FLORA FAUNA

 

ZOO NEGARA SUDAH MATANG, ENAM DEKAD!

 

SELUAS kira-kira 63 hektar, Zoo Negara merupakan sebuah taman zoologi terbesar, dan terkemuka di Malaysia. Ia kaya dengan kepelbagaian spesies merangkumi  tujuh keunikan flora dan fauna, iaitu mamalia, burung, reptilia, amfibia, serangga dan ikan.

 

Zoo Negara dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 14 November 1963, dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu (yang pertama), Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

 

Jika mengikut tarikh sebenar, sudah lebih sedikit daripada 60 tahun. Walau bagaimanapun, majlis sambutan ulang tahun pada 27 Januari lalu masih relevan, kerana tidak terlalu jauh daripada tarikh. Ia masih dalam mood memperingat enam dekad dedikasi Zoo Negara terhadap usaha konservasi hidupan liar, pendidikan dan kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar.







=========================================================================

Jumlah koleksi hidupan liar di Zoo Negara terdiri daripada 306 spesies, berjumlah 3,586 ekor. Di sepanjang 60 tahun, Zoo Negara telah berkembang pesat dengan pembangunan infrastruktur yang kondusif, dan mesra pelawat.

 

Perasmian majlis sambutan yang berlangsung di Dataran Dato’ Ismail Hutson, disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

                                        

             





    











========================================================================= 

Zoo Negara berbesar hati dan berterima kasih kepada penaja utama majlis ini, iaitu Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, yang menaja wang tunai berjumlah RM100,000, dan sajian makanan, serta minuman bagi 1,000 pengunjung yang hadir.

 

Kemeriahan sambutan turut diserikan dengan buah tangan istimewa yang ditaja oleh Habib Jewels Sdn Bhd, iaitu kemasukan percuma untuk kanak-kanak berumur tiga sehingga 12 tahun.

 

Kanak-kanak tersebut turut menerima kipas tangan gajah, tajaan Hyperack Sdn Bhd, dan buku mewarna Zoo Negara, tajaan Pelangi Publishing Group Berhad.

 

Menariknya, Zoo Negara yang terletak hanya kira-kira 5 kilometer dari Kuala Lumpur ini, turut memberi hadiah kemasukan percuma kepada warga emas berusia 60 tahun, dan ke atas sebagai simbolik ulang tahun ke-60, sebagai penambah kemeriahan.

 

Habib Jewels turut melancarkan edisi kedua enam keping wafer syiling emas 999.9 (0.20 gram), iaitu Raja Cheetah, Panda Gergasi, Harimau Bengal Putih, Burung Kuang Emas, Singa Afrika, dan Zirafah bersempena dengan ulang tahun ini.

 

Orang ramai berpeluang membeli koleksi wafer syiling emas ini di semua cawangan Habib Jewels. Kek sambutan ulang tahun ke-60 Zoo Negara ditaja oleh Secret Recipe Cakes and Café Sdn Bhd.

 

Antara penaja lain yang turut menjayakan termasuklah Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Kyoto Enterprise, Radium Development Berhad, Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation, dan Loke’s Ice Cream Sdn Bhd.

 

Pengisian program diselitkan dengan penghargaan kepada para penaja yang menaja RM50,000 ke atas melalui penyampaian replika cek, disaksikan oleh Dato’ Seri Anwar.

 

Penaja-penaja tersebut ialah Yayasan Sime Darby, Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Habib Jewels Sdn Bhd, Sime Darby Oils, UEM Edgenta Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Ditrolic Energy Sdn Bhd, disokong oleh Huawei Malaysia, dan Hadramawt Kitchen.

 

Sijil penghargaan kategori perkhidmatan diberikan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.

                 


Capybara dan Oyen, antara spot yang paling menarik tumpuan pengunjung Zoo Negara sejak kira-kira tiga tahun kebelakangan ini.

                                                                   

 Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly Lana @ Rahmat Ahmat Lana, dalam ucapannya, antara pencapaian zoo ini selama enam dekad penubuhannya termasuk berjaya membiakkan beberapa spesies haiwan terancam.

 

“Sehingga hari ini kita berjaya membuat proses pembiakan haiwan spesies terancam, seperti harimau Malaya dan tapir. Pada masa sama, kami menerima dua ekor harimau dari pusat konservasi harimau Malaya dari Zoo Melaka,” ujar Datuk Rosly.

                                         

Tambah beliau, kejayaan signifikan Zoo Negara yang lain adalah diiktiraf oleh kerajaan China sebagai antara penjaga panda gergasi terbaik dunia.

 

“Ia susulan kejayaan melaksanakan usaha konservasi haiwan tersebut sejak 2014 menerusi pasangan panda Xing Xing dan Liang Liang,” katanya lagi.

 

Xing Xing dan Liang Liang melahirkan tiga anak, iaitu Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018), dan Sheng Yi (30 Mei 2021).

 

“Berikutan perjanjian program pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa antara Malaysia-China, Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 2017, manakala Yi Yi dan Sheng Yi telah dihantar pulang pada Ogos 2023,” jelas Rosly.

 

Tambah beliau, sambutan juga diadakan bersempena dengan memperingati enam dekad dedikasi Zoo Negara terhadap usaha konservasi hidupan liar, pendidikan dan kesedaran masyarakat tentang alam sekitar.

 

Sementara itu, dalam ucapan beliau, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk pembangunan Zoo Negara.

 

“Zoo Negara juga menerima dana tambahan menerusi program tanggungjawab sosial korporat atau CSR oleh beberapa syarikat, dan berjaya mengumpul jumlah sebanyak RM5 juta,” tambah beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat besar di negara ini kerana banyak memberi dukungan melalui CSR, bagi kejayaan pemuliharaan dan juga pengawalan umum di Zoo Negara.

 

Tegas Anwar, jumlah RM10 juta ini membolehkan kita mengawal, serta mengadakan wakil daripada Menteri Besar Selangor dan kerajaan supaya dapat bekerjasama dengan jawatankuasa yayasan Zoo Negara, agar kita dapat membaiki perancangan, dan projek di Zoo Negara.

 

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

 

Dalam pada itu, Anwar turut mencadangkan kepada Zoo Negara supaya mewujudkan satu ruang khas yang dinamakan sudut Madani.

 

“Saya harap dapat satu sudut yang indah dan khusus untuk mengangkat martabat Zoo Negara, dengan sudut khas Madani.

 

“Galakkan ibu bapa, dan guru-guru memberi tumpuan apabila anak-anak melawat bersama-sama penerangan, lantas menjadikan Zoo Negara ini medan pendidikan,” ujarnya yang memberi peringatan bahawa di samping menjaga kebajikan-hubungan baik sesama manusia, manusia juga harus memiliki rasa sayang kepada haiwan.

 

Anwar yang memuji kesungguhan dan keprihatinan Rosly, serta warga Zoo Negara menunaikan amanah, turut menyentuh soal anjakan paradigm, apabila mencadangkan penyediaan buku kecil, dan pena untuk para pengunjung mencatat maklumat berguna.

 

“Saya fikir buku kecil dan pena itu amat berguna bagi para pengunjung, terutama kanak-kanak untuk mencatat maklumat penting, kerana mungkin sukar mengingati kesemua jika hanya mendengar,” jelas Perdana Menteri.

 

-         RAJA YUSOFF ARIFFIN

No comments:

Powered by Blogger.