Pages

Sunday, 12 February 2023

 

MUZIK

 

M Nasir Menyanyi dalam Berdoa, Berdoa dalam Menyanyi

 

SELEPAS kira-kira 17 tahun terakhir setakat ini bersama-sama album solo Sang Pencinta, Dato’ M Nasir muncul semula dengan lagu tunggal terbitan Luncai Emas Sdn Bhd (Luncai Emas), iaitu Munajat.

 

Menariknya, Munajat dicipta sepenuhnya oleh M Nasir yang juga merupakan lagu runut bunyi (OST) filem Imam, yang beliau bintangi sebagai pelakon watak utama.

 

Seperti dimaklumi, Nasir sebagai seorang seniman, sering mencabar dirinya dalam pelbagai disiplin seni merangkumi lukisan, dan pembikinan arca, serta bidang lakonan.

 



Dalam filem, Nasir terkenal dengan watak-watak ikonik seperti Bujang, filem Kembara….. Seniman Jalanan, pada 1986), Desa (Balada/1994), dan yang paling diingati ramai, Hang Tuah (Puteri Gunung Ledang/2004).

 

Dalam Imam, Nasir atau kerap disebut sifu, memegang watak imam, iaitu Imam Haji Mihad.

 

Filem Imam yang diterbitkan oleh Alkahfi Pictures Sdn Bhd, arahan Mior Hashim Manap, merupakan adaptasi daripada novel berjudul serupa (terbit pada 1995), karya Sasterawan Negara kelapan, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain.

 

Kisah Imam yang turut dibintangi Vanidah Imran dan Faizal Hussein, bermula dengan kepulangan Haji Mihad ke kampungnya, Anggerik Desa setelah lama menghilangkan diri.

 

 

Selepas dilantik oleh penduduk kampung menjadi imam menggantikan imam lama, Haji Abdul Rahman (lakonan Dato’ Rahim Razali), beliau berusaha membawa pembaharuan kepada masjid di Anggerik Desa, iaitu Masjid Haji Salleh.

 

Namun demikian, usaha Haji Mihad itu mendapat tentang penduduk kampung yang masih jumud, termasuk sepupunya, Haji Syamsuri (Faizal) dan Haji Rahman sendiri.

 

Secara umum, munajat membawa maksud doa atau rintihan hati yang selalunya dalam bentuk zikir yang bertujuan merayu, dan memohon keredaan Allah SWT, iaitu tujuan sebenar hidup seorang Muslim.

 

Menurut Nasir, dalam Imam, percanggahan pendapat antara imam lama dengan imam baharu menyebabkan persengketaan yang memesongkan perhatian masyarakat daripada tujuan sebenar.

 

“Lagu Munajat berusaha mengingatkan kembali perkara tersebut,” jelas beliau apabila diberikan tanggungjawab mencipta OST Imam oleh Mior Hashim yang juga penerbit filem ini.

 

Sudah pastilah Luncai Emas berharap lagu tunggal ini dapat mengubati kerinduan para peminat Nasir yang sekian lama menunggu-nunggu buah tangan baharu beliau.

 

Munajat telah dilancarkan di semua saluran digital, dan video muziknya di saluran YouTube Luncai Emas pada 10 Februari lalu.

 

Sementara itu, Imam yang berdurasi 105 minit bakal ditayangkan di 45 pawagam di seluruh negara bermula pada 2 Mac depan.    

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Lirik MUNAJAT

 

sempurnalah

satu ceritera

perjalanan berkurun tanpa

awal akhirnya

 

terkotalah

janji-janji suci

sang salik yang rebah di

dada kekasih-Nya

 

Dia menerang kegelapanku

Dia mereda gelora jiwa

jika aku memohon

hanya kerna Dia bisa

menunaikannya

 

ke mana saja

aku hadapkan wajahku

wajah-Nya tetap berada di situ

kerna itu aku hilang

pengertian rindu

 

bersujud munajat menangis

meminta jangan dipisah walau

sedetik pun jua

 

bergetar bibirku

menyebut nama-Nya

berikrar bersaksi

tiada Dia selain Dia

 

sempurnalah

janji kita

itu penawar

segala sakitku

 

itulah penawar

segala sakitku

 


No comments:

Post a Comment