FILEM

Barisan pelakon Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu bersama-sama pengarahnya, Pierre Andre (empat dari kiri).

=========================================================================

Sinambungan Jangan Pandang Belakang Selepas 17 Tahun

 

ADA pihak yang mempertikai pemberian dana kandungan digital (DKD) oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kepada penerbit filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu.

 

Kata mereka, Jangan Pandang Belakang adalah filem besar, sebagaimana penerbitnya, Metrowealth Pictures (Metrowealth).

 

Walau bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, Mejar (K) David Teo menjelaskan bahawa ramai tidak tahu DKD diberikan oleh FINAS kepada filem bertaraf legenda.

                                                                                                                                                


    Mejar (K) David Teo (dua dari kiri) bersama-sama pengarah dan pelakon-pelakon Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu.
=========================================================================

Jangan Pandang Belakang bertaraf legenda. Oleh itu, pembiayaan penerbitan filem sekuelnya juga layak dibantu dengan pemberian DKD,” ujar Mejar (K) David semasa Sidang Media dan Doa Selamat Filem Jangan Pandang Belakang 2 di Wisma Metrowealth, Pusat Dagangan Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya pada 19 Februari lalu.

 

Menjawab soalan mengapa mengambil masa yang agak lama, iaitu 17 tahun, untuk menyambung Jangan Pandang Belakang, beliau mengatakan banyak kesukaran, dan masalah yang menghalang.

Menyingkap sejarah lalu, David mengatakan pergeseran yang berlaku antara beliau dengan Pierre Andre, pelakon utama JPB juga seperti payah berakhir.

 

“Oleh kerana Pierre pemegang watak utama, dan penulis asal, saya fikir hanya beliau yang paling layak mengarahkan Jangan Pandang Belakang 2. Tetapi, menunggunya muncul semula memang perit, sehingga saya tertanya-tanya adakah Pierre akan terus merajuk atau marah,” tambah David.

 

Menyambung faktor penerbitan filem ini, David memberitahu beliau mahu berkongsi dengan penonton pengalaman mistik yang dilaluinya.

“Saya terus mendapat ilham dan memilih untuk menjadikan Jangan Pandang Belakang sebagai platform penceritaan dengan harapan filem sekuel ini satu gelombang fenomena juga seperti 17 tahun lalu,” jelas beliau.

Iedil Dzuhrie Alaudin akan melompat dari mana pula dalam Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu nanti?

=========================================================================


Emma Maembong tidak menyangka sama sekali dipilih membintangi Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu, tetapi berazam memberikan lakonan terbaik.

=========================================================================

Ruminah Sidek@ Mak Mah (tengah) kekal sebagai Opah dalam Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu.

======================================================================

Sementara itu, Pierre yang pernah digelar sebagai pengarah bertaraf ‘raja filem seram’ memberikan penjelasan pada pertanyaan mengapa beliau tiba-tiba muncul semula dalam perfileman tanah air.

 

“Saya bersyukur dan gembira kerana akhirnya dapat memenuhi hasrat mengarahkan Jangan Pandang Belakang yang tidak kesampaian. Terima kasih Metrowealth, terutama Tuan David yang menaruh kepercayaan penuh pada saya,” kata Pierre.

  

Atas keyakinan kerana dianggap memiliki kelebihan untuk melihat, dan merasai perkara mistik, beliau berharap dapat menghasilkan Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu dengan cemerlang jika pun tidak setanding Jangan Pandang Belakang (JPB) arahan Dr Ahmad Idham.


Tugas Pierre Andre (tengah) sebagai pengarah dibantu oleh Azaromi Ghozali, pengarah filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.
=
===========================================================================

Selain David dan Pierre yang mengakui memikul tanggungjawab berat mengarahkan filem sekuel ini, turut hadir ialah para pelakon utama, Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, dan Ruminah Sidek, serta Kel Narina.

Pelakon lain seperti Khatijah Tan, Cat Farish dan Hafidzuddin Fazil tidak dapat hadir kerana ada komitmen kerja masing-masing. Ruminah, Khatijah, Cat dan Hafidzuddin adalah pelakon JPB yang dikekalkan.


Sementara itu, Emma memberitahu beliau tidak menyangka sama sekali dipilih membintangi Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu (JPB2:ATAU). Walaupun mengakui tugas berat yang perlu dipikulnya, tetapi beliau berazam memberikan lakonan terbaik.

 

Begitu juga dengan Alif, Mawar dan Kel yang akan membawakan watak masing-masing dalam filem yang mahu meneruskan fenomena dan keseraman JPB ini.                              

                                                 

                                                                        Mawar Rashid.

=========================================================================

Iedil yang terpilih memegang watak utama turut gembira membintangi filem ini meskipun corak seram bukanlah ‘makanan’nya.

 

“Saya berterima kasih kepada Tuan David kerana memberikan tawaran kepada saya walaupun amat jarang membintangi filem bercorak seram,” kata Iedil yang membintangi Kajiman: Iblis Terkejam Penagih Janji pada 2022 dari Indonesia sebagai filem seramnya yang pertama.

 

David sebelum itu secara berseloroh mengatakan kesukaran untuk mendapatkan Iedil kerana pelakon berbakat besar tersebut telah dikenali ada kecenderungan sendiri.

 

Ruminah atau Mak Mah pula teruja meskipun menyedari usia wataknya lebih tua. Begitu pun, beliau berjanji para penonton tidak akan kecewa dengan penampilannya sebagai Opah nanti.

                                                             

                                                        Pendatang baharu, Kel Narina.

=========================================================================

Memulakan penggambaran pada 20 Februari ini, JPB2:ATAU menyambung kisah kesinambungan saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi.

 

Namun begitu, ada sesuatu yang menghalang, dan itu lantas membawa pelbagai kejadian menyeramkan.

 

JPB mencatat fenomena filem terseram tanah air dengan menempa sejarah dalam industri perfileman negara setelah mendapat kutipan tiket filem Melayu tertinggi di Malaysia, iaitu RM 6.33 juta, dan kutipan mencecah RM 7.4 juta, serta merangkul anugerah BOX OFFICE dalam Festival Filem Malaysia ke-20.

 

Dalam perkembangan lain, Metrowealth Pictures telah menyiapkan penggambaran, dan menunggu tarikh tayangan bagi empat filem, iaitu Cheongsam Merah Darah, Ngesot, Citra Apartment, dan Pontianak 200KG.

 

Jika tiada sebarang halangan, David memberitahu, JPB2:ATAU akan menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini.

 

Filem terakhir terbitan Metrowealth adalah Kolesterol vs Cinta, arahan Eyra Rahman pada 2017 yang bercorak komedi romantik, dibintangi Kamal Adli dan Tiz Zaqyah.


- RAJA YUSOFF ARIFFIN 


No comments:

Powered by Blogger.