PELANCONGAN

 

Anugerah Industri Pelancongan Galakan untuk Pemain Industri Pelancongan Negara



Dari kiri; Dr Jason Hee, Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor, Dato’ Hajah Emmy Suraya Hussein, Mohd Amirul Rizal, Dato’ Noorzaleha Baharuddin, Aaron Tan, dan Datuk Azlie Halim.

=========================================================================

LEBIH daripada 60 anugerah akan diberikan kepada para pemain industri pelancongan Malaysia menerusi Anugerah Industri Pelancongan (TIA) atas sokongan, dan kecemerlangan mereka dalam pembangunan industri pelancongan tanah air.

 

Julung kali diadakan, TIA akan berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 26 Julai 2024. Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir, dan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.

 

Menurut Pengerusi Penganjur TIA 2024, YBhg Dato’ Hajah Emmy Suraya Hussein, acara berskala besar ini bertujuan mengenal pasti, dan menghargai para pemain industri pelancongan atas kehebatan, serta inovasi perkhidmatan dan produk mereka.

 

“Ia juga bertindak sebagai pendorong kepada para peserta untuk berusaha mencapai tahap tertinggi dalam profesionalisme dan kualiti bagi kedua-dua perkhidmatan dan produk,” tambah beliau.

 

Dato’ Emmy Suraya menyatakan sedemikian semasa sidang media TIA 2024 di Bilik Tamingsari 1, Tingkat Bawah, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu.

 

Kata beliau lagi, TIA yang dianjurkan oleh Malaysia Truly Asia, MITDA, dan Santai Travel Magazine merupakan penghormatan dan sanjungan tertinggi, kepada individu dan pertubuhan yang menyumbang, dan berperanan besar dalam kejayaan industri pelancongan tanah air.

 

Justeru, tidak timbul soal lewat atau cepat anugerah ini diadakan kerana kepentingan, serta tujuan yang disebutkan. Di negara kita telah banyak anugerah dalam pelbagai bidang, tetapi belum ada dalam bidang pelancongan.

 

“Dengan ini saya ingin menjemput anda semua membuat pencalonan bagi individu dan pertubuhan yang layak dalam kategori masing-masing menyertai TIA 2024. Saya akan menunggu maklum balas positif daripada orang ramai, untuk mengetahui dan mengenal pasti mereka yang bekerja keras mengangkat tahap pelancongan negara kita,” tambahnya.

                                          

Datuk Azlie Halim (berdiri) turut menjawab beberapa soalan dan memberikan maklumat semasa sesi sidang media Anugerah Industri Pelancongan 2024.

=========================================================================

Turut hadir, wakil Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, YBrs Encik Mohd Amirul Rizal; Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA), YBrs Tuan Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor; Setiausaha MITDA, YBhg Dato’ Noorzaleha Baharuddin; Presiden Persatuan Pertunjukan Fesyen Malaysia, YBrs Tuan Dr Jason Hee; Pengarah Kumpulan Jualan & Pemasaran Royale Chulan Kuala Lumpur, YBrs Encik Aaron Tan; dan pengasas Santai Travel Magazine, YBhg Datuk Azlie Halim.

 

Emmy, Kapten (B) Mahadzir, Dr Jason dan Aaron menyatakan keterujaan masing-masing dengan penganjuran TIA 2024. Mereka berharap anugerah ini akan mendapat sambutan hangat, dan mencapai matlamatnya.

 

Mahadzir dalam ucapan ringkas beliau menyatakan industri pelancongan memang membawa keuntungan besar kepada mana-mana negara kerana ia berjalan dalam bentuk ‘bayar terus’, sama ada tunai atau kad kredit.

 

“Tiada hutang atau bertangguh bayaran dalam semua urusan di hotel, rumah inap desa, pengangkutan dan sebagainya,” jelas beliau.

                                                                                                             Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor menyampaikan cenderamata kepada Mohd Amirul Rizal (tengah), diperhatikan oleh Dato’ Hajah Emmy Suraya Hussein.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Mengenai jumlah anugerah yang banyak, Emmy memberitahu itu disebabkan jumlah hotel yang banyak di negara kita, yang mempunyai 14 negeri.

 

Walau bagaimanapun, bagi Jason, jumlah anugerah sepatutnya lebih banyak kerana 60 itu sudah menjadi perkara biasa.

 

Aaron pula berpendapat TIA memang amat baik dan boleh kuat mendorong para pemain berusaha dengan sebaik mungkin.

 

“Ini kerana bagi hotel misalnya, soal sebesar-besar hingga sekecil-kecil akan diambil kira dalam pemarkahan untuk anugerah. Itu dengan sendirinya menggalakan kebaikan, dan kecemerlangan,” kata beliau.   

 

-         RAJA YUSOFF ARIFFIN

 

      

 

No comments:

Powered by Blogger.