Didik Rakyat Jadi Manusia Bersih-Sihat-Lestari
HARI CUCI MALAYSIA
SAMBIL mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir, dan turut menyertai perasmian Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Clean Up Day 2024 pada 28 September, YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengingatkan bahawa kebersihan awam adalah suatu keperluan yang penting untuk sesebuah bandar atau kawasan demi memastikan kesejahteraan penduduk dipenuhi secara menyeluruh.
Persekitaran yang bersih dan bebas daripada pencemaran, kata beliau, dapat mengurangkan risiko penyakit, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk sesebuah bandar atau kawasan.
“Kita seharusnya tidak menganggap World Cleanup Day ini sekadar suatu acara tahunan sahaja, tetapi menjadikannya satu amalan hidup kita untuk memastikan persekitaran kita sentiasa bersih,” tegas YB Nga.
Aktiviti kita pada hari ini, tambahnya, melangkaui sekadar mengutip sampah sahaja, malah kita hendak memupuk budaya kesedaran pemeliharaan alam sekitar, dan penjagaan kebersihan awam secara bersama.
Beliau menyatakan sedemikian dalam ucapan perasmian Hari Cuci Malaysia tersebut, di kawasan tempat letak kereta Pasar Seni, Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur.
Turut hadir, YB Puan Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan); YBhg Datuk Wira M Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha KPKT; YBhg Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan; YBhg Dato’ Seri Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur; Wakil-wakil kementerian, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, para pelajar, komuniti, dan masyarakat setempat.
“Sampah yang kita lihat dibuang di tempat awam sama ada jalanan, pantai, hutan dan persekitaran adalah suatu gejala tidak sihat yang memberikan petunjuk kepada isu pokok yang lebih besar yakni, sikap sebahagian masyarakat kita yang masih belum cakna dan
memandang enteng terhadap aspek kebersihan,” ujar Nga lagi.
Persekitaran yang kotor, tambah beliau, disebabkan oleh gabungan pelbagai faktor. Ini termasuk pencemaran, masalah pengurusan sisa, kepadatan penduduk dan urbanisasi, serta kelemahan tadbir urus.
“Tetapi paling utama adalah tingkah laku dan sikap individu yang tidak ambil peduli, seperti membuang sampah merata-rata. Kita perlu sedar bahawa kaedah paling efektif untuk menangani isu-isu ini memerlukan usaha kolektif, iaitu daripada pembuat dasar dan perancang bandar hinggalah kepada penduduk setempat,” jelas Nga, merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan.
Mengenai kepentingan meraikan World Cleanup Day di Malaysia, beliau memberitahu bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan 20 September pada setiap tahun, sebagai World Clean Up Day.
Acara global tahunan ini adalah salah satu usaha yang didedikasikan untuk menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat, dan meningkatkan kesedaran terhadap tindakan pembersihan awam di segenap lapisan masyarakat.
“KPKT melalui SWCorp turut menyertai Program World Cleanup Day sejak 2020, dan pertama kalinya menganjurkan Program World Cleanup Day Peringkat Kebangsaan, melibatkan seramai 3,961 sukarelawan di 39 lokasi di seluruh Malaysia,” jelas Nga.
Dalam program tersebut, tambah beliau, aktiviti pembersihan kawasan serta audit sisa telah dilaksanakan, dan berjaya mengumpulkan sebanyak 13,529 kilogram sisa. Sejak dari itu, program ini telah menjadi salah satu program tahunan SWCorp, dan berjaya mengumpul serta mengaudit sebanyak 240,498.33 kilogram sisa dari 311 lokasi.
“Jumlah Sukarelawan Hero Kebersihan SWCorp yang berdaftar juga telah meningkat sebanyak 89 peratus, iaitu seramai 35,700 orang. Para sukarelawan ini turut dijemput untuk menyertai pelbagai program kesukarelawanan, termasuk Program World Cleanup Day,” ujarnya lagi.
Nga seterusnya memberitahu bahawa di Malaysia, sejumlah 13.91 juta tan sisa pepejal telah dihasilkan pada 2021, dan jumlah ini meningkat kepada 14.25 juta tan pada 2023. Kita menjangkakan bahawa ia akan terus meningkat jika tiada tindakan untuk mengurangkan penjanaan sisa yang diambil. Setiap individu di negara ini pada asasnya, tambah beliau, akan menghasilkan 1.17 kilogram sisa setiap hari.
