MUZIK
M Nasir Menyanyi
dalam Berdoa, Berdoa dalam Menyanyi
SELEPAS kira-kira 17 tahun terakhir setakat ini bersama-sama album solo Sang Pencinta, Dato’ M Nasir muncul semula dengan lagu tunggal terbitan Luncai Emas Sdn Bhd (Luncai Emas), iaitu Munajat.
Menariknya, Munajat dicipta sepenuhnya oleh M Nasir yang juga merupakan lagu runut bunyi (OST) filem Imam, yang beliau bintangi sebagai pelakon watak utama.
Seperti dimaklumi, Nasir sebagai seorang seniman, sering mencabar dirinya dalam pelbagai disiplin seni merangkumi lukisan, dan pembikinan arca, serta bidang lakonan.
Dalam filem, Nasir terkenal dengan watak-watak ikonik seperti Bujang, filem Kembara….. Seniman Jalanan, pada 1986), Desa (Balada/1994), dan yang paling diingati ramai, Hang Tuah (Puteri Gunung Ledang/2004).
Dalam Imam, Nasir atau kerap disebut sifu, memegang watak imam, iaitu Imam Haji Mihad.
Filem Imam yang diterbitkan oleh Alkahfi Pictures Sdn Bhd, arahan Mior Hashim Manap, merupakan adaptasi daripada novel berjudul serupa (terbit pada 1995), karya Sasterawan Negara kelapan, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain.
Kisah Imam yang turut dibintangi Vanidah Imran dan Faizal Hussein, bermula dengan kepulangan Haji Mihad ke kampungnya, Anggerik Desa setelah lama menghilangkan diri.
Selepas
dilantik oleh penduduk kampung menjadi imam menggantikan imam lama, Haji Abdul
Rahman (lakonan Dato’ Rahim Razali), beliau berusaha membawa pembaharuan kepada
masjid di Anggerik Desa, iaitu Masjid Haji Salleh.
Namun
demikian, usaha Haji Mihad itu mendapat tentang penduduk kampung yang masih
jumud, termasuk sepupunya, Haji Syamsuri (Faizal) dan Haji Rahman sendiri.
Secara
umum, munajat membawa maksud doa atau rintihan hati yang selalunya dalam bentuk
zikir yang bertujuan merayu, dan memohon keredaan Allah SWT, iaitu tujuan
sebenar hidup seorang Muslim.
Menurut
Nasir, dalam Imam, percanggahan
pendapat antara imam lama dengan imam baharu menyebabkan persengketaan yang memesongkan
perhatian masyarakat daripada tujuan sebenar.
“Lagu
Munajat berusaha mengingatkan kembali
perkara tersebut,” jelas beliau apabila diberikan tanggungjawab mencipta OST Imam oleh Mior Hashim yang juga penerbit
filem ini.
Sudah
pastilah Luncai Emas berharap lagu tunggal ini dapat mengubati kerinduan para
peminat Nasir yang sekian lama menunggu-nunggu buah tangan baharu beliau.
Munajat telah dilancarkan
di semua saluran digital, dan video muziknya di saluran YouTube Luncai Emas
pada 10 Februari lalu.
Sementara
itu, Imam yang berdurasi 105 minit
bakal ditayangkan di 45 pawagam di seluruh negara bermula pada 2 Mac depan.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Lirik MUNAJAT
sempurnalah
satu ceritera
perjalanan
berkurun tanpa
awal akhirnya
terkotalah
janji-janji suci
sang salik yang
rebah di
dada kekasih-Nya
Dia menerang
kegelapanku
Dia mereda
gelora jiwa
jika aku memohon
hanya kerna Dia
bisa
menunaikannya
ke mana saja
aku hadapkan
wajahku
wajah-Nya tetap
berada di situ
kerna itu aku
hilang
pengertian rindu
bersujud munajat
menangis
meminta jangan
dipisah walau
sedetik pun jua
bergetar bibirku
menyebut nama-Nya
berikrar
bersaksi
tiada Dia selain
Dia
sempurnalah
janji kita
itu penawar
segala sakitku
itulah penawar
segala sakitku
No comments: