MUZIK

Risiko menampilkan MK dan Tuju kembali dalam sebuah video, selepas sebelum ini mereka dikatakan bergaduh, lalu berpecah dan seterusnya masing-masing membawa haluan sendiri.

=========================================================================

Risiko Temukan Gabungan Semula MK-Tuju dengan Benzooloo, Ghidd dan Meerfly

 

PADA 7 Februari lalu, sebuah video teaser (iklan acah) bagi video muzik Risiko telah didedahkan buat pertama kalinya oleh sebuah syarikat produksi, Twntytwo Degree. Video berdurasi 11 saat itu menjadi tular di media sosial, sehingga mencapai lebih sejuta tontonan dalam masa sehari.

 

Ini sekali gus mengejutkan ramai pihak, terutamanya peminat dan juga orang dalam industri yang melihat kualiti suntingan video muzik ini yang ‘bukan kaleng-kaleng’.

 

Tambahan lagi, lagu tunggal Risiko ini adalah sebuah lagu kolaborasi lima penyanyi rap terkenal, dan ada daya karisma tersendiri, iaitu Benzooloo, Ghidd, Meerfly, MK dan TUJU.

Namun begitu, yang membuatkan ramai penonton terpaku ialah melihat MK dan Tuju dalam sebuah video! Sebelum ini, mereka dikatakan bergaduh, lalu berpecah dan seterusnya masing-masing membawa haluan sendiri.

 

Kini setidak-tidaknya, lagu ini pasti mengejutkan ramai pihak kerana akhirnya dapat melihat mereka disatukan kembali. Sudah tentu ia satu berita gembira buat peminat yang mahukan mereka bergabung semula.


=========================================================================

Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat kelima-lima penyanyi rap ini meluahkan rasa tidak sabar untuk menonton video penuh Risiko yang khabarnya akan disiarkan pada 22 Februari nanti.



 

Menurut penerbit dan juga komposer lagu ini, Kinggolddigga, pihak Twntytwo Degree ada sebab tersendiri memilih tarikh 22 Februari untuk melancarkan video muzik dan lagu tunggal Risiko.

 

“Kami memilih 22 Februari kerana bersesuaian, dan bertepatan dengan nama Twntytwo Degree. Single ini adalah buah tangan pertama dari syarikat produksi kami yang masih baru. Insya-Allah, untuk single akan datang juga bakal dilancarkan pada tanggal 22 haribulan juga,” kata Kinggolddigga.

 

“Idea di sebalik pembikinan lagu ini mula direncanakan sekitar Ogos tahun lepas. Kolaborasi ini terhasil secara spontan. Idea untuk menggabungkan mereka juga datang secara tiba-tiba. Kelima-lima penyanyi ini dipilih kerana mereka adalah idola kebanyakan remaja di Sabah, termasuklah saya,” tambahnya.

 

Penggambaran video muzik Risiko dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, dan mengambil masa dua hari sahaja untuk disiapkan.

 

Dengan kemahiran, gaya suntingan serta kreativiti kru produksi Twntytwo Degree, ramai pemerhati dunia muzik tanah air percaya video muzik ini berpotensi memberi impak besar, dan akan menjadi penanda aras untuk penghasilan video muzik yang lebih baik di Malaysia.

 

Memetik dari ruangan komen, sinematografi video muzik ini cukup memukau, dan visualnya menarik. Sekali gus, ia menjadi taruhan utama video muzik ini. Tidak kurang juga ada yang berpendapat irama Risiko begitu unik.

 

Risiko membawa kisah setiap orang mempunyai cerita hidupnya sendiri yang unik, dan cara mereka mencapai puncak atau kejayaan juga berbeza-beza. Ada yang merancang setiap langkahnya dengan teliti, dan berusaha keras mencapai matlamatnya.

 

Walau bagaimanapun, ada juga yang menghadapi rintangan dan cabaran yang tidak disangka, tetapi pengalaman itu menjadikan mereka lebih kuat.

 

Jadi, nantikan video muzik penuh Risiko pada 22 Februari ini serentak dengan pelancaran lagu tunggalnya di semua platform penstriman.


- RYA

No comments:

Powered by Blogger.