Pages

Monday, 30 May 2022

 EKONOMI

 

MIMCOIN Majukan Masyarakat India Muslim Malaysia

SEJAK SEDEKAD LALU

 

MIMCOIN atau nama penuhnya Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia merupakan pertubuhan tidak berdasarkan keuntungan yang ditubuhkan pada 2012.

 

Begitu pun, matlamat pertubuhan ini besar, dan penting. Walaupun pada asasnya untuk manfaat masyarakat India Muslim Malaysia, tetapi itu boleh melimpah kepada Malaysia senegara juga. Ringkasnya, maju India Muslim Malaysia, majulah juga Malaysia.

 

Antara objektif MIMCOIN termasuklah mewujudkan pelantar kepada masyarakat India Muslim untuk menarik, saling bertindak, berkongsi, menyimpan, dan terlibat dalam bidang perniagaan, kemahiran kepemimpinan, dan perkongsian maklumat antara satu sama lain di seluruh Malaysia.

 

Dalam nama penuhnya terdapat perkataan perniagaan dan industri. Walau bagaimanapun, manfaat daripada segala kegiatan MIMCOIN sejak sedekad lalu ini tidak setakat kejayaan dalam kerjaya, dan perniagaan sahaja.

 

Perkara ini ditegaskan oleh Presiden MIMCOIN, Dato’ Hj Syed Jamarulkhan. Menurut beliau, MIMCOIN turut menyokong setiap aspek kehidupan selain perniagaan, iaitu merangkumi peribadi, keluarga, dan masyarakat.

 

Tambah Dato’ Hj Syed, tanggapan umum bahawa masyarakat India Muslim Malaysia hanya terlibat dalam perniagaan makanan, tekstil dan pengedaran akhbar/majalah bercetak sahaja handaklah dikikis.

 

Kenyataan Dato’ Syed itu turut disokong oleh Pengasas/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Ehsan, Dato’ Haji Abdul Hamid P.V Abdu.

 

Tegas Dato’ Haji Abdul Hamid, sudah lama masyarakat India Muslim Malaysia turut menceburi bidang perniagaan lain yang biasa dijalankan oleh masyarakat majoriti.

   

Sebagaimana MIMCOIN, Ehsan juga, tambah beliau, akan terus berusaha memajukan masyarakat India Muslim Malaysia dalam semua aspek kehidupan, apatah lagi ketika fasa kebangkitan semula ekonomi selepas tenat akibat COVID-19.

 

Dato’ Syed dan Dato’ Hamid menyatakan sedemikian sewaktu diwawancara oleh pihak media dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Sivik Petaling Jaya pada 30 Mei lalu.

 

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri tersebut sepatutnya diserikan dengan kehadiran Menteri Sumber manusia Malaysia, Datuk Seri M Saravanan. Walau bagaimanapun, atas urusan kerja yang lebih penting, beliau tidak dapat hadir.



Ahli Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada 30 Mei 2022 lalu di Petaling Jaya.



Sebahagian daripada ahli Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) dan tetamu yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Petaling Jaya pada 30 Mei 2022 lalu.



 Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN), Dato’ Hj Syed         Jamarulkhan.


Dato’ Hj Syed Jamarulkhan menyampaikan ucapan alu-aluan dan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1443 Hijrah.


 Dato’ Haji Abdul Hamid P.V Abdu (empat kiri) dan Dato’ Hj Syed Jamarulkhan (dua dari kanan) bersama-sama beberapa tetamu jemputan.



            Ahli Jawatankuasa 
Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN).


                            Dato’ Haji Abdul Hamid P.V Abdu (kiri) dan Dato’ Hj Syed Jamarulkhan.

 

    Pengasas/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Ehsan, Dato’ Haji Abdul Hamid P.V Abdu.

 


 





BUDAYA/PELANCONGAN


Raikan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur

FESTIVAL MALAYSIA-JEPUN 2022 

 

PEMBANGUNAN ekonomi Malaysia hari ini diwarisi daripada tiga tahap sebelumnya, dimulakan dengan tahap pertumbuhan dan perkembangan pesat industri sumber asli dari pertengahan abad ke-19 sehingga 1914, diikuti tempoh turun naik atau ketidakstabilan industri sumber asli antara Perang Dunia Pertama dengan Kedua, dan akhir sekali tahap penyatuan serta rasionalisasi industri sumber asli bersama-sama dengan kepelbagaian ekonomi selepas 1945.