“Situasi penjanaan sisa pepejal yang meningkat ini akan memberikan impak yang besar kepada kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia. Sekitar RM2.0 bilion ketika ini diperuntuk setiap tahun bagi tujuan tersebut, dan dijangka akan terus meningkat saban tahun, yang bukan sahaja menekan sistem pengurusan sisa sedia ada, tetapi juga meningkatkan risiko pencemaran alam sekitar, dan kesihatan awam,” tegas beliau.
Justeru, program Hari Cuci Malaysia Sempena World Cleanup Day 2024 adalah sebagai salah satu inisiatif dalam menyambut seruan pada peringkat global.
“KPKT sebagai sebuah kementerian yang sentiasa ke hadapan menganjurkan Program Mega Pembersihan bersempena World Clean Up Day 2024 pada hari ini. Inisiatif ini juga seiring dengan hasrat, dan aspirasi Kerajaan MADANI yang berteraskan pada kemampanan, dan kesejahteraan masyarakat,” ujar Nga.
Program ini berkonsepkan pada pelaksanaan gotong-royong mega secara bersepadu di seluruh negara yang meliputi skop pembersihan kawasan sekitar, pembersihan dan penutupan
enam tapak sampah haram, pelaksanaan kempen kitar semula, dan kesedaran penggunaan plastik sekali guna.
“Saya difahamkan program gotong-royong hari ini dilaksanakan melalui skala besar, dan serentak di seluruh negara termasuk pelajar sekolah, syarikat konsesi, komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR), komuniti PRIMA home, 156 Pihak Berkuasa Tempatan, semua kementerian dan rakan strategik KPKT seluruh negara,” ujar beliau.
Selain aktiviti gotong-royong yang dijalankan dalam tempoh 12 jam, iaitu dari jam 8 pagi hingga 8 malam, pihak penganjur juga akan mengadakan karnival mini, dan menjemput orang ramai untuk turut serta dalam program ini.
Terdapat beberapa aktiviti lain seperti pasukan gotong-royong, perkongsian maklumat, pertandingan mewarna, pameran kebombaan, cabutan bertuah, pameran mengenai kelestarian hidup, dan ekonomi kitaran, serta pasar lambak.
“Seterusnya, KPKT turut menyasarkan pelaporan yang dapat menyumbang kepada penciptaan rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records bagi kriteria bilangan penyertaan teramai melalui pelaksanaan di seluruh negara, kutipan sisa pepejal terberat, dan tempoh masa gotong-royong terlama, iaitu 12 jam,” ujar Nga yang berharap program ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat, dan komuniti pada setiap peringkat mengenai kepentingan, dan tanggungjawab terhadap kebersihan awam, demi kesejahteraan, dan kesihatan semua.
“Kebersihan awam adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak. Ini termasuklah dengan membuang sampah dengan betul di tempat yang ditetapkan, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, mengamalkan aktiviti kitar semula, menyertai aktiviti gotong-royong, dan bermacam-macam lagi,” tambahnya.
Melalui usaha secara kolektif dan dukungan semua pihak, Nga yakin kita akan dapat mencapai kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar, selaras dengan prinsip Malaysia Madani. Setiap anggota masyarakat, katanya, perlu memainkan peranan dalam memastikan persekitaran kita bersih, sihat dan mampan.
Sebelum itu, YB Dr Zaliha dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Nga kerana memberi keutamaan kepada Kuala Lumpur sebagai pihak berkuasa tempatan pilihan untuk diadakan majlis pelancaran Hari Cuci Malaysia 2024.
Dalam
ucapannya itu, Zaliha turut memberitahu bahawa rakyat Malaysia direkodkan
membuang sebanyak 38,000 tan sisa pepejal, atau secara puratanya 1.17 kilogram
bagi
setiap
seorang. Jumlah ini jika kita buat perbandingan, boleh memenuhi Stadium Nasional
Bukit Jalil yang memuatkan lebih 87,000 penonton dalam masa 12 hari sahaja.
“Di
Kuala Lumpur sahaja, sebanyak 2,044 tan sehari dihasilkan oleh warga kota
dengan kos yang perlu ditanggung oleh DBKL adalah kira-kira RM 226 juta
setahun. Ini adalah perbelanjaan yang sangat besar, dan jika kita boleh
kurangkannya, mungkin perbelanjaan tersebut boleh digunakan kepada pembangunan
yang dapat memberi manfaat kepada rakyat,” tegas beliau.
Sehubungan
itu, tambah Zaliha, program ini bukan sekadar simbolik, tetapi juga merupakan
satu inisiatif yang memperlihatkan komitmen kerajaan dalam menjaga
kesejahteraan alam
sekitar
di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur selaras dengan enam konsep Malaysia
MADANI yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Majunya
sesebuah bandar itu tidak hanya diukur semata-mata dengan pembangunan fizikal
yang pesat sahaja, tetapi juga melalui tahap kebersihan dan kesihatan persekitaran.
