+++++++++++++++++++++++

PENDIDIKAN

 

Yayasan Wilayah Persekutuan, Eco-Shop dan Rakan Strategik Lain Sumbang Bantuan Awal Persekolahan 2026

 

YBRS Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengingatkan para pelajar yang menerima bantuan awal persekolahan agar menggunakannya dengan sebaik mungkin.

 

“Belajarlah bersungguh-sungguh, jaga disiplin dan tunjukkan akhlak yang baik kepada guru, serta rakan-rakan,” tegas beliau.

 

Dr Abdul Basir menyatakan sedemikian semasa berucap dalam majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Awal Persekolahan (Back To School) Tahun 2026, di Mayor’s Courtyard Lot.11, Rumah Tangsi, Kuala Lumpur pada 15 Disember lalu.

 

Turut hadir YBrs Puan Stella Soon, Pengurus Besar Pemasaran Eco-Shop Marketing Berhad (Eco-Shop); YBrs Tuan Megat Affandi Datuk Wira Hj Ismail, Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL); YBrs Puan Hasliza Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Kesejahteraan Bandar, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); YBrs Puan Rohani Hussin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP; serta kakitangan YWP, Eco-Shop, DBKL dan JPWPKL.

 

Menurut Abdul Basir, program Back To School untuk 2026 akan diadakan dalam beberapa siri, tetapi untuk siri pertama ini, ia melibatkan 600 pelajar dari 30 sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

 

“Walau bagaimanapun, sebagai simbolik, hanya 120 pelajar hadir pada hari ini ditemani 30 guru pengiring. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang menjayakan program ini, khususnya Eco-Shop, JPWPKL, dan DBKL,” jelas beliau.

 

Kerjasama ini, tambah Basir, amat penting dalam memastikan program dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, dan memberi manfaat kepada mereka yang layak.

                                       

YBRS Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan. 

 

“Terima kasih juga kepada Eco-Shop yang memberikan sumbangan tambahan berupa baucar RM50 kepada setiap pelajar yang terlibat. Sumbangan ini amat membantu meringankan persediaan awal persekolahan anak-anak kita,” ujarnya lagi.

 

Program Back To School merupakan inisiatif tahunan YWP dalam membantu keluarga B40 menyediakan keperluan pendidikan anak-anak. Usaha ini juga seiring dengan komitmennya memastikan tiada pelajar tercicir daripada pendidikan akibat kekangan ekonomi.

 

“Setiap pelajar menerima bantuan bernilai RM150, merangkumi yuran PIBG dan pembelian kelengkapan asas persekolahan, sukan atau kokurikulum melalui koperasi sekolah. Dengan adanya bantuan ini, kami berharap para pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersedia, lengkap dan berkeyakinan,” ujar Basir.

                                         

 Kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dengan rakan-rakan strategik lain akan diteruskan.


Kita semua maklum bahawa cabaran kewangan keluarga sering memberi kesan kepada kehadiran pelajar ke sekolah. Justeru itu, program ini bukan sekadar pemberian bantuan, tetapi merupakan satu usaha berterusan untuk memastikan setiap anak di WP mendapat peluang pendidikan yang adil tanpa mengira latar belakang.

 

Sejak ditubuhkan, YWP komited menjalankan pelbagai program pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

                                        

Para pelajar yang menerima bantuan awal persekolahan diingatkan agar menggunakannya dengan sebaik mungkin.


“Maka itu, kami akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Eco-Shop, DBKL, JPWPKL serta rakan-rakan penaja lain, dan komuniti bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat pada masa akan datang,” tambah Basir yang percaya dengan sokongan padu semua pihak, program Back To School seperti ini dapat diperluas, dan dipertingkatkan.

 

Jessica Ng pula dalam ucapannya berkata, sebagai jenama yang memberi khidmat kepada komuniti di seluruh negara, Eco-Shop melihat sendiri bagaimana peningkatan kos sara hidup memberi kesan kepada sesebuah keluarga, terutamanya pada permulaan sesi persekolahan yang baharu.

                                        

YBrs Puan Stella Soon, Pengurus Besar Pemasaran Eco-Shop Marketing Berhad menyampaikan ucapan beliau


“Maka itu, Eco-Shop yakin kerjasama dengan YWP, DBKL dan JPWPKL akan membolehkan kami menyumbang secara lebih mampan. Kami melihat inisiatif ini bukan sahaja sebagai bantuan kepada pelajar, tetapi juga satu pelaburan untuk membantu generasi masa depan yang akan membentuk kemajuan Malaysia,” ujar beliau.

 

Melengkapi inisiatif ini, Eco-Shop turut memperkenalkan kempen Riang Ria Hari Sekolah, yang akan berlangsung sehingga 11 Januari 2026 bagi menyokong keluarga membuat persiapan untuk tahun akademik baharu.

 

Kempen ini turut menonjolkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa di Malaysia yang berdepan tekanan kos sara hidup, termasuk kos persiapan persekolahan anak-anak.

                                    

Inisiatif ini juga berfungsi sebagai peringatan bahawa kemampuan kewangan tidak seharusnya menghalang kesediaan seorang anak untuk ke sekolah, dan bahawa pilihan kecil yang bijak bolehmembantu meringankan beban sesebuah keluarga.

 

Kesimpulannya, YWP, Eco-Shop, DBKL dan JPWPKL sama-sama menegaskan komitmen mereka untuk memperkasakan generasi muda melalui pendidikan. Menerusi kerjasama ini, satu sistem sokongan yang kukuh dan mampan demi manfaat para pelajar, keluarga dan komuniti di Kuala Lumpur, telah dapat dibina.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Riang Ria Hari Sekolah, ikuti Eco-Shop di Facebook (EcoShopMarketing), Instagram (ecoshop_my), TikTok (@ecoshopmalaysia), dan XHS (eco-shop MY).

 

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan skim bantuan yang ditawarkan oleh YWP, sila layari www.yayasanwp.org.my.

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

* bagi pihak YWP:

-         Encik Abdul Azman Abdul Wahab, Eksekutif Muda Muda Jabatan Perhubungan Korporat.

Mobile: +60 11-1762 4905

Email: azman@yayasanwp.org.my.

* bagi pihak Eco-Shop Malaysia:-

- Encik Muhaimin Muhamed, Associate PR Manager S&L Integrated Public Relations.

Mobile: +6016 456 8569

E-mel: muhaimin@slpr.com.my.

* Puan Durggaashini Rajasingam T, PR Executive S&L Integrated Public Relations

Mobile: +6014 964 6680

E-mel: durggaa@slpr.com.my.

 

-         disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

                                                                               

                                                                              

No comments:

Powered by Blogger.