Che Kem (duduk kiri sekali) bersama-sama YBhg. Prof. Dr. Tan Awang Besar, YBrs. Encik Mohd. Amran Mohd. Haris (duduk lima dan enam dari kiri), Asmidar, Shahrul Mizad, Roziah Adama, dan YBrs. Encik Iefiz Alauddin (duduk lapan, sembilan, sepuluh dan sebelas dari kiri), serta sebahagian pelakon dan tenaga produksi Teater Muzikal Paduka Cik Siti.
Kisah Luar Biasa
Figura Raja Wanita Melayu dalam Teater
Muzikal Paduka Cik Siti
SIDANG
media Teater Muzikal Paduka Cik Siti
yang turut dihadiri pengarahnya, Che Kem, serta Roziah Adama dan Khairunazwan
Rodzy sebagai penulis, bersama-sama Dr. Hairul Anuar Harun yang mencipta lirik
lagu-lagu, berlangsung di Rumah Tangsi, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur pada 3
Disember lalu.
YBrs Encik Iefiz Alauddin, Pengerusi Persatuan
Alumni ASWARA; YBhg Prof Dr Tan Awang Besar, Rektor Akademi Seni Budaya dan
Warisan Kebangsaan (ASWARA), serta YBrs Encik Mohd Amran Mohd Haris, Ketua
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara turut hadir.
Sementara Asmidar yang memegang watak Paduka Cik Siti, Taqim Zaki, dan Shahrul Mizad, antara pelakon teater muzikal tersebut yang ikut hadir.
Selain Shahrul yang boleh dianggap mampan, Teater Muzikal Paduka Cik Siti juga
bakal dijayakan oleh rakan lamanya, Dr Norzizi Zulkifli, serta bakat-bakat
semasa seperti Nesa Idrus, Serra Kamal, dan Zizi Hazirah.
Teater Muzikal
Paduka Cik Siti yang dianjurkan oleh ASWARA dengan kerjasama
Persatuan Alumni ASWARA, Teater Muzikal
Paduka Cik Siti ini akan dipentaskan pada 19 hingga 21 Disember 2025 di
Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.
Pementasan ini merupakan sebuah karya megah yang
mengangkat ketokohan dan keberanian seorang raja wanita Melayu dalam menghadapi
tekanan sosial, politik dan cinta pada zamannya. Ia akan ditampilkan dengan
gabungan lakonan, muzik, tarian, serta estetika visual yang memukau serta
naratif yang menyentuh jiwa.
Dijayakan oleh barisan pelakon handal dan
berpengalaman, rekaan pentas berskala besar, serta sentuhan pengarahan yang
bertenaga, produksi yang terlibat adalah gabungan
serta kolaborasi yang menyatukan alumni, pensyarah
dan pelajar ASWARA. Penonton bakal menyaksikan persembahan berskala besar, dan
berimpak tinggi.
Teater Muzikal
Paduka Cik Siti mengisahkan Cik Siti Wan Kembang yang merupakan
satu-satunya waris takhta Tanah Serendah Sekebun Bunga. Baginda terpaksa
menggantikan pemerintahan ayahanda saudaranya, almarhum Raja Husein yang
mangkat, dan demi menyempurnakan pesanan almarhum ayahandanya, Raja Ahmad.
Tidak menerima segala pinangan raja-raja yang ingin
menyuntingnya, baginda nekad menyahut amanah sebagai paduka raja demi negeri
yang tercinta.
Che Kem (bersongkok) menjawab beberapa persoalan pihak media.
Namun demikian, tugas sebagai Raja Wanita tidaklah
semudah yang disangka. Antaranya kewibawaan dipersoalkan oleh pembesar sendiri,
menghadapi ancaman Siam, dan hati yang diragut kesepian kerana cinta yang dipendamkan.
Apa pun, demi negeri, Paduka Cik Siti menangani segala
halangan dan dugaan dengan bijaksana.
Ringkasnya, Teater
Muzikal Paduka Cik Siti bukan hanya tentang perjuangan wanita memimpin
negeri, tetapi pengorbanan menundukkan kehendak hati dan perasaan.
Sidang media Teater Muzikal Paduka Cik Siti pada 3 Disember lalu.
Ia merupakan kisah luar biasa figura raja wanita
Melayu yang bangkit mempertahankan maruah, keberanian dan cintanya dalam sebuah
pementasan muzikal penuh irama, warna dan emosi.
Che Kem, pencetus idea asal teater ini turut
menjelaskan maksud figura luar biasa tersebut, iaitu memaparkan kelainan daripada
apa yang telah biasa diketahui umum mengenai Paduka Cik Siti, atau Cik Siti Wan
Kembang. Pastilah keluarbiasaan tersebut akan diketahui dan dirasai lebih
lanjut dengan menontonnya sendiri.
Bagi Asmidar, beliau teruja menjayakan Teater Muzikal Paduka Cik Siti, meskipun
memegang watak utama. Walaupun cabaran tetap ada, tetapi katanya tidak sukar
dalam aspek dialog dan nyanyian kerana kerana teater muzikal ini menggunakan
bahasa Melayu standard, dan beliau memang penyanyi.
Tiket-tiket sedang diual di https://www.cloudjoi.com/shows/4822-teater-muzikal-padukacik-siti
pada harga RM40.00 sehingga RM150.00.
Shahrul Mizad turut menjayakan Teater Muzikal Paduka Cik Siti sebagai antagonis.
Maklumat lanjut mengenai pementasan teater muzikal
ini boleh diikuti rapat di laman sosial berikut untuk kemas kini terkini:
Instagram: @aswara.official/@Persatuan_alumni_aswara, TikTok: aswara.official,
persatuanalumniaswara, dan Facebook: https://www.facebook.com/@aswara.edu.
-
disesuaikan
untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN
:












No comments: