FILEM
Filem Mengangkat Menora Siam Menerusi Kisah Cinta Bahaya
FILEM Mar Rak, terbitan Pentas Wayang Production Sdn Bhd (Pentas Wayang) khusus untuk memberikan sokongan kepada filem tempatan. Ia diterbitkan oleh pelakon dan pengarah drama televisyen tempatan yang tidak asing lagi, Dato’ TS Jeffry.
Berpengalaman selama 33 tahun dalam industri seni tanah air, Dato’ Jeffry antara lain pernah menghasilkan Hantu Bukit Cina, Dirgahayu, Halimah Jongang, Masak Lomak Cil Api, dan Awe Keno Nikoh.
Mar Rak bergenre suspens thriller, memaparkan warisan seni yang semakin dilupai, iaitu menora Siam, menerusi cerita pada sekitar 80-an dan 90-an yang begitu popular di pantai timur Semenanjung, terutama di Kelantan.
Filem Nago Bogho, filem arahan dan lakonan Sabri Yunus pada awal tahun ini, hanya menampilkan sedikit menora menerusi salah seorang wataknya, Jimmy Ang (lakonan Dr Lim Swee Tin).
Namun demikian, cerita filem Mar Rak berdasarkan warisan budaya ini. Mar Rak atau bermaksud Cinta Syaitan (Cinta Perlu Pengorbanan Nyawa) berkisar kisah menora Siam tahun 80-an hingga 90-an, yang menggambarkan percintaan antara Krasem Pak Sintong, lakonan Kael), pemuda Siam, dengan Rashidah (Shatirah Amanda) melalui surat sahaja secara rahsia.
Dalam masa yang sama, anak tauke menora yang berketurunan Cina, Chua Ting (Dalip Singh), iaitu Ai Ling (Nina KSC) turut meminati Krasem. Marah akibat cintanya ditolak, Ai Ling mula mendapatkan bantuan bomoh hantu Siam, Mophi (Jeffry) untuk memenuhi hasratnya memiliki Krasem.
Kerja jahatnya dilakukan menerusi surat. Demi mendapatkan cintanya, Ai Ling malah sanggup membunuh bagi memastikan impiannya tercapai.
Mophi sedia membantu, tetapi menuntut nyawa seseorang untuk mendapatkan minyak dagu sebagai minyak pengasih. Ai Ling yang sudah tidak lagi dapat berfikiran waras, terus bersetuju. Dia sanggup melakukan perbuatan di luar batas kemanusiaan demi memenuhi impiannya.
Kael, bersama-sama Shatirah, Nina, dan Dyvianna menyanyikan Seru Cinta secara langsung.
Penolong pengarah filem Mar Rak, Ad Johan yang ramah mesra.
Siapakah yang menjadi mangsa Ai Ling itu? Jawapannya dan juga kesudahan Mar Rak akan diketahui dengan menontonnnya di pawagam berhampiran anda bermula 2 November ini.
Turut membintangi Mar Rak termasuklah Dyvianna James sebagai Sally, Aghonderan (Mohan), Erry Putra (bapa Rashidah), Zalfazain (ibu tiri Rashidah), Asri Ismail (Tok Ibrahim), YY Asri (adik Rashidah), Man Khan (Tok Imam), serta penampilan istimewa Yank Kassim sebagai Tauke Panggung Menora.
Mengangkat menora dalam sesebuah karya popular seperti filem memang baik, dan wajar dialu-alukan. Namun begitu, mengapa ditampilkan dalam corak seram?
Menjawab pertanyaan tersebut, Jeffry yang turut menghadiri Majlis Malam Gala Filem Mar Rak di Dadi Cinema, Pavilion Bukit Bintang KL pada 30 Oktober lalu, memberitahu, beliau tentulah tidak mahu memaparkan menora secara polos sahaja.
“Memang saya mahu mengangkat menora.
Tetapi, jika ditampilkan tanpa cerita, serta pelbagai unsur penting dalam filem
cereka, Mar Rak akan menjadi filem
dokumentari pula,” jelas beliau merangkap penerbit filem ini menerusi
syarikatnya, Pentas Wayang.
Seperkara lagi yang menarik mengenai filem Mar Rak ini ialah Kael, Shatirah, Nina
dan Dyvianna turut menyanyikan lagu runut bunyi/tema (OST), berjudul Seru Cinta, yang berdurasi 2 minit 20
saat.
Melodi dan muzik Seru Cinta dihasilkan oleh Kabir Bambu, sementara liriknya karya
Jeffry sendiri. Kael, Shatirah, Nina, dan Dyvianna yang turut menghadiri majlis
berkenaan, menyanyikan Seru Cinta secara
langsung.
Dato' TS Jeffry mengangkat menora bersama-sama cerita, serta pelbagai unsur penting dalam filem cereka.
Jelas Jeffry, oleh kerana cerita Mar Rak adalah idea beliau, serta turut
mengolah lakon layar tulisan Adza Waty dan Adza Emie, tidak menjadi masalah
besar baginya untuk menulis lirik Seru
Cinta.
“Mengenai judul Seru Cinta, itu berdasarkan judul filem dalam bahasa Siam - Mar Rak
yang bermaksud seru atau panggil cinta,” katanya yang berdebar-debar menunggu
tarikh permulaan tayangan filem ini.
Amat jarang atau tidak pernah empat pelakon
utama sesebuah filem turut menyanyikan OST-nya. Jika belum pernah, Mar Rak boleh dianggap memulakan perkara
tersebut, atau perintis.
Lirik lagu Seru
Cinta:
Utusan demi utusan kuterima
Coretan nukilan tulus dari jiwa
Luahan rasa yang penuh bermadah
Terkulai diri menatapnya
Hati yang berdetik madah bagai terkunci
Tak mampu melafazkan yang tersirat di hati
Hidup terkadang indah bagai bulan purnama
Kadang kala menyakitkan bagai tiba gerhana
Seandainya kita ditakdirkan bersama
Kuserahkan seluruh jiwa dan raga
Segala rintangan yang menghalangi cinta kita
Terhapuslah kewujudannya dari sealam maya
Seandainya aku diberi kesempatan
Kan kucuba melemahkan seru yang bertandang
Warkah yang diutus bersama mentera jiwa
Hanya pada Tuhan tempat ku meminta
OST Seru Cinta akan disiarkan secara rasmi
di semua pelantar media sosial Pentas Wayang, dan Metrowealth Pictures (MIG).
MIG adalah pengedar Mar Rak.
Sebahagian daripada tenaga penggerak penting Majlis Malam Gala Mar Rak pada 30 Oktober lalu.
Selain semua pelakon Mar Rak, kecuali Erry, dan Jeffry serta penolong pengarah, Ad
Johan, turut menghadiri Majlis Malam Gala Filem Mar Rak ialah Ketua Pegawai Eksekutif MIG, Mejar (K) David; Pengerusi Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional Malaysia @ FINAS, Datuk Kamil Othman; Yang Mulia Tengku
Sri Kelana D’Raja Dato’ Sri Raja Shah Zurin Raja Aman Shah@ Shah Rezza,
dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia
@ SENIMAN, Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi).
Majlis dikendalikan oleh Dalip Singh sebagai
pengacara.
Mar
Rak mendapat kerjasama sepenuhnya Kementerian
Komunikasi dan Digital, menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia atas Dana
Kandungan Digital yang telah dibelanjakan bagi memastikan penghasilannya, dan
menemui penonton di pawagam.
- RAJA YUSOFF ARIFFIN