 

Meskipun Malaysia merupakan bekas koloni British, kepentingan ekonomi Jepun telah menyumbang kepada perubahan dasar luar negara, dari Dasar Pro-Barat semasa zaman kolonial, dan pasca-kolonial menjadi Dasar Pandang ke Timur (LEP) semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

LEP merupakan dasar ekonomi yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri (PM) Malaysia, pada 8 Februari 1982. Ketika itu Dr Mahathir baru menjadi PM (1981). Dasar ini diumumkan semasa Persidangan Tahunan Kerjasama MAJECA/JAMECA Kelima di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

 

LEP merupakan reaksi kepada dasar ‘Buy British Last yang juga diumumkan oleh Dr Mahathir pada Oktober 1981.


                Presiden PAMAJA & Persatuan Inap Desa Malaysia, Dato’ Sahariman Hamdan.


LEP bermaksud pihak kerajaan Malaysia, serta pihak swasta menjadikan negara Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh etika bekerja. Lebih 15,000 rakyat Malaysia telah memperoleh manfaat menerusi dasar ini.

 

Menariknya, tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 atau empat dekad LEP. Bagi merayakannya, Jepun baru-baru ini menyatakan akan terus berusaha mengukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia.

 

Menurut Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Araki Kaname, negaranya akan bekerjasama dengan Malaysia bersempena merayakan pencapaian hubungan dua hala sejak 40 tahun lalu.

 

Tumpuan juga akan diberikan dalam mengeratkan lagi hubungan dua hala untuk tempoh 40 tahun akan datang, katanya dalam ucapan di Festival Filem Jepun 2021.

 

Sementara itu, Mahathir sendiri menegaskan LEP telah berjaya, serta harus kekal sebagai asas kepada strategi dan program pembangunan Malaysia.

 

Menurut PM keempat dan ketujuh itu, dasar berkenaan memainkan peranan penting dalam perindustrian Malaysia, dan memberi sumbangan yang ketara kepada pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.



                                           Dato’ Sahariman Hamdan (kiri) dan Nagai Tomoko.


Sidang media Festival Malaysia-Jepun 2022 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC pada 30 Mei 2022 lalu.


Justeru, Mahathir berharap akan wujud pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap pendidikan di bawah LEP, dan meneliti sistem pendidikan Jepun dari peringkat pratadika hingga ke universiti.


“Apabila saya meninggalkan pejabat pada 2003, terdapat lebih 10,000 rakyat Malaysia dihantar ke Jepun di bawah program Dasar Pandang ke Timur ini. Sehingga kini, jumlah itu telah meningkat kepada lebih 26,000 rakyat Malaysia,” kata Mahathir.


“Saya berbangga kerana dasar ini telah berjaya. Ramai rakyat Malaysia yang dihantar ke Jepun telah melakukan yang terbaik apabila pulang ke tanah air. Namun begitu, jumlah rakyat Malaysia yang dihantar ke Jepun pada hari ini jauh berbeza berbanding dahulu,” tambah beliau yang percaya negara kita boleh, dan harus melakukan yang lebih baik.


Ketika berucap dalam Forum Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) bersempena dengan memperingati ulang tahun ke-40 LEP baru-baru ini, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu ketika menjadi PM kali kedua, antara agenda utama beliau ialah memastikan pemulihan Dasar Pandang ke Timur 2.0 (LEP 2.0).


       Pengarah Perkhidmatan Maklumat Jepun/Setiausaha Utama, Kedutaan Jepun, Nagai Tomoko.



Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan beliau, kata Mahathir, bersetuju bahawa skop Rangka Kerja LEP 2.0 perlu diperluas dan diperhalus menerusi kerjasama untuk memastikan trend baharu dalam kerjasama dua hala, agar ia kekal relevan.


“Kami bersetuju untuk mengaplikasi revolusi industri 4.0 (IR4.0), termasuk dalam sektor agroteknologi, industri automobil, pengurangan risiko bencana, dan alam sekitar. LEP 2.0 akan merangkumi program persediaan khas, program latihan LEP 2.0, serta perkongsian penyelidikan sains dan teknologi,” tambah Mahathir.


Selain itu, kata Mahathir lagi, banyak syarikat Jepun termasuk Matsushita, Mitsui, Toshiba, Mitsubishi, AEON dan Kao sama ada berpindah atau mengembangkan pangkalan pengeluaran mereka di Malaysia.


Dari 1986 hingga 1990, jelas beliau, Malaysia menyaksikan kemasukan besar-besaran pelaburan langsung asing (FDI) Jepun, serta pertumbuhan dua angka dalam perdagangan dua hala, sekali gus mendorong Jepun mengatasi Amerika Syarikat sebagai rakan ekonomi utama Malaysia.


“Hari ini, terdapat hampir 1,500 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia, dan menggaji lebih 400,000 rakyat Malaysia,” kata Mahathir lagi.


Ternyata harapan Mahathir dan Shinzo itu tidak sia-sia. PAMAJA mengambil inisiatif menganjurkan Festival Malaysia-Jepun 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 5 Jun 2022 nanti.


Menurut Presiden PAMAJA & Persatuan Inap Desa Malaysia, Dato’ Sahariman Hamdan, Festival Malaysia-Jepun 2022 akan berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.


“Festival ini akan menampilkan pelbagai aktiviti seperti pameran reruai, jualan makanan, demonstrasi memasak makanan Malaysia (rendang, laksa, kari, mi), dan Jepun (sushi, sashimi, onigiri, ramen), persembahan muzik traditional Malaysia dan Jepun, kelas bahasa Jepun, kaligrafi Jepun, kaligrafi khat, kelas melukis (seni, animasi, kartun), promosi pelancongan, seminar, dan persembahan fesyen Malaysia-Jepun,” jelas Dato’ Sahariman.


Beliau memberitahu sedemikian semasa sidang media festival berkenaan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC pada 30 Mei 2022 lalu.


Sebagai Pengerusi Festival Malaysia-Jepun 2022, Sahariman berharap orang ramai akan bersama-sama memeriahkannya. Beliau yakin penganjuran festival ini pasti akan memperkukuh lagi kerjasama, dan membina hubungan baharu yang lebih erat antara Malaysia dengan Jepun.


Turut hadir ialah Pengarah Perkhidmatan Maklumat Jepun/Setiausaha Utama, Kedutaan Jepun, Nagai Tomoko. Dalam ucapan ringkasnya, Nagai menyampaikan ucapan ribuan terima kasih Duta Jepun ke Malaysia, H.E Katsuhiko Takahashi atas usaha PAMAJA Persatuan Inap Desa Malaysia yang begitu giat mengadakan pelbagai acara, bagi mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dengan rakyat Jepun.


Menurut Katsuhiko, sejak LEP dilaksanakan di Malaysia, ribuan rakyat negara ini mengunjungi Jepun sama ada untuk belajar, berkerja, atau melancong. Ini, katanya lagi, membantu memperkukuh lagi hubungan Malaysia-Jepun.


Melalui festival ini, Katsuhiko berharap selain menyambut ulang tahun ke-40 LEP, Malaysia dan Jepun akan merangka kerjasama, dan merancang lebih banyak program bagi mengeratkan lagi persaudaraan kedua-dua negara.

 


Sememangnya Festival Malaysia-Jepun 2022 merupakan peluang besar bagi rakyat Malaysia lebih mengenali kebudayaan, kesenian, bahasa dan pelancongan Jepun.

 

 

Wednesday, 18 May 2022

EKONOMI

 

Makanan yang Baik Sambil Pelihara Alam Sekitar

MADU TUALANG

 

‘MAKAN untuk hidup, bukan hidup untuk makan’. ‘Hidup untuk makan’ memang bukan amalan yang baik kerana ia memudaratkan kesihatan.

 

Walau bagaimanapun, ‘makan untuk hidup’ juga memerlukan pengawasan dan penelitian – dalam erti kata lain, jangan makan sembarangan kerana ia turut membawa keburukan. Jadi, ‘makanlah yang baik-baik untuk hidup yang sihat’.

 

Dalam hal ini, Health Treasure International Sdn Bhd (Health Treasure) merupakan syarikat yang menumpukan kepada produk makanan kesihatan yang membawa kebaikan kesihatan dengan nilai nutrisi yang tinggi.

 

Dr Ting Seng Ho (kiri sekali) dan Helmi Gimik (lima dari kanan) bersama-sama para stokis awal Health Treasure International Sdn Bhd.



                        Madu tualang yang telah dibotolkan sedia untuk pengedaran dan jualan.





                      

                                    Dr Ting Seng Ho, yang merupakan ahli Yayasan Bambusa.






                    Ketua Pegawai Eksekutif Health Treasure international Sdn Bhd, Helmi Gimik.




                                                        Sarang lebah tualang yang asli.

 




 

Dalam masa yang sama dan wajar dipuji, Health Treasure turut menghargai kelestarian alam sekitar, dan tanggungjawab sosial dalam usahanya ini. Ia akan menyokong mana-mana pihak yang mempunyai iltizam sedemikian.

