SENI

 

Tan Sri P Ramlee Unggul Walaupun Bukan dari Keluarga Seni

 

WACANA Seni ‘Kuah Tumpah ke Nasi’ anjuran Ade Abe Entertainment dengan kerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR), dan Grand Barakah Hotel (GBH), serta disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Warisan Bonda Café, GBH, Ampang pada 8 November lalu menarik kerana mempertemu anak-anak seni berbeza latar belakang, membincangkan tajuk yang dipilih oleh penganjur.

 

Dimudahcarakan oleh Naque Ariffin, penggiat teater muda yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, wacana tersebut menampilkan Dato’ (Dr) Yusof Haslam, Aziz M Osman, dan Dr Marlenny Deenerwan sebagai ahli panel.

 

Dato’ Yusof yang dikenali sebagai pelakon, pengarah dan penerbit filem/drama televisyen tidak berasal dari keluarga seni, sementara Aziz merupakan anak kepada penyanyi legenda 60-an, Allahyarham M Osman.

 

Dr Marlenny pula graduan Jabatan Penulisan, Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini Timbalan Dekan Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya.

                                                        

 Dato’ (Dr) Yusof Haslam (kiri) membuktikan kejayaan walaupun tidak berasal dari keluarga seni.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++  
 

Yusof yang mulai dikenali menerusi filem Permintaan Terakhir pada 1975, menegaskan tidak semestinya bakat seni itu diwarisi. Beliau memberi contoh paling ampuh, iaitu Seniman Agung negara kita.

 

“Allahyarham Tan Sri P Ramlee tidak berasal dari keluarga seni. Terdapat juga beberapa pemain industri perfileman hari ini yang tidak bersandarkan kehebatan masa lalu keluarga mereka,” ujar ayah kepada Syamsul dan Syafiq ini yang amat mengagumi bakat, serta kebolehan ‘anak wayang’ Melayu pada era 50-an dan 60-an walaupun menghadapi masalah kemudahan, dan penggalakan berkarya.

 

Mengenai soal pewarisan seni, Yusof memberitahu beliau tidak pernah memaksa anak-anaknya mengikut jejak langkah menjadi karyawan filem, dan drama televisyen.


   Aziz M Osman turut meminati filem animasi, selain mahu mengikut jejak Steven Spielberg.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Saya bersikap sedemikian kerana tidak yakin dengan masa hadapan perfileman tanah air, dan juga banyak masalah yang dihadapi ketika itu,” jelas beliau yang mengarah dan menerbitkan filem cereka pertama menerusi syarikatnya, Skop Productions Sdn Bhd (SPSB), iaitu Bayangan Maut pada 1991.

 

Walau bagaimanapun, hasil peningkatan demi peningkatan yang ditunjukkan oleh Syamsul dan Syafiq, Yusof bersyukur anak-anaknya dapat meneruskan legasi beliau, sekali gus SPSB menerusi filem-filem yang meraih keuntungan berpuluh juta RM.

 

“Saya fikir bakat yang ada juga memerlukan peluang dan kewangan untuk berkarya. Saya akui Syamsul dan Syafiq bertuah ayah mereka seorang penerbit yang masih giat,” jelas Yusof yang tetap memberi peluang kepada dua orang anaknya itu menunjukkan bakat mengarah filem, dengan pengawasan pelakon veteran, A Galak.

Naque Ariffin (kiri sekali) memudahcarakan Wacana Seni ‘Kuah Tumpah ke Nasi’ pada 8 November lalu.

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Sementara itu, memang menarik melihat Aziz menceburi bidang lakonan, penulisan skrip dan pengarahan walaupun Allahyarham ayahnya berwibawa sebagai penyanyi popular dengan lagu Suzanna, dan Dendang Patah Hati.

 

Namun demikian, beliau menjelaskan bahawa ayah dan ibunya, Afida Es gemar menonton wayang. Semasa di Singapura, rumah mereka berdekatan dengan pawagam.

 

“Memang tidak jauh dan kami hanya perlu berjalan kaki untuk ke pawagam," jelasnya yang mula dikenali menerusi filem Sayang Anakku Sayang pada tahun 1976.


Dr Marlenny Deenerwan (kanan sekali) semasa menjadi ahli panel Wacana Seni ‘Kuah Tumpah ke Nasi’ pada 8 November lalu.

*********************************************************************************** 

Oleh kerana itu, tambah Aziz, ayah dan ibu beliau selalu membawa anak-anak menonton tayangan tengah malam. Filem Melayu pertama yang ditonton olehnya adalah Lanchang Kuning (1962).

 

"Kesimpulannya, kami sekeluarga suka menonton wayang. Sambil menonton, saya sering terfikir bagaimana sesebuah filem dihasilkan," ujar Aziz yang mengarahkan filem pertamanya, Fenomena pada 1990, walaupun ada yang menganggap beliau tidak layak menjadi pengarah.

 

Walaupun bakat memang perlu, dan kemudian pilih mahu ke mana, tetapi Dr Marlenny menyatakan itu bukan perkara mesti atau wajib.

 

“Jika hanya ada bakat, tetapi tidak rajin berusaha menjadi karyawan, seseorang itu tidak akan ke mana-mana juga. Bakat perlu dipupuk agar lebih mantap,” tegas beliau yang sedang sibuk mengarahkan teater Sirih Bertepuk Pinang Menari, karya Sasterawan Negara Datuk Dr Noordin Hassan, 95 tahun, pada 29 dan 30 November serta 1 Disember nanti.

 

“Memasuki institusi pengajian tinggi menerima pendidikan formal juga penting kerana ia menjadikan orang seni itu bersistematik,” jelas Marlenny yang kehadirannya adalah sebagai ahli akademik membincangkan soal bakat seni diwarisi, atau tidak.

 

Tegas beliau, memang tiada jalan pintas untuk menjadi bintang. Kemasukan ke institusi pengajian tinggi tetap memerlukan penapisan agar hanya yang benar-benar layak sahaja terpilih.

                                       

Ahli panel Wacana Seni bersama-sama tetamu kehormat, dan pengacara majlis Hezri Hashim (kanan sekali).

###################################################################################

“Daripada 60 calon misalnya, hanya 20 hingga 25 sahaja yang layak. Saya tidak menafikan ada ibu bapa yang cuba menggunakan ‘pintu belakang’ untuk anak mereka,” jelas Marlenny.

 

Selain itu, tambah beliau, berpengalaman serba sedikit dalam penghasilan karya dan genetik turut menjadi faktor kelayakan.

 

Turut hadir Dato’ Seri Razali Mohd Sham, Ketua Pegawai Eksekutif Hotel Grand Barakah, dan isteri; Amran Nasrudin, pengasas Ade Abe Entertainment merangkap Pengerusi Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR); pelakon veteran Dato’ Hilal Azman; dan Dato’ Dr Suhaimi Ibrahim, Presiden Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia.

 

-          disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

 


Leave a Comment

No comments:

Powered by Blogger.