SASTERA BUDAYA







MASJID, SURAU SELURUH WP TERIMA SUMBANGAN RAMADAN

PADA 21 Mei 2019, bersamaan 16 Ramadan 1440 lalu telah berlangsung Program Agihan Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Serba Guna, Masjid Jamek Kampong Bharu, Kampong Bharu, Kuala Lumpur.
Pengagihan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Haji Abdul Khalid Samad. Turut hadir termasuklah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang; Pengerusi Masjid Jamek Kampong Bharu, Dato’ Idris Sha’ari Mat Aris; Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Haji Zulkurnain Hassan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Zaizalnizam Zainun.
Sumbangan bersempena dengan Ramadan itu diberikan kepada wakil dari 71 masjid, 77 surau Jumaat, dan 330 surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam ucapannya, Khalid menegaskan kerajaan memang bertanggungjawab memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Antara kaedah untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut ialah dengan membantu mereka yang memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi pada Ramadan yang penuh kemuliaan ini.
Selari dengan dorongan Islam, tambah Khalid, kementerian beliau juga mahu mengambil kesempatan pada Ramadan yang penuh berkat untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada masjid, surau Jumaat, dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan.
Khalid berharap sumbangan (masjid RM3,000, surau Jumaat RM2,000, dan surau RM1,000) yang diagihkan sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan yang ditanggung oleh pihak pengurusan masjid/surau dalam melaksanakan pelbagai program yang mengimarahkan masjid/surau masing-masing.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada wakil-wakil masjid/surau yang merupakan wakil-wakil komuniti, ‘orang kuat’ masjid dan surau yang telah bersungguh-sungguh melaksanakan aktiviti dalam memeriahkan lagi sambutan Ramadan.
Mengenai Kampong Bharu secara khusus, Khalid tidak menafikan keistimewaannya sehingga pelbagai lapisan pimpinan negara turut ‘turun padang’. DYMM Sultan Selangor, misalnya, tidak pernah terlepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampong Bharu setiap tahun.
DYMM Raja Permaisuri Agong juga berkenan mencemar duli ‘turun padang’, dan berkongsi resipi bubur lambuk di masjid yang sama beberapa hari lalu. Justeru, tegas Khalid, memang wajar Kampong Bharu dijadikan tuan rumah program ini.
Sejak akhir-akhir ini, Kampong Bharu menjadi sebutan di rangkaian-rangkaian media. Tegas Khalid, Kampong Bharu telah menjadi antara keutamaan pada peringkat kementerian beliau untuk memastikan perancangan yang bakal diatur, dan dilaksanakan ialah yang terbaik, dan memberi manfaat maksimum kepada seluruh pemilik, dan pewaris tanah di Kampong Bharu.
Perancangan yang dilaksanakan, tambah Khalid, harus secara menyeluruh. Perancangan, katanya, harus bukan sahaja dari aspek pembangunan fizikal, tetapi juga dari aspek penyediaan infrastruktur, keperluan awam, penjanaan ekonomi, dan yang lebih penting, mampu memberi pulangan setimpal kepada pemilik/pewaris yang telah lama menunggu untuk menikmati pembangunan yang telah sekian lama dirancang.
Menurut Khalid, kawasan tanah MAS khususnya yang berkeluasan 220 ekar yang fizikalnya tidak teratur, dan perlu segera diberikan wajah baharu agar seimbang dengan pembangunan di kawasan sekitar.
Justeru, PKB, tegas Khalid, mempunyai peranan yang amat penting dalam mencorakkan pembangunan masa hadapan Kampong Bharu, dan semestinya usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak, termasuklah pemilik/pewaris tanah di Kampong Bharu.
Menurut Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu, kita perlu mengakui masalah yang melibatkan penyelesaian harta pusaka telah menjadi faktor rancangan pembangunan Kampong Bharu berjalan sedikit perlahan.
Sehubungan itu, Khalid berharap pemilik/pewaris tanah dapat memberikan kerjasama untuk memudahkan kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik. Manfaat yang terbaik kepada pemilik/pewaris, dan pengekalan unsur keMelayuan, tambah beliau, akan menjadi keutamaan dalam menentukan perancangan pembangunan Kampong Bharu.
Sebelum mengagihkan sumbangan, Khalid turut mengagihkan makanan kegemaran umum dan ‘signature menu’ Kampong Bharu, iaitu bubur lambuk Kampong Bharu selepas solat asar di masjid yang sama.    
Turut menghadiri program tersebut ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Haji Mohd Ajib Ismail; Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ibrahim Yusoff; Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Datuk Haji Mustafa Mohd Nor; dan Pengerusi Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Haji Azizi Ab Hamid Al-Hafiz.  

No comments:

Powered by Blogger.