SASTERA BUDAYA



























CITRA POSITIF MAT JENIN

Menonton filem animasi, terutamanya yang menampilkan kanak-kanak sebagai watak utama menuntut penonton ‘menjadi’ kanak-kanak juga . Jangan mengharapkan logik kerana antara unsur mesti dalam filem animasi ialah perwatakan dan kejadian yang tidak masuk akal.
Watak tidak mati atau cedera parah biarpun terbanting di sana-sini di sepanjang durasi, atau masih hidup walaupun sudah hancur berkecai. Anggota tubuh yang terpisah boleh bercantum semula, malah hidup semula setelah mati.
Jika ada penonton yang tiada ‘perasaan’ (feel) atau ‘jiwa bergetar’ ketika menontonnya barangkali kerana dia masih meletakkan dirinya sebagai orang dewasa. Mungkin juga oleh sebab momentum filem yang ditonton itu pantas.
Bukan terhadap filem animasi sahaja. Filem live action atau lakonan manusia biasa juga ada yang bersifat khayalan – berkait dengan logik, dan tidak logik.
Memang karya manusia masih ada kecacatan. Tiada yang sempurna. Hanya karya Allah SWT yang sedemikian. Walau bagaimanapun, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ialah karya manusia yang sangat hebat. Ia mengejutkan, sekali gus mengagumkan, dan amat membanggakan. Saya seperti tidak percaya ia hasil anak tempatan. Dari segi visual, ia boleh dianggap bertaraf filem animasi Hollywood.
Begitu banyak kemajuan berbanding Upin & Ipin: Geng Pengembaraan Bermula (2009) yang mengutip RM6.2 juta daripada kos RM4.7 juta (arahan Mohd Nizam Abdul Razak).
Menonton Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bukan sahaja mengejutkan saya dari segi visual, tetapi juga plotnya. Terdapat twist yang menarik. Saya memang tertanya-tanya selepas beberapa lama watak Mat Jenin muncul. Mengapa banyak adegan melibatkannya dengan perwatakan yang begitu kuat, sehingga Upin dan Ipin, serta rakan-rakan lain menjadi seperti watak pembantu sahaja?
Akhirnya , jelas sekali filem animasi yang danggap oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik sebagai mengangkat kesusasteraan Melayu lama ini memberi interpretasi baharu terhadap Mat Jenin. Ia memberi citra yang baik terhadap watak berkenaan.
Telah sekian lama/berturun-temurun Mat Jenin dikenali sebagai orang yang hanya/banyak berangan-angan/berkhayal. Inggeris telah memberi gambaran buruk terhadapnya. Dia dikatakan malas bekerja dan asyik berangan-angan sehingga jatuh dari pokok kelapa, dan mati. Tamatlah kisahnya di situ sahaja.
Walaupun ada sarjana/budayawan tanah air yang cuba membela/membidas dengan mengatakan Mat Jenin bukan berangan-angan, tetapi bercita-cita tinggi. tanggapan negatif yang dipupuk oleh penjajah itu lebih kuat.
Dengan paras yang tampan, handal bertarung, serta suka membantu dan sukakan kanak-kanak - melayani Upin dan Ipin, serta rakan-rakannya, Jarjit, Mail, Ehsan Mei Mei, dan Susanti, rupa-rupanya dia watak penting dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.
Keris Siamang Tunggal disimpan oleh datuk Upin dan Ipin, iaitu Tok Dalang. Walau bagaimanapun, di negara Inderaloka,  Mat Jenin yang mampu menggunakannya dengan baik, sehingga bertukar menjadi siamang raksasa menewaskan Raja Bersiong.
Mat Jenin rupa-rupanya ialah anak raja dan pewaris takhta kerajaan Inderaloka. Dia berjaya menuntut bela kematian ayahandanya di tangan Raja Bersiong. Ternyata dia bukan pemuda yang hanya berangan-angan, tetapi pahlawan.
Filem tersebut membawa kisah pengembaraan Upin dan Ipin bersama-sama rakan-rakan yang secara tidak sengaja ke negara (kerajaan dongeng) Inderaloka. Mereka bertemu dengan pelbagai watak dongeng popular seperti Bawang Merah, Bawang Putih, Pak Belalang, Belalang, Si Tanggang dan ibunya, termasuk Batu Belah Batu Bertangkup selain Mat Jenin.
Penonton boleh menghimbau cerita zaman kanak-kanak dan melihat cerita dongeng Nusantara tersebut dianimasikan dengan perwatakan baharu. Keris diangkat sebagai tema utama cerita setelah mendapat inspirasi daripada sebuah keris Melayu yang benar-benar wujud, dan misteri, iaitu tidak berbilah. Ia ada nama, tetapi dalam cerita aimasi ini, diberikan nama lain.
Batu Belah Batu Bertangkup walaupun statik dalam filem ini, tetapi ia tetap penting, iaitu sebagai pintu ‘terowong masa’ Upin dan Ipin serta rakan-rakan datang ke, dan meninggalkan Inderaloka.
Pak Belalang kurang menonjol meskipun peranannya turut dipaparkan sedikit. Mungkin kerana watak utama ialah kanak-kanak, jadi anaknya yang lebih ke depan lantaran bersama-sama dengan Upin dan Ipin, serta rakan-rakannya. Apatah lagi dia mempunyai lastik yang pelurunya ‘bersakti’ menghalang serangan orang kanan Raja Bersiong.
Selain Mat Jenin, ada dua perkara menarik yang boleh saya nyatakan. Pertama, tidak salah filem, termasuk animasi diarahkan oleh lebih daripada seorang pengarah, apatah lagi jika hasilnya amat baik. Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal diarahkan oleh Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim, dan Ahmad Razuri Roseli.
Adam berpengalaman mengarahkan siri Upin & Ipin, Syed Nurfaiz pula pengarah siri Puteri, sementara Ahmad Razuri, pengarah siri Pada Zaman Dahulu.
Kedua, bukan sahaja sejarah tanah air perlu ditulis semula, kisah dongeng kepahlawanan/legenda Melayu juga sedemikian.

No comments:

Powered by Blogger.