PENDIDIKAN
Anugerah dan Bantuan
RM457,000 untuk Pelajar Cemerlang YWP 2024
YB Dr Zaliha Mustafa,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengucapkan tahniah
kepada 429 pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan
(YWP) 2024.
Jumlah
tersebut melibatkan pelajar-pelajar cemerlang SPM, dan STPM bagi 2023,
pelajar-pelajar yang menerima Skim Biasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
YWP, pelajar-pelajar semester pertama IPT yang menerima Skim Bantuan Awal IPT
YWP, dan pelajar-pelajar sekolah yang menerima Skim Biasiswa Sekolah Menengah
YWP. Kesemuanya menerima agihan bantuan sebanyak RM457,000.
Dr Zaliha memberikan penghargaan tersebut sewaktu berucap sebelum menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan 2024, di Dewan Tun Dr Siti Hasmah, Rumah Puspanita, Kuala Lumpur pada 27 Oktober lalu.
YB Dr Zaliha Mustafa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan 2024 pada 27 Oktober lalu.
Majlis
tersebut dianjurkan oleh YWP dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL), dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).
Penganjurannya
bertujuan meraikan pelajar cemerlang dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
(WPKL) yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM, dan STPM 2023, sekali
gus meningkatkan motivasi dan semangat pelajar lain agar terus berusaha
mencapai kejayaan dalam bidang akademik, dan kokurikulum.
Majlis
ini juga bertujuan mengiktiraf usaha dan pencapaian pelajar, meningkatkan
motivasi dan semangat pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan, menggalakkan
persaingan sihat, memberi inspirasi kepada pelajar lain, serta menghargai
sokongan ibu bapa dan guru yang berjaya mendidik, dan membimbing pelajar ke
arah kejayaan.
Dalam
ucapannya, Dr Zaliha merangkap Pengerusi YWP menyatakan penganugerahan ini
adalah bukti komitmen Kerajaan, melalui YWP dalam mengiktiraf kejayaan, dan
kecemerlangan anak-anak.
Salah seorang pelajar cemerlang yang menerima anugerah yang disampaikan oleh YB Dr Zaliha Mustafa (enam dari kanan).
###################################################################################
“Ini
juga adalah sebahagian daripada inisiatif yang dimasukkan dalam elemen Program
Usaha Jaya Insan atau PUJI,” tambah beliau yang menegaskan bahawa pendidikan
adalah tunjang pembangunan sesebuah negara, dan ketamadunan.
Ia,
kata Dr Zaliha lagi, bukan sahaja membentuk individu, malah turut mencorakkan
masyarakat dan ekonomi negara.
“Pelaburan
dalam pendidikan adalah pelaburan masa hadapan negara. Ia tanggungjawab kita
bersama untuk memastikan sistem pendidikan kita adalah yang terbaik,” tegasnya.
Di
Wilayah Persekutuan (WP), antara tumpuan yang beliau selalu bangkitkan adalah
untuk mengeluarkan isi rumah miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan melalui
pendidikan.
“Justeru,
antara flagship dalam PUJI adalah
Ilmu @ PUJI, apabila kita memberikan bantuan kewangan seperti hari ini
sehinggalah menyediakan bas MySchoolBus
@ Wilayah untuk membantu anak-anak dari keluarga yang tidak mampu ini, datang
ke sekolah, dan menerima pelajar yang sepatutnya berada di sekolah, di mana
kita cuba untuk memastikan semua anak WP tidak tercicir daripada pendidikan,”
jelas Dr Zaliha.
Salah seorang lagi pelajar cemerlang yang menerima anugerah yang disampaikan oleh YB Dr Zaliha Mustafa (dua dari kanan).
“Ini
adalah antara komitmen kami di Jabatan Wilayah Persekutuan untuk membantu anak-anak
WP menimba ilmu tanpa diskriminasi. Kita percaya bahawa setiap anak berpotensi
untuk berjaya jika diberi peluang yang sama, dan inilah matlamat utama kita,”
ujar Dr Zaliha lagi.
Beliau
seterusnya mengingatkan dalam dunia yang semakin mencabar hari ini,
kecemerlangan
akademik
semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran. Majikan, katanya lagi, kini mencari
individu yang ada kemahiran interpersonal seperti kebolehan berkomunikasi dengan
berkesan, kemahiran kepimpinan dan keupayaan untuk bekerja dalam pasukan.
