AGAMA-SENI

 

Pempengaruh, Selebriti, Artis Tanah Air, Peniaga Tempatan Jayakan Fiesta Raya @ the Curve

 

RAMADAN dan Syawal bakal datang lagi!

 

Sambil taat menunaikan ibadat puasa fardu yang mencabar keimanan, umat Islam, khususnya di Mutiara Damansara berpeluang mengunjungi lokasi alternatif bagi mendapatkan barangan keperluan di sepanjang bulan yang sedang dilalui, dan Syawal berikutnya.

 

Antaranya ialah Fiesta Raya @ the Curve yang akan berlangsung dari 12 Mac hingga 9 April 2024 di sepanjang bulan Ramadan 1445 Hijrah di the Curve, Mutiara Damansara, Selangor.

 

Ilham menganjurkan Fiesta Raya @ the Curve datang daripada ANS Diversified Sdn Bhd (ANS Diversified), Team360, dan NiyatEnson Empire Sdn Bhd (NiyatEnson Empire).

 

Semasa sidang media acara berkenaan di Hotel Royale Chulan the Curve pada 27 Februari lalu, jurucakap ANS Diversified, Encik Ahmad Faizal Zulkipli memberitahu, festival kali pertama ini akan menghimpunkan lebih 50 gerai barangan kelengkapan Hari Raya Eidulfitri, dan juadah makanan, selain dimeriahkan dengan acara sampingan seperti the Curve Berselawat, Iftar Amal bersama-sama rumah-rumah kebajikan, dan anak-anak yatim terpilih, serta peluang menyertai cabutan bertuah apabila pengunjung berbelanja minimum RM150 dari gerai-gerai jualan Fiesta Raya.

                                                                            

      

                     Encik Ahmad Faizal Zulkipli (baju putih memegang mikrofon), bersama-sama (dari kiri) Encik Ayob Majid, Encik ohd Farhan Aizwan, Cik Elaine Liew, Tuan Dr Fitri Haris, Puan Farah Fakhira, dan Puan Wan Nurul Jannah.

=========================================================================

“Para pengunjung juga berpeluang membawa pulang Duit Raya sehingga RM1,500 menerusi Pertandingan Selfie dan Menang,” tambah beliau.

 

Turut hadir Tuan Dr Fitri Haris, Pengarah Urusan NiyatEnson selaku penganjur bersama. Katanya, di sepanjang fiesta berlangsung, para pengunjung akan dapat merasai pengalaman Ramadan Raya bersama-sama para pempengaruh terkenal tanah air seperti Tajul dan isteri, Hajar LK, Farah Khira.

 

“Akan ditampilkan juga barisan artis yang bakal menghiburkan, dan memberi pengisian jiwa seperti kumpulan nasyid UNIC, serta Nizam Laksamana, Rabithah, dan Ikhwan Fatanna,” jelas Dr Fitri.

                                     

                                                        Tuan Dr Fitri Haris.

=========================================================================

Farah yang juga pengasas Khira Official; wakil Starvillion, Puan Wan Nurul Jannah; Tajul yang juga penyanyi dan isterinya; Pengerusi Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Encik Ayob Abdul Majid; Ketua Community Outreach The Noor, Encik Mohd Farhan Aizwan; dan Pengurus Pusat the Curve, Cik Elaine Liew turut menghadiri sidang media berkenaan.

 

Daripada 50 gerai, 35 menawarkan barangan kelengkapan Syawal, dan 15 lagi pula makanan dengan pelbagai hidangan juadah berbuka puasa di sepanjang tempoh festival 29 hari itu.

 

Difahamkan bahawa pihak penganjur juga mahu menjadikan Fiesta Raya @ the Curve sebagai acara tahunan di pusat beli-belah the Curve. Untuk yang pertama ini, ia menyasarkan lebih 500,000 pengunjung.

                                                                                                

                                                                             

                     Gimik perasmian Fiesta Raya @ the Curve oleh Encik Ahmad Faizal Zulkipli (memegang pen).

=========================================================================

Mengenai imbuhan kepada artis yang terlibat membuat persembahan, Ahmad Faizal memberitahu, artis berkenaan turut berniaga di sepanjang festival. Justeru, secara tidak langsung mereka memperoleh pendapatan.

 

“Walau bagaimanapun, pembayaran untuk artis berkenaan terpulang kepada penaja yang memilih mereka,” tambah beliau yang berharap ramai lagi pihak akan tampil menjadi penaja Fiesta @ the Curve.

 

Dengan sokongan daripada the Curve, Hotel Royale Chulan the Curve, Aplikasi Muslim the Noor, Yayasan Digital Malaysia, Khira dan Starvilion, Fiesta Raya @ the Curve akan memberikan satu pengalaman baharu kepada para pengunjung pusat membeli-belah the Curve, peniaga-peniaga dan juga para penduduk di kawasan Mutiara Damansara.

                                            

                                                     Encik Ayob Abdul Majid (kiri).

=========================================================================

Bertemakan ‘Kongsi Keriangan, Rasai Keunikan!’, Fiesta Raya @ the Curve, Mutiara Damansara adalah antara lokasi yang perlu dikunjungi di sepanjang Ramadan bersama-sama keluarga menikmati pengalaman berbuka puasa secara santai di pusat beli-belah terkemuka itu, selain pembelian kelengkapan persiapan Hari Raya Eidulfitri, menjelang Syawal nanti.

 

*untuk maklumat lanjut, boleh hubungi 012 4056349 (Puan Eli) atau 012 3055861 (Puan Amira).

 

-         RAJA YUSOFF ARIFFIN


                                                                            

No comments:

Powered by Blogger.