Bandar raya yang bersih menjadi asas pada pembangunan ekonomi dan sosial yang
mampan,” katanya lagi.
“Sudah
tentu ini juga akan memenuhi keperluan dunia melalui Matlamat Pembangunan
Mampan atau SDG di bawah sasaran ketiga, iaitu Good Health and Well Being, sasaran keenam, Access to Clean Water and Sanitation dan sasaran kesebelas, Sustainable Cities and Communities,”
tambah Zaliha.
Bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang baru sahaja kita raikan, pelaksanaan Hari Cuci Malaysia yang diadakan serentak di seluruh negara ini bukan hanya menzahirkan komitmen kita untuk menjadikan Malaysia lebih bersih dan sejahtera, malah beliau melihat ia juga menjadi platform yang secara tidak langsung memupuk semangat kerjasama, setiakawan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita.
Selaku menteri yang bertanggungjawab kepada Wilayah Persekutuan, Zaliha menegaskan beliau amat menyokong usaha sebegini kerana ia seiring dengan visi Wilayah Persekutuan, termasuk Kuala Lumpur, sebagai CHASE City, iaitu akronim kepada Clean City, Healthy City, Advanced City, Safe City, dan Eco-friendly City, yang merupakan kerangka atau framework beyond the idea of only Smart City.
“Ini
adalah sudut baharu dalam membangunkan bandar pintar. Melalui CHASE City, kita akan memastikan kebersihan,
kesihatan, keselamatan dan kelestarian alam turut diambil kira
dalam
pembangunan sesebuah bandar, selain elemen kemajuan teknologi. Visi ini akan
menjamin kesejahteraan rakyat, serta kelestarian jangka panjang di Kuala Lumpur,
dan Wilayah Persekutuan secara keseluruhannya,” ujar beliau.
Antara inisiatif yang telah diperkenal di bawah CHASE City adalah Waste to Wealth yang merupakan sebahagian daripada polisi sifar sisa di Kuala Lumpur. Melalui inisiatif ini, tambah Zaliha, kita mengubah pandangan bahawa sisa adalah beban, kepada perspektif bahawa ia merupakan sumber yang mempunyai nilai ekonomi, bertepatan dengan konsep ekonomi kitaran yang sering diperkata sekarang.
“Program seperti 1 Komuniti 1 Pusat Kitar Semula, atau 1C1R telah diperkenalkan bagi menyokong inisiatif ini, dan ia telah memberi impak besar kepada komuniti, di mana pengumpulan barangan kitar semula bukan sahaja mengurangkan sisa pepejal, tetapi juga memberi peluang kepada komuniti untuk menjana pendapatan tambahan,” katanya.
Ini adalah antara Wilayah Persekutuan membentuk komuniti yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Kita
tidak hanya inginkan bandar yang pesat membangun, tetapi juga bandar yang
selesa dan bersih untuk didiami. Saya berharap agar usaha ini tidak terhenti
untuk hari ini sahaja. Mudah-mudahan ia akan menjadi pemangkin kepada usaha
yang berterusan,” tegas Zaliha yang mengharapkan penglibatan semua lapisan
masyarakat, termasuk generasi muda sebagai agen perubahan ini menjamin masa
depan yang lebih bersih, dan mampan.
Program
seperti ini juga, tambah beliau, amat penting untuk memastikan imej Malaysia
kekal bersih dan indah, terutamanya apabila kita menghampiri Kepengerusian
ASEAN pada tahun hadapan, dan seterusnya menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2026.
Ini adalah sebahagian daripada persiapan kita untuk menerima lebih ramai
pelancong ke Malaysia.
“Kebersihan dan keindahan bandar raya kita, terutamanya Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan pintu masuk utama negara, akan mencerminkan komitmen negara kepada kedua-dua acara penting dan bersejarah ini,” ujar beliau yang semasa Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan pada 26 September lalu, mengarahkan Datuk Bandar memastikan penguatkuasaan dibuat kepada premis-premis di Kuala Lumpur, khususnya premis makanan tentang kebersihan mereka.
Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Lestari Niaga yang ditekankan oleh Perdana Menteri. Kalau didapati premis tersebut tidak mencapai tahap kebersihan optimum, lesen perniagaannya tidak akan disambung. Ini satu langkah serius yang akan diambil oleh DBKL.
*disesuaikan untuk siaran oleh RAJA
YUSOFF ARIFFIN