk kampung yang diketuai Ismail, dan orang kanannya, Masri (Azlan), serta kampung lain terpaksa mempertahan kampung mereka dengan apa juga cara, termasuk kekerasan. Oleh itu, ramai yang didera dan dibunuh, serta anak gadis sasaran ditahan, dan dikurung dijadikan sebagai pemuas nafsu (comfort woman), di bawah kelolaan seorang wanita bernama Momosan (Chelsia).

 

Bulan bersama-sama adiknya, Kasih (Irin Puteri) dan sahabat, Sui Li (Trisha) juga ditangkap. Mereka dikurung dan dipaksa mengikuti segala kemahuan askar Jepun demi memuaskan nafsu. Kekejaman tentera Jepun terhadap wanita mendorong Bulan mempertaruh nyawa demi menyelamatkan maruah bangsa, dan tanah airnya.

                                     

                                         Lakonan pendatang baharu, Aniq Durar tidak mengecewakan.


Keadaan semakin sukar kerana dalam penentangan terhadap kekejaman, dan nafsu serakah pegawai tentera Jepun seperti Kuzawa (Alvin) serta Leftenan Azu (Andy) yang sangat meminati Bulan dan Sui Li, muncul pula Miura (Aniq) yang budiman-intelektual. Dia jatuh cinta pada Bulan. Tentulah itu mencetuskan kemarahan Kuzawa, dan Azu.

 

Sementara itu, sebagai usaha awal promosi, treler rasmi filem Pagari Bulan yang asalnya adalah filem pendek telah disiarkan secara rasmi di semua pelantar media sosial Eleven Field dan MIG, sejak 12 September lalu. Idea asal Pagari Bulan datang daripada Ellyna Ahmad.

 &&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

                                        

Nazeera Sardi mengakui kesukaran menjayakan adegan pertarungan kerana beliau tidak pernah beraksi sedemikian, apatah lagi melibatkan senjata tajam.

No comments:

Powered by Blogger.