“Justeru,
saya melihat YWP perlu memikirkan program-program bagi membangunkan soft skills atau kemahiran insaniah
kepada anak-anak WP semasa masih bersekolah lagi, agar mereka boleh melengkapkan
diri, dan juga bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang lebih kompleks
di luar sana,” kata beliau, yang yakin dengan pendekatan holistik seperti ini,
insya-Allah, akan lahir generasi yang lebih seimbang, bersedia menghadapi cabaran
masa depan, dan mampu berfungsi dengan efektif dalam komuniti, serta pasukan
kerja kelak.
Kita,
tambah beliau, mahu melihat anak-anak ini menjadi aset negara yang berharga,
yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berkemahiran.
Tegas
Dr Zaliha, dari aspek pendidikan, fokus Kerajaan kini lebih tertumpu pada aliran
TVET, yang tidak boleh lagi dilihat sebagai kerjaya pilihan kedua, kerana ia
menjanjikan peluang pekerjaan yang besar.
“Industri
masa kini memerlukan tenaga kerja mahir dan pakar teknikal yang boleh memberikan
sumbangan besar dalam bidang ekonomi. Jadi, Kerajaan mengaktifkan semula Majlis
TVET Negara yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, dengan antara
objektif utamanya adalah memastikan latihan yang diberikan selaras dengan
kehendak industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran. Ini adalah usaha
penting untuk memastikan graduan TVET kita tidak hanya dilatih, tetapi
benar-benar bersedia untuk memasuki pasaran kerja,” tambah beliau.
Persembahan khas Ala Canggung oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Setapak, turut menyerikan majlis.
=========================================================================
Menerusi
Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar
Ibrahim, 18 Oktober lalu, sejumlah dana yang signifikan diperuntukkan, iaitu RM
7.5 bilion, untuk pemerkasaan TVET merentasi pelbagai pemain industri.
“Ini
menunjukkan betapa seriusnya Kerajaan dalam memastikan program TVET dapat
memberi impak yang besar dalam pembangunan tenaga kerja negara. Jumlah
peruntukan ini signifikan sejajar dengan usaha Kerajaan untuk memastikan
graduan tersebut bukan sahaja mendapat peluang pekerjaan, tetapi juga mampu
bersaing pada peringkat antarabangsa,” ujar Dr Zaliha yang yakin dengan latihan
yang tepat dan berstruktur, graduan TVET kita akan menjadi tenaga kerja yang berkualiti
tinggi.
Program
TVET ini adalah antara contoh komitmen Kerajaan dalam memastikan semua pelajar,
tanpa mengira latar belakang, ada peluang untuk berjaya dan menyumbang kepada
pembangunan
ekonomi negara.
“Saya
melihatnya sebagai satu peluang yang besar untuk melahirkan tenaga kerja mahir
dan
profesional,
yang boleh mengubah lanskap ekonomi negara kita ke arah yang lebih maju, dan
berdaya saing,” kata beliau.
Melangkah
ke 2025, YWP berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi
kerajaan, syarikat swasta, NGO, dan individu prihatin dalam usaha meningkatkan
taraf hidup warga WP, yang dilihat sebagai cerminan kejayaan Malaysia pada
peringkat antarabangsa.
Dr
Zaliha turut memberikan penghargaan khas kepada DBKL dan JPWPKL atas kerjasama erat
dalam memastikan kelancaran penganjuran majlis, serta membantu pemilihan
pelajar cemerlang.
“Terima
kasih juga diucapkan kepada para ibu bapa, penjaga, dan guru yang sentiasa memberikan
sokongan moral, serta membimbing anak-anak mereka menuju kejayaan,” ujar beliau
yang turut menghargai Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan kakitangan YWP atas
dedikasi, dan usaha mereka dalam menjayakan majlis ini.
Sejak
ditubuhkan pada 1986, YWP kekal komited melaksanakan pelbagai program kebajikan,
dan pendidikan untuk seluruh warga WPKL, Putrajaya dan Labuan yang memerlukan.
Para pelajar yang menerima anugerah yang disampaikan oleh YB Dr Zaliha Mustafa, mengabadikan kenangan bersama-sama tetamu jemputan khas.
- disesuaikan
untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN
No comments: