BUDAYA/PELANCONGAN


                                                                                        

========================================================================

Menara Kuala Lumpur Berbakti dengan Pertandingan Memasak Bubur Lambuk

 

BERSEMPENA dengan kehadiran bulan Ramadan al-Mubarak 1445 Hijrah yang dijangka bermula pada 12 Mac depan, Menara Kuala Lumpur (MKL) telah mengadakan Pertandingan Memasak Bubur Lambuk (PMBL) pada 24 Februari lalu, bermula jam 8 pagi di perkarangan parkir, MKL.

 

Pada masa yang sama, sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab khidmat masyarakat (CSR), MKL turut menjemput anak-anak yatim dan asnaf (yang layak menerima zakat) dari Pertubuhan Kebajikan Nur Hati. PMBL turut meyerahkan sumbangan kewangan sebanyak RM5,000 dari MKL kepada pertubuhan tersebut.

 

Tidak cukup dengan itu, bubur lambuk yang telah dimasak pada acara ini juga diagih-agihkan kepada penerima yang layak (rumah anak-anak yatim, masjid dan surau, pusat khidmat gelandangan, serta kepada golongan asnaf) yang telah dikenal pasti di sekitar Kuala Lumpur.


Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Encik Nazli Saad.
=========================================================================


Salah sebuah kumpulan yang menyertai Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2024 di Menara Kuala Lumpur pada 24 Februari lalu.

======================================================================

PMBL 2024 disertai 17 kumpulan dalam dua kategori, iaitu terbuka dan masjid/surau. Setiap kumpulan terdiri daripada empat tukang masak yang mahir.

 

Hasil masakan para peserta dinilai oleh tiga juri jemputan, iaitu Chef Zaidah Mohd Noor dan Chef Yang Jamil yang terkenal, serta Chef Musa dari ARAS Restaurant MKL.



Chef Yang Jamil (bersongkok), dan Chef Chef Zaidah Mohd Noor (kiri), dua daripada tiga juri Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2024 pada 24 Februari lalu di Menara Kuala Lumpur.

======================================================================

Tegas Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Encik Nazli Saad, antara tujuan utama pertandingan yang telah dimulakan pada 2011 ini adalah memperkenal juadah bubur lambuk sebagai sejenis masakan tradisional yang perlu dihargai, terutamanya kepada generasi muda.

 

“Kami mahu memastikan ia tidak dilupakan, dan kekal sebagai sebahagian daripada masakan warisan di tengah-tengah era kemodenan hari ini,” tambah Encik Nazli.


Wakil Pertubuhan Kebajikan Nur Hati (baju putih, tengah) menerima sumbangan kewangan RM5,000 dari Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2024 sambil diperhatikan oleh wakil-wakil rakan kerjasama Menara Kuala Lumpur.

=========================================================================

Kata beliau lagi, PMBL lebih daripada sekadar pertandingan, sebaliknya peluang untuk pengunjung tempatan dan antarabangsa menyelami sejarah tentang kaedah memasak bubur lambuk.

 

“Para hadirin berpeluang menikmati pelbagai resipi menarik yang disediakan oleh tukang masak mahir,” tambah Nazli.


Juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga kategori masjid/surau Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2024 pada 24 Februari lalu.

======================================================================

PMBL berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di Amphiteater (Panggung Terbuka), MKL. Jumlah keseluruhan hadiah adalah RM12,000 yang merangkumi juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga bagi setiap kategori.

 

Juara setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000. Naib juara pula meraih RM2,000, dan tempat ketiga menerima RM1,000.



                                                                                                                                                     

Para peserta Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2024 turut menghiasi meja reruai mereka dengan kreativiti menarik.

======================================================================

Juara kategori terbuka menjadi milik kumpulan Muhammad Haziq Hazwan Ruslin yang mengumpul 256 markah.

 

Naib juara pula dimenangi kumpulan Mohammad Azlan Mohamad Juri (249 markah), dan tempat ketiga diraih oleh kumpulan Khairul Anuar Haizaron (234 markah).

 

Sementara kumpulan Ismail Abu dengan 244 markah menjuarai kategori masjid/surau. Kumpulan Mohd Tarmizi Abd Wahab (232 markah), naib juara, dan kumpulan Mohd Nosri Ahmad pula tempat ketiga (198).

 

Nazli turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Majlis penyampaian hadiah berkenaan turut dihadiri wakil-wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Air Selangor, Syarikat Faiza Sdn Bhd, Astana City Group Sdn Bhd, Harta Maintanance Sdn Bhd, dan Universiti Teknologi MARA sebagai rakan kerjasama.





-          RAJA YUSOFF ARIFFIN

 


No comments:

Powered by Blogger.