 

Mengenai perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif Health Treasure, Helmi Gimik, menyatakan pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Dr Ting Seng Ho, yang merupakan ahli Yayasan Bambusa.

 

Yayasan Bambusa telah melancarkan program baharunya, ‘Perhutanan Sosial’, iaitu program berasaskan komuniti yang memfokuskan kepada komuniti ‘Orang Asli’.

 

‘Perhutanan Sosial’ ada tiga objektif utama, iaitu:

i)                    pembasmian kemiskinan dengan melibatkan masyarakat yang tinggal di dalam, dan sekitar hutan.

ii)                  memperkasa komuniti dengan meningkatkan kesedaran, pembinaan kapasiti, hak dan akses kepada tanah, dan sumber.

iii)                memperbaik keadaan hutan dengan mengekalkan habitat flora dan fauna sedia ada, serta memulihkan keadaan hutan.

 

“Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Perhutanan Sosial Yayasan Bambusa, salah satu bidang tumpuan kami ialah perlindungan dan pemeliharaan madu ‘tualang’ yang dihasilkan oleh lebah gergasi atau nama sainsnya, apis dorsata,” jelas Helmi.

 

Helmi yang juga merupakan penghibur dalam dunia seni tanah air menyatakan sedemikian dalam majlis prapelancaran Madu Tualang Health Treasure di Petaling Jaya pada 18 Mei 2022 lalu.

 

Tambah Helmi, program tersebut diketuai Dr Ting bersama-sama pasukan penyelidik. Menerusi penyelidikan lapangan semasa Yayasan Bambusa mengenai inventori pokok di kawasan seluas 3,000 ekar, Health Treasure telah mengenal pasti lebih 500 pokok tualang (koompassia excels) yang merupakan spesies kayu yang penting disusun oleh pembalak kerana nilai komersialnya tinggi.

 

“Lebah gergasi yang juga dikenali sebagai lebah tualang terancam akibat kehilangan habitat kerana pembalak menebang kayu ini dalam semua pembalakan hutan. Lebah gergasi hanya mahu berada di pokok Tualang untuk membuat sarangnya,” jelas Helmi lagi.

 

Dalam soal menghargai kelestarian alam sekitar, dan tanggungjawab sosialnya, Yayasan Bambusa yang diketuai Dr Ting memastikan pokok Tualang yang terancam dilindungi untuk lebah gergasi mendiami sarang mereka sebagai sumber makanan, dan juga menuai secara mampan.

 

Dr Ting yang turut hadir dalam majlis prapelancaran ini, menjelaskan bahawa lebah gergasi juga memainkan peranan yang sangat penting sebagai pendebunga di dalam hutan.

 

“Lebah ini melaksanakan fungsi ekosistem yang penting dalam ekosistem yang diubah oleh manusia, dan semula jadi atau separa semula jadi, kerana ia pendebunga penting untuk kedua-dua tanaman, dan tumbuhan berbunga liar,” jelas beliau.

 

Secara ringkasnya, tambah Dr Ting, lebah mendebungakan tumbuhan kita, yang bermaksud mereka membawa debunga antara tumbuhan berlainan jantina untuk menyuburkannya, atau/malah antara bahagian berbeza tumbuhan yang sama, dan membantu tumbuhan membiak.

 

“Lebah juga membantu tumbuhan untuk hidup dengan menghalang pembiakan dalaman. Semua ini merupakan peranan simbolik yang dimainkan oleh lebah, dan alam semula jadi,” katanya lagi.

 

Jelas Dr Ting seterusnya, program ini bukan sahaja akan memastikan pokok tualang dilindungi untuk generasi akan datang, tetapi juga membenarkan lebah gergasi menghuni, dan menghasilkan ‘black gold’ hutan untuk tahun-tahun mendatang, dan memainkan peranan penting sebagai pendebunga di hutan sistem eko.

 

“Program ini akan menyokong komuniti Orang Asli dengan memberi mereka peluang pekerjaan sebagai pengumpul madu, seterusnya memperbaik jurang sosial ekonomi mereka,” tegas Dr Ting.

 

Akhirnya, Health Treasure dan Yayasan Bambusa berharap daya usaha ini akan memangkinkan kelestarian salah satu khazanah negara, dan membantu meningkatkan pendapatan komuniti Orang Asli, selain memberikan pilihan yang sihat kepada para pengguna. 

Tuesday, 17 May 2022

 PELANCONGAN

 

MOTAC Lancar Pelan Pemulihan Pelancongan 2022, Lagu Cuti-Cuti Malaysia Versi Kedua 

 

BERTEMPAT di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya pada 17 Mei 2022 lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PPP2022), seiring peralihan ke fasa endemik.

 

Dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik negara itu, lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua turut dilancarkan.

 

Pelancaran kedua-duanya disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

 

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Nancy memberitahu, PPP2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi ialah antara inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri (enam dari kiri) bersama-sama Datuk Seri Dr Santhara J.P (kiri beliau) dan tetamu kehormat lain selepas sesi pelancaran.


Penyanyi terkenal tanah air, Aina Abdul mendendangkan lagu tema Cuti-Cuti Malaysia versi ke-2, Menemui Semula.


Pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 pada 17 Mei 2022 yang lalu.



Persembahan menggesek biola sambil menari daripada Mohamad Aqmal Daniel Hashim membawakan lagu
Ayam Den Lopeh dan Satu Hari di Hari Raya.






Sesi sidang media pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan lagu kempen Cuti-Cuti Malaysia versi ke-2, Menemui Semula.



                    Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri menyempurnakan pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan lagu kempen Cuti-Cuti Malaysia, Menemui Semula.

 

“Pemberian diskaun, baucar dan rebat yang bermula pada 29 April 2022 lalu melibatkan dua kluster, iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan,” kata beliau.

 

Inisiatif ini, tambah Nancy, bakal diperluas secara berperingkat, melibatkan Kluster Pengangkutan Udara, dan Kluster Penginapan, selain Kluster Pelancongan Minat Khas, merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah dan taman tema.

 

Menurut Nancy lagi, pelancaran PPP2022 bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus membuat tempahan tiket pengangkutan, atau pakej pelancongan pada harga diskaun istimewa.

 

“Langkah ini seterusnya mampu merangsang permintaan industri pelancongan untuk menyokong mereka yang terjejas agar kekal berdaya saing,” kata beliau.

 

Di bawah Kluster Pengangkutan Darat, Tourism Malaysia telah menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam penawaran diskaun tambang antara RM10 sehingga RM15 yang bakal memanfaatkan 64,675 pengguna.

 

“Pembelian tiket boleh dibuat sama ada menerusi aplikasi KLIA dengan KTM Mobile, secara dalam talian, atau mesin tiket,” tambah Nancy.

 

Sementara itu, di bawah Kluster Persatuan Pelancongan pula, Tourism Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA), dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dalam penawaran pelbagai pakej destinasi pelancongan domestik oleh ejen pelancongan berdaftar menerusi aplikasi e-marketplace Shopee.

 

“Rakyat Malaysia boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM100 untuk satu transaksi pembelian pakej pelancongan bernilai RM200 ke atas bermula pada 29 April sehingga 31 Oktober 2022 bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Disember 2022,” jelas Nancy lagi.

 

Setiap pengguna atau pemegang MyKad, tambah beliau, layak untuk menebus sekali sahaja diskaun ini, dan pembelian perlu dibuat melalui Shopee Pay. Dianggarkan 14,925 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat ini dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2,985,000.

 

“Pelancaran lagu Kempen Cuti-Cuti Malaysia versi kedua berjudul Menemui Semula selari dengan fokus kerajaan untuk memperkasakan pelancongan domestik. Lagu nyanyian Aina Abdul ini bergenrekan pop etnik dengan kombinasi aliran world music, hip hop dan electronic dance music (EDM),” jelas Nancy.

 

Seperti yang dijadualkan, Aina muncul mendendangkan lagu ciptaan Ananth Kumar (melodi) dan James Boyle (lirik) ini secara langsung di hadapan penonton, dan mendapat tepukan bergemuruh.

 

Lagu Menemui Semula yang juga menggabungkan alunan muzik tradisional seperti seruling, gamelan, erhu, kompang dan gendang, antara lain menyelitkan mesej penerokaan pengalaman melancong dalam negara bagi menikmati khazanah alam semula jadi bersama-sama keluarga tersayang.

 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Dr Santhara J.P, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, wakil-wakil rakan kerjasama pelancongan, dan tetamu kehormat lain.

 

Selain Pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan dan lagu Menemui Semula, turut diadakan sesi minum petang dan sambutan Aidilfitri 1443 Hijrah (kerana Syawal 1443 Hijrah masih ada). Hadirin dihiburkan oleh persembahan menggesek biola sambil menari daripada Mohamad Aqmal Daniel Hashim, 22, dan sekali lagi Aina.   

 

Sementara itu, video Menemui Semula boleh dilayari di laman Youtube Malaysia Truly Asia di https://www.youtube/com/watch?v=tYQ6CJAvKDA.