BERPANTUN sebelum
memulakan atau mengakhiri sesuatu ucapan sudah menjadi semacam kemestian
masyarakat sekarang. Banyak orang yang suka mengamalkannya, termasuk ahli
politik.
Takdirnya,
saya terbaca sebuah tulisan oleh Yaakub Isa, berjudul Pantun yang Bukan Pantun: Kita dalam Era Berpuisi, dalam blognya
bertarikh 10 November 2009.
Yaakub
memulakan tulisannya dengan ayat “Ada kelihatan cahaya cerah di hujung terowong
bahasa dan sastera tanah air dalam dua tiga bulan ini. Apa tidaknya: TV1
mengawali pendeklamasian puisi dalam setiap penyampaian beritanya. Yang
menariknya, deklamator itu tidak lain daripada Perdana Menteri Malaysia
sendiri!”
Puisi
yang dimaksudkan oleh Yaakub itu sudah tentulah sajak kerana beliau menyebut
pendeklamasian. Hanya sajak sahaja yang dideklamasikan. Kalau pantun, ia
disampaikan. Jika syair, ia didendangkan atau dialunkan. Gurindam, nazam dan
seloka juga tidak dideklamasikan.
Yaakub
seterusnya memberitahu beliau tidak berpeluang melihat perasmian sambutan Bulan
Bahasa Kebangsaan di daerah-daerah dan peringkat negeri (kalau ada), tetapi
percaya tentu ada gelanggang untuk pemantun.
Tulis
beliau lagi, “Walaupun telah amat terlewat, tapi sambutan begini tetaplah
memberi pemberatan terhadap usaha mendaulatkan bahasa dan sastera kita, yang
rupa-rupanya, tanpa disedari, telah mengalami episod peminggirannya yang agak
mengerikan”.
Tambah
Yaakub, “Kalau PM tadi cukup trampil mendeklamasikan puisi, tentulah sikap
positif itu mudah diikuti (atau terikut-ikut) oleh pemimpin bawahan lain. Hal
begini sangat lumrah berlaku di negara kita. Dalam era tujuh puluhan dan
delapan puluhan dulu Persidangan Agung UMNO sentiasa digamatkan dengan pantun
dan gurindam bermutu oleh YB Hashim Gera (Allahyarham), dan kemudiannya YBhg
Dato’ Paduka Hj Badruddin Amiruldin”.
Yaakub
kemudian mengatakan “Akhir-akhir ini bermunculan tokoh muda yang cuba melakar
nama di arena puisi – wahananya tentulah bukan di media massa, tetapi
Persidangan Agung UMNO dan yang seumpamanya”.
Daripada
sekian banyak pemantun itu, Yaakub memberitahu beliau menurunkan sebuah catatan
daripada akhbar Utusan Melayu (tulisan
Jawi) bertarikh 16 Oktober 2009 di halaman 9, tentang gelagat memantun oleh
seorang wakil dari negerinya, ketika membahaskan ucapan Presiden UMNO pada 15
Oktober 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Jelas
Yaakub, ‘pantun’ tersebut berbunyi, Sudah tahu peria itu pahit, Siapa suruh
petik; Sudah tahu Tan Sri Isa itu siapa, Yang datang pasti akan binasa.
Menurut
Yaakub lagi, catatan itu menyatakan pantun biasanya digunakan bagi menjelaskan
sesebuah ucapan. Walau bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku kepada wakil
Pahang, apabila ayat pembayang dan maksud pantun yang disampaikannya ketika
membahaskan usul berkenaan tidak seragam.
Timbalan
Pengerusi Tetap, tambah Yaakub, iaitu Dato’ Muhammad Aziz mencelah dengan
mengatakan pantun tersebut tidak difahami, dan meminta disampaikan sekali lagi
kerana pembayang dan maksudnya berbeza.
Malangnya,
apabila mengulang semula, wakil Pahang itu tetap menyebut yang sama, kerana
katanya ia pantun paling sesuai bagi menggambarkan tindak tanduk pembangkang
yang telah menggunakan pelbagai cara untuk memburuk-burukkan UMNO, dan calon
BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Menurut
Yaakub, beliau fikir yang disebut ‘pantun’ memang bukan pantun, malah bukan
syair, gurindam, seloka dan sajak. Katanya, kalau wakil Pahang itu mengambil
sedikit masa membuat ‘kerja rumah’ dengan merujuk kepada guru-guru yang tinggal
di Rompin untuk meminta pandangan dan nasihat, tentu ‘pantun’ beliau itu akan
menjadi pantun.
Kata
Yaakub lagi, beliau yakin wakil Pahang itu mengenali Cikgu Abdul Wahab Taha
yang ada blog sendiri, Cikgu Amran Abdullah, dan Cikgu Kamarozaman Abdul Razak.
Menurut
Yaakub, beliau teringat kisah penyair besar Masuri SN (Allahyarham) yang
dikatakan pernah dimarahi gurunya semasa di Maktab Perguruan Sultan Idris
kerana mencipta pantun yang ‘tidak seperti pantun’. Namun demikian, zaman
berlalu, persepsi berubah. Apa yang dianggap ‘bukan pantun’ itu sebenarnya satu
pembaharuan puisi Melayu. Maka lahirlah ‘sajak’, iaitu puisi Melayu moden.
Masuri
adalah antara pelopor sajak, atau puisi Melayu moden. Beliau mencipta suatu ‘seni
baharu’. (Demikian saya kutip ucapan Profesor Emeratus Dr Abdullah Hassan yang
menukil tulisan Prof A Wahab Ali semasa mengucapkan Watikah Pengurniaan Ijazah
Doktor Kehormat Pendidikan kepada Masuri Salikun di Konvokesyen Komemoratif
2002 UPSI pada 21 Disember 2002).
Jika
pantun yang ‘bukan pantun’ di atas satu percubaan mencipta suatu seni baharu,
barangkali ruang untuk itu telah tidak terbuka lagi.
Cikgu
Hashim Gera adalah ahli politik PAS kawasan Parit, Perak (1969-1974) yang
dipecat oleh partinya itu. Kemudian beliau menjadi Ahli Parlimen Bebas (1973),
sebelum menubuhkan/menyertai parti Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA). Beliau
memenangi kerusi Parlimen Parit pada 1969. Walau bagaimanapun, KITA yang
ditubuhkan lemah, dan hanya bertahan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) 1978.
Lembaga Disiplin PAS memecat beliau kerana bersama-sama pemimpin Barisan
Nasional (BN) berjoget lambak dalam satu majlis di lobi Parlimen pada 1971. PAS
telah bergabung dengan UMNO membentuk BN (1972).
Beliau
dipercayai berasal dari Rungkup, Bagan Datoh, Perak. Namanya tercatat sebagai
penyumbang untuk Dana Perang 1940 bagi menghadapi Perang Dunia Kedua.
Dalam
PRU tahun 1969, PAS memenangi 12 kerusi Parlimen, termasuk di Parit yang
diwakili Hashim.
Hashim
juga terkenal kerana mampu berpantun semasa memberi ceramah. Jika sejam
ceramah, sejam itulah dia boleh berpantun dan menarik hati pendengar, termasuk
Ahli Parlimen seperti Madahavan Nair. Dalam PRU 1969, Hashim mengalahkan Dato’
Hussein Nordin (Tan Sri), Setiausaha Agung UMNO dan Pengerusi akhbar Utusan Melayu.
Hashim
dikatakan mampu berpantun semasa berceramah. Jika sejam berceramah, sejam
itulah dia boleh berpantun dan menarik hati pendengar, termasuk Ahli Parlimen
seperti Nair.
Antara
pantun spontan Hashim yang disampaikan kepada teman oleh seorang veteran PAS di
Parit, pada 1969 sebaik dipecat dari PAS, yang kemudiannya kembali kepada UMNO,
ialah One two three four/satu dua
tiga empat/Aku naik kereta besor/Orang Parit apa dapat?
Anaknya,
Sallehudin Hashim juga boleh berpantun. Sebagai contoh, Cadangnya CEO tapi tak
jadi/jumpa Khalid macam merempat/50 ribu pun tak nak bagi/banding juta-juta aku
dah dapat, dan Kalau apak aku boleh penaya Parit/aku pulak penaya 1 Malaysia/Lantakler
kome pekik jerit/Janji aku kayaaa...
Memang
benarlah semua pantun yang disebutkan bukan pantun. Selain bukan unsur alam
dalam pembayangnya, ia hanya mementingkan bunyi rima, dan tidak wajar sama
sekali. Terdapat juga perkataan dalam bahasa Inggeris yang pastinya menjadi
bahasa rojak.
Saya
dapati ‘pantun yang bukan pantun’ ini berterusan hingga sekarang. Kian ramai
Ahli Parlimen yang berpantun di Dewan Rakyat Parlimen sebelum memulakan ucapan,
atau bertanya soalan. Ternyata mereka hanya ikut suka hati, yang mungkin
disebabkan ketidakfahaman terhadap pantun. Mereka hanya mencipta pantun
berdasarkan bunyi rima, sama ada a b a b
atau a a a a. Logik tidak logik dan
unsur alam jelas terabai.
Daripada
sekian ramai Ahli Parlimen yang suka berpantun, saya lihat hanya Ahli Parlimen
Pontian, YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, atau lebih dikenali sebagai
Ahmad Maslan, 58 tahun, seorang ahli politik dari UMNO/BN, dan Timbalan Menteri
Kerja Raya Malaysia yang tampil dengan pantun berkualiti.
YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, atau lebih dikenali sebagai Ahmad Maslan.
=========================================================================
Ahmad
gemar menggunakan pendekatan yang lebih sopan, halus dan penuh makna tersirat
menerusi budaya masyarakat Melayu, iaitu berpantun. Beliau memang terkenal
sebagai pemimpin yang gemar berpantun dalam pelbagai situasi, tidak kira semasa
berucap mahupun ketika beramah mesra dengan orang ramai.
Pendekatan
itu turut dijadikan ‘senjata’ oleh Ahmad ketika turun berkempen pada Pilihan
Raya Kecil (PRK), dan/atau PRU. Beliau biasanya menghasilkan dua rangkap pantun
empat kerat baharu, mengajak pengundi memilih calon yang bertanding bagai pihak
Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Sungai Bakap misalnya.
Sebagai
contoh, Ahmad menyampaikan pantun, menanam padi semakin cekap/lima kali pulun
dua tahunan/wahai pengundi Sungai Bakap/ayuh undi calon Perpaduan.
Selain
itu, untuk bertemakan ‘Perjuangan UMNO’, Ahmad turut mencipta pantun yang
berbunyi bandar Pontian ada hikayat/kisah bersemi cerita bersama/UMNO berjuang
untuk rakyat/dulu kini dan selama-lama.
Pantun
dua rangkap empat kerat ini juga menarik, iaitu bunga kenanga di tasik
Johor/pohonnya redup suasana nyaman/setia bersama Bangsa Johor/untuk hidup
makmur dan aman, dan pohonnya redup suasana nyaman/buah dokong sudah
terkenal/untuk hidup makmur aman/ayuh sokong Barisan Nasional.
Pantun
empat kerat karya Ahmad yang lain adalah zaman bahari hebat pendekar/habis tanah
mereka tawan/hidup berani kerana benar/rajin amanah jadi pegangan, dan habis
tanah mereka tawan/sejarah keramat demi maruah/rajin amanah jadi
pegangan/itulah semangat membawa tuah.
Walaupun
ada juga sesekali kurang atau tidak menepati ciri-ciri pantun, tetapi jelas
kelihatan Ahmad lebih mengetahui, dan mahir berpantun ketimbang YB lain. Pantun
ciptaan beliau tidak kelihatan dan kedengaran ganjil/sumbang.
Ahli
politik suka berpantun adalah satu perkara yang menarik. Para pemantun dan
pencinta pantun pastinya gembira, dan berbangga apabila pantun diucapkan dengan
gembira di mana-mana, termasuk Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mulia.
Walau
bagaimanapun, dua perasaan itu akan lebih mendalam dan bermakna sekiranya ahli
politik ‘cenderung pantun’ dapat menghasilkan pantun setaraf pantun-pantun
ciptaan Ahmad.
Sama ada Melayu atau bukan, mereka perlu berfikir dengan sebaik mungkin sebelum mencipta pantun, dan mengucapkannya. Jangan hanya ghairah berpantun, tetapi menyampaikan yang jelik. Sebagaimana sajak, pantun juga sukar dihasilkan.
No comments: