Pengarah, penerbit dan pelakon Banglo Seksyen 12, bersama-sama kumpulan Monosterio.


FILEM

 

Corak Seram Tetap Pilihan Intan Ladyana

BANGLO SEKSYEN 12

 

KALI terakhir pelakon Intan Ladyana, 41, beraksi di pawagam ialah menerusi filem Townmall (2020), arahan Dato’ Sri Eizlan Yusof, yang turut dibintangi Reen Rahim, Adam Shahz, Erry Putra, dan Dato’ Jalaluddin Hassan.

 

Selepas hampir empat tahun, Intan muncul menemui peminatnya dalam Banglo Seksyen 12 pula, terbitan Prisma Pictures Sdn Bhd (Prisma Pictures) bermula 25 Januari ini.

 

Bukan sahaja sebagai pelakon, malah menggalas tugas mengarah filem bercorak seram tersebut bersama-sama Dharma Nasution.   


Dari kiri; Syed Muhamad Izzudin Syed Akil, Intan Ladyana dan Dharma Nasution.

=======================================================================

                                        

Sebahagian daripada jemputan khas, dan pihak media yang hadir.

=======================================================================


Sidang media selepas tayangan Banglo Seksyen 12 pada 23 Januari lalu.


======================================================================

Semasa sidang media Majlis Malam Gala Banglo Seksyen 12 di GSC Lalaport, Bukit Bintang, 23 Januari lalu, Intan memberitahu beliau menyahut cabaran pengarah veteran Aziz M Osman yang turut terlibat dalam filem ini.

 

Mengenai soalan mengapa cerita Banglo Seksyen 12 menjadi pilihan beliau yang juga Penerbit Eksekutif, Intan memberitahu corak seram dan aksi lasak memang menjadi kegemarannya.

                                                     

                                 Intan Ladyana (kanan) dan suaminya, Harris Alif.

=======================================================================

Sebagai catatan, antara filem seram dan aksi lasak ‘pecah panggung’ yang pernah dibintanginya termasuklah Jangan Pandang Belakang (2007), Jangan Pandang Belakang Congkak (2009), Adnan Sempit dan V3 Samseng Jalanan (2010), Bini-Biniku Gangster, dan Adnan Sempit 2 (2011), serta Adnan Sempit 3 (2013).

 

“Diharap filem pertama terbitan saya bersama-sama Syed Muhamad Izzudin Syed Akil ini dapat diterima ramai, untuk membantu penghasilan filem seterusnya,” kata Intan yang memberitahu beliau dan Dharma memang rakan sejak terbabit dengan beberapa filem, termasuk Jangan Pandang Belakang.

 

Walaupun ditayangkan pada 2024, tetapi pembikinan Banglo Seksyen 12 telah dimulakan pada 2020, termasuk menghadapi rintangan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

                                         

                  Intan Ladyana menyampaikan ucapan alu-aluan dan penghargaan.

=======================================================================

Adaptasi memang berbeza dengan inspirasi. Mengadaptasi daripada filem, cerpen atau sajak biasanya mengambil sebahagian besar atau kurang daripada separuh karya tersebut – menggunakan nama watak dan latar yang sama atau lain.

 

Diinspirasikan pula adalah cerita, peristiwa, dan watak sesebuah karya yang mengilhamkan, atau mencetuskan idea untuk karya baharu – biasanya nama watak dan latar yang lain.

 

Banglo Seksyen 12 diinspirasikan daripada novel berjudul serupa, terbitan Buku Prima, hasil karya Hasrudi Jawawi.

                                     

                 Hariz Hamdan bersama-sama Mejar (K) David Teo (kanan).

=======================================================================

Menjawab persoalan inspirasi dan bukan adaptasi ini, Dharma yang turut hadir mengakui hakikat tersebut.

 

Hasil inspirasi itu, katanya, kisah yang dipaparkan dalam Banglo Seksyen 12 merangkumi tiga latar masa yang berbeza, iaitu pada 2006 (6 Jun), sekarang dan 2026.

 

“Saya menampilkan tragedi kematian akibat pembunuhan pada 2006, sekarang dan apa yang bakal berlaku pada 2026,” jelas Dharma.

                                      

                                    Dharma Nasution menyampaikan ucapan beliau.

=======================================================================

Banglo Seksyen 12 turut dibintangi Mustaqim Bahadon (KL Special Force/2018), Hariz Hamdan (Jemputan ke Neraka/2023), Faez Malek, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Wan Tepet, Aliff Shauqeen, Shukry Ramlee, Din Tamam, Airil Hafiz, Windz Neo, Suhaimi Azmi, Faris Fitri, dan Naz Aqiera.

 

Mustaqim, Hariz, Faiz, Silfeny dan beberapa pelakon lain, serta Syed Muhammad Izzudin turut menghadiri Majlis Malam Gala Banglo Seksyen 12, yang diserikan oleh persembahan langsung kumpulan Monosterio mendendangkan lagu tema filem, berjudul Jerangkung.

 

Filem ini mengisahkan sekumpulan penerjah aktiviti paranormal yang memilih banglo Seksyen 12, Shah Alam (untuk filem ini, syuting dijalankan di kawasan lain yang dirahsiakan) untuk merakamkan aktiviti tersebut.

                                                      

Faez Malek paling menonjol kerana lakonannya membawakan watak Fahmi begitu baik.

=======================================================================

Banglo itu digelar sebagai banglo berhantu kerana berlaku tragedi seram yang melibatkan pembunuhan enam remaja di situ.

 

Majlis Malam Gala tersebut ikut merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih Prisma Puctures, serta Metrowealth sebagai pengedar. Metrowealth diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mejar (K) David Teo, dan isteri beliau, Jane Lim.

                                      

Mustaqim Bahadon (tengah) bersama-sama Hariz Hamdan (kanan sekali) dan seorang lagi pelakon filem Banglo Seksyen 12.

======================================================================= 

Ia juga menghargai sokongan penuh Kementerian Komunikasi dan Digital (sekarang Kementerian Komunikasi), melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), atas Dana Kandungan Digital (DKD) yang telah dibelanjakan, bagi memastikan filem ini berjaya menemui penonton di pawagam.

 

-       RAJA YUSOFF ARIFFIN

                 

                                          

 Kumpulan Monosterio menyampaikan lagu tema Banglo Seksyen 12, berjudul Jerangkung.

 


No comments:

Powered by Blogger.