SASTERA BUDAYA

GANDINGAN AKIM, HAZAMA ATASI MARA BAHAYA

AKIM Ahmad dan Hazama selalu muncul di pentas nyanyian dengan mencipta gaya, dan cara nyanyian mereka yang tersendiri. Kini mereka mengukuhkan persahabatan dengan muncul dalam filem Marabahaya Underground terbitan D’Edge Communication (M) Sdn Bhd.
Menariknya, pihak Movie Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh, Perak turut berkolaborasi dengan D’Edge Communication (M) Sdn Bhd bagi menjayakan filem bercorak aksi komedi sukan permotoran ini.
Diarahkan oleh pengarah filem ‘pecah panggung’ Bikers Kental, dan Bikers Kental 2, Helmi Yusof dengan lakon layar tulisan Subroto Katimin, Marabahaya Underground turut dibintangi Dayana Roza.
Menuntut komitmen dan kemahiran mereka untuk mempamerkan aksi lasak sukan permotoran menjadi cabaran buat Akim, dan Hazama.
Akim memegang watak Fison Hamdi. Katanya, dia terus bersetuju sebaik sahaja ditawarkan membintangi Marabahaya Underground. Jelasnya, itu disebabkan ia hampir dengan dirinya. Sementelah kebelakangan ini, jelas Akim, dia bergiat dalam bidang permotoran kereta.
Justeru, kata Akim, dia boleh merealisasikan serba sedikit unsur berlumba dalam filem tersebut. Sebagai tanda serius membawakan watak Fison, Akim berusaha menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram. Itu dilakukan kerana Fison berusia 21 tahun.
Dalam masa dua bulan, Akim berjaya menurunkan berat badannya dari 74 kilogram ke 64 kilogram. Menurutnya, dia hanya mengamalkan intermittent fasting, iaitu mengambil makanan berat dari jam 9 pagi sehingga 3 petang sahaja setiap hari.
Hazama yang membawakan watak Shah Dhani pula menjelaskan, tawaran yang diterima menjadi peluang yang baik untuk dirinya. Dia menerima pelawaan itu kerana datang daripada Cat Farish yang merupakan sahabatnya.
Sementelah pula, kata Hazama, penggambaran dilakukan pada Ramadan, dan dia tiada sebarang aktiviti. Katanya, dia dan Akim begitu teruja mahu melakukan aksi permotoran, dan kenderaan dalam filem ini. Kata Hazama lagi, ketika melakukan aksi drift dalam majlis pelancaran pun dia sudah berdebar-debar.
Sementara Dayana Roza, 28, yang mengaku berdebar-debar sewaktu ikut terbabit dalam aksi drift semasa pelancaran Marabahaya Underground di taman tema MAPS tempoh hari turut tidak sabar untuk memulakan penggambaran.
Jelas Dayana, dia hanya membuat persediaan fizikal memandangkan filem ini menjalani penggambaran dalam Ramadan, di Perak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Shafeii Abdul Gaffor, filem yang mendapat kerjasama kerajaan negeri Perak, dan Tourism Perak ini akan menjadikan taman tema tersebut sebagai lokasi utama penggambaran.
Jelas Shafeii, antara sebab pihaknya bekerjasama dengan Cat Farish selaku penerbit filem Marabahaya Underground ialah jalan ceritanya mengisahkan sukan permotoran. Kebetulan MAPS antara tempat di Ipoh yang mengadakan sukan drift setiap hari, dan menjadi tumpuan para pengunjung.
Marabahaya Underground telah memulakan penggambaran pada 10 Mei lalu. Selain di taman tema MAPS, penggambaran turut dilakukan di Gopeng, Tanjung Tualang, Teluk Intan, Batu Gajah, Johor, Cameron Highlands, dan Genting Highlands.
Filem yang menggunakan bahasa Melayu, Tamil, dan Cina ini membawa kisah Fison Hamdi, seorang pelajar dari Ipoh, Perak yang lebih mesra dipanggil Chon. Dia yang datang dari keluarga sederhana, memiliki sebuah kereta Myvi yang diubahsuai kepada sebuah kereta sporty dan ranggi.
Pelajar di sebuah kolej di Ipoh itu amat meminati sukan drift. Dia amat meminati jaguh sukan drift di Ipoh, Shah Dhani. Gambar Shah Dhani terpampang di biliknya. Chon selalu pergi ke acara sukan drift, sama ada melihat pameran ataupun ikut serta di litar lumba