Ustaz Don Daniyal (kanan) menyampaikan pengisian rohani sebagai antara sesi menarik program Raikan Kasih Adina AlKhair 2025.


PENDIDIKAN

 

Adina AlKhair Malaysia Eratkan Komuniti, Beri Harapan Kanak-Kanak Pesakit Kanser

 

DENGAN sokongan padu rakan-rakan kerjasama dan komuniti setempat, Adina Charity Circle bersama-sama Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam dan AlKhair Malaysia, menganjurkan ‘Raikan Kasih Adina AlKhair 2025’, pada 14 Disember lalu di Pentas Utama, Kompleks PKNS, Shah Alam.

                                      

Dari kiri; Azan Addin dan Pot Amir Innuendo turut hadir menyumbang masa, bakat dan sokongan moral kepada Raikan Kasih Adina AlKhair 2025 secara sukarela.


‘Raikan Kasih Adina AlKhair 2025’ merupakan sebuah inisiatif kemanusiaan yang mahu menyokong pesakit kanser kanak-kanak menerusi sumbangan keperluan asas, serta sokongan emosi.

 

Berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang, program tersebut merupakan kemuncak pada Projek Pengumpulan Diapers untuk Kanak-Kanak Kanser (Diapers Donation Drive) yang telah dilaksanakan selama 14 hari.

 

Jumlah keseluruhan kutipan lampin pakai buang yang berjaya dikumpulkan turut diumumkan kepada orang ramai sebagai lambang solidariti, dan keprihatinan masyarakat terhadap perjuangan kanak-kanak pesakit kanser.

                                     

Sebahagian daripada orang ramai yang menghadiri program Raikan Kasih Adina Alkhair 2025 di Kompleks PKNS pada 14 Disember lalu.

 

‘Raikan Kasih Adina AlKhair 2025’ antara lain diisi dengan aktiviti kanak-kanak bermula jam 10.30 pagi, diikuti majlis penyampaian sumbangan lampin pakai buang, dan susu bernutrisi kepada kanak-kanak kanser, serta sesi penghargaan khas kepada rakan-rakan kerjasama yang telah bersama-sama menjayakan inisiatif ini.

                                     

Ustaz Don Daniyal (kanan) menyampaikan pengisian rohani sebagai antara sesi menarik program Raikan Kasih Adina AlKhair 2025 di Kompleks PKNS pada 14 Disember lalu.


Program tersebut turut diserikan dengan pengisian rohani oleh Ustaz Don Daniyal, serta persembahan istimewa oleh Azan Addin, Pot Amir Innuendo dan Radhi Khalid, yang hadir menyumbang masa, bakat dan sokongan moral secara sukarela.

 

Pihak penganjur mengucapkan penghargaan tinggi dan ucapan terima kasih kepada semua rakan kerjasama, iaitu Cinta Gaza Malaysia, Ajwa Bakery, Biofitrah, Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT), Pertubuhan KAB, Yayasan EZ Prihatin, Pertubuhan Kebajikan Sedulur, Rumah Ngaji Mekah, HUMAM Relief, Merryah Kitchen, The Charms Team, Grads, Mydin Mart Seksyen 13, serta Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Kanak-kanak Kanser (Kids), para sukarelawan dan penyumbang individu yang telah menyumbang tenaga, kepakaran dan kepercayaan, yang menjadi tulang belakang kejayaan program.

 

-          disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

-

 

 


 


No comments:

Powered by Blogger.