TEATER
Dr Marlenny Deenerwan (duduk dua dari kiri) dan Encik Mohd Amran Mohd Haris (duduk empat dari kanan), bersama-sama tetamu khas, serta para pelakon dan tenaga produksi teater Sirih Bertepuk Pinang Menari.
Sirih dan Pinang Berpadu Kasih di Auditorium DBP
SASTERAWAN Negara (SN) ketujuh/1993, Datuk Noordin Hassan dramatis kelahiran Pulau Pinang (18 Januari 1929) yang berani menampilkan konsep pendramaan baharu yang bersifat anti-realisme, iaitu drama absurd dan eksperimental, telah membuka dimensi baharu dalam dunia drama di Malaysia.
Datuk Noordin yang kini berusia 95 tahun, memang unik, kreatif dan prolifik. Kemunculan beliau dalam dunia drama Melayu moden, dan teater tanah air telah memberi nafas baharu untuk kesusasteraan Melayu.
Di sepanjang penglibatannya sebagai penulis dan pengarah drama sejak 1953, Nordin telah menghasilkan lebih 30 drama. Pembaharuan yang beliau lakukan ini mengetengah konsep teater fitrah, dan sering bereksperimen dengan bentuk drama baharu berlandaskan tradisi budaya Melayu.
Noordin penulis drama yang menggunakan pemikiran intelektualnya dengan karya menggugah minda pembaca, dan penonton, serta membiarkan mereka mencari jawapan seterusnya.
Dato' Ahmad Tamimi Siregar (dua dari kiri) dan Jay Iswazir (dua dari kanan) dalam babak menarik teater Sirih Bertepuk Pinang Menari.
=========================================================================
Antara karya beliau yang terkenal ialah Bukan Lalang Ditiup Angin, Peran, Anak Tanjung, Jangan Bunuh Rama-rama, Cindai, Tiang Seri Tegak Berlima, Mana Setangginya, dan Sirih Bertepuk Pinang Menari (SBPM).
Selaras dengan konsep MADANI Kerajaan Malaysia sekarang seperti yang dinyatakan oleh Encik Mohd Amran Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), SBPM dipilih oleh pihak beliau untuk mengisi slot Pementasan Karya Agung SN, yang dianjurkan menerusi JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL), dan Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya (Mekar Budaya).
Akmal Ahmad (kiri) sebagai Ihsan, seorang nelayan.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Semasa sidang media teater berkenaan di Ruang Legar, Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada 14 November lalu, Mohd Amran memberitahu pementasan SBPM merupakan salah satu usaha pembangunan dan pelestarian kesenian teater, memelihara dan memperkasakan warisan budaya Melayu, menyediakan platform kepada penggiat seni untuk mempersembah bakat mereka, serta menggalakkan pementasan karya bermutu tinggi.
Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), SBPM yang sudah berusia 32 tahun, akan dipentaskan pada 29 dan 30 November, serta 1 Disember depan jam 8.30 malam di Auditorium DBP, SBPM.
YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dijangka turut hadir menonton pementasan SBPM pada malam kedua, iaitu 30 November nanti.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Di bawah arahan Dr Marlenny Deenerwan, Timbalan Dekan Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, SBPM menampilkan gabungan 22 pelakon lama dan baharu seperti Dato’ Ahmad Tamimi Siregar sebagai Sultan Idris Bistari, Jay Iswazir (Putera Zahiruddin Shah), Akmal Ahmad (Ihsan), Farhana Fahizam (Puteri Kamaliah), Eliza Mustafa (Ratu Salbiah), Azman Hassan (Pak Yatim), Haf Dzi Sofi (Penjual Serbet/Jin), dan Shasha Fairus (Mak Inang).
Pementasan SBPM turut mendapat sokongan/kerjasama 47 anggota produksi, di mana 25 daripadanya adalah pasukan pengurusan dan kreatif.
Mereka termasuklah Nik Aqil (Penolong Pengarah), Birgitta Abeysekra (Pereka Muzik dan Audio), Remy Eldhani (Pereka Cahaya), Triple 8 Production (Pereka Set dan Prop), dan Wandie Arts Perfomance (Penyelaras Busana/Tatarias).
Farhana Fahizam sebagai Puteri Kamaliah diapit oleh Eliza Mustafa (Ratu Salbiah), dan Akmal Ahmad (kiri sekali).
=========================================================================
Selain Mohd Amran, Dr Marlenny, dan Along Hazirin selaku Penerbit SBPM, turut hadir sebahagian pelakon seperti Dato’ Ahmad Tamimi, Jay, Akmal, Farhana, Eliza, Azman, Haf Dzi, dan Noh Marzuki (Wazir Tua/Wazir Muda).
Puan Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi, Pengarah JKKN WPKL; Encik Mohamd Raizuli Mat Jusoh, Pengarah JKKN Selangor; Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP; Timbalan Pengarah JKKN WPKL, Encik Shahrizal Abdan; dan Penolong Pengarah JKKN WPKL, Puan Shariza Isa juga hadir.
Tambah Amran, pementasan SBPM juga bertujuan memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan.
“Ia memberi peluang kepada JKKN dan badan bukan kerajaan seni budaya mengetengah karya seni negara, mempergiat persembahan teater, serta memupuk minat membaca Karya Agung dalam kalangan generasi muda,” ujar beliau lagi.
Dato' Ahmad Tamimi Siregar sebagai Sultan Idris Bistari menjelaskan sesuatu, sambil diperhatikan oleh Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP (kiri).
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Amran berharap SBPM mampu menarik pelancong, serta menjadi platform kepada karyawan seni budaya untuk mementaskan karya-karya seni budaya berteraskan negeri-negeri seperti tari, muzik dan teater.
Sementara itu, mementaskan SBPM merupakan impian Marlenny atau nama pentasnya, Lenny Erwan. Menariknya, beliau mengakui telah meminati karya ini sejak berusia 12 tahun.
Menyebut soal ‘menghadami’ SBPM atau tidak, Lenny yang juga peneraju Mekar Budaya, mengatakan semestinya beliau sedemikian walaupun ia proses yang berterusan.
“Saya juga memilih untuk mengangkat SBPM kerana mahu cuba meneroka dimensi akal seorang absurdis/surealis/eksperimentalis Malaysia ini,” jelas beliau yang sebenarnya menyanjung aliran fitrah yang menjadi teras dan tunjang pemikiran Noordin, atau dikenali juga sebagai Cikgu Noordin ketika berkarya.
Lenny percaya bahawa kotak fikir seorang Noordin Hassan adalah sebuah representasi mental di luar konteks yang sebenar.
Antara persembahan yang turut menyerikan majlis Sidang Media Pementasan Karya Agung Sirih Bertepuk Pinang Menari pada 14 November lalu.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Justeru, dimensi interpretasi juga harus melawan arus logik. Dengan sekumpulan pelakon dan pasukan produksi yang baik, kami cuba menyampaikan apa yang difahami,” ujarnya lagi.
Bak kata Cikgu Noordin dalam drama ini, tambah Lenny,
“kalau mustahil apa dikata, carilah pula apa tersirat”.
Mengenai pemilihan pelakon teater yang berdurasi
kira-kira dua jam setengah ini, pihak penganjur, penerbit dan pengarah yakin
mereka yang dipilih mampu membawakan watak masing-masing.
Pelakon veteran dan lama, kata Lenny, memang
berpengalaman, sementara pelakon baharu pula ada ilmu, dan serba sedikit pernah
berteater – tidak kosong.
***********************************************************************************
Bagi Ahmad Tamimi, beliau gembira dapat menjadi
sebahagian daripada pelakon yang menjayakan SBPM. Lantaran kecintaan terhadap
teater sejak sekian lama, beliau memanfaatkan sebaik-baiknya tenaga yang masih
ada.
Jay dikenali sebagai pelakon drama televisyen dan
filem yang sering memegang watak jahat. Mengenai wataknya sebagai antagonis,
beliau memberitahu itu juga menjadi pernyataan tentang akibat seseorang yang
kurang kasih sayang.
“Ada sebabnya seseorang menjadi jahat. Kurang
diberikan perhatian dalam keluarga memang boleh mendorong seseorang sama ada
menjadi jahat, atau tidak waras,” jelas Jay.
Akmal yang juga banyak membintangi drama televisyen
sebagai antagonis, memberitahu beliau cuba menyahut cabaran pengarah untuk
memegang watak baik, atau protagonis.
“Memang sukar bagi saya mengubah citra dan
kebiasaan. Walau bagaimanapun, keperluan menari dalam teater ini banyak
membantu saya menjadi protagonis,” ujarnya yang telah lima tahun tidak berlakon
teater.
Bagi Farhana pula, ilmu yang ditimba dan serba
sedikit pengalaman digunakan olehnya untuk menjayakan watak anak raja yang
bercinta dengan Ihsan, seorang nelayan.
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
Memang tidak setiap hari kita berpeluang menonton
sebuah karya yang penuh dengan makna dalam penceritaan, malah bukan mudah untuk
ditafsir, kisah yang penuh dengan pendekatan fitrahnya, dan pemikiran unik
daripada seorang tokoh yang amat disanjungi.
Justeru, SBPM adalah sebuah teater yang boleh
mengajar kita berfikir dengan lebih kritis lagi, dan tahu menghargai sesebuah
karya yang sukar ditafsirkan dengan pemikiran biasa.
Pas masuk menonton SBPM berharga RM20 untuk awam,
dan RM15 untuk pelajar/warga emas/orang kelainan upaya, boleh didapati dengan
mengimbas kod QR pada poster dalam media sosial Instagram
rumpunsenimekarbudaya.
Untuk maklumat lanjut, hubungi atau Whatsapp
menerusi talian 010 8226091 (Cik Aroha)/018 2494933 (Cik Arissa). Orang ramai
juga boleh melayari laman sesawang JKKN, iaitu www.jkkn.gov.my, ataupun
Facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.
Tidak hanya pementasan SBPM, penganjuran program ini
turut disokong oleh forum bertajuk ‘Noordin Hassan Eksperimentalis yang
Merentas Masa’ di Balai Seminar, Aras 6, Wisma DBP pada 30 November pukul 2.30
petang.
Forum tersebut akan menampilkan Dato’ Dr Mohd Anuar
Rethwan aka Anwar Ridhwan, SN ke-9; Tan Sri Johan Jaafar; dan Dr Norzizi
Zulkifli sebagai ahli panel, yang dimudahcarakan oleh Mohd Kamarulzaman Taib
aka Che’ Kem.
- disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF
ARIFFIN
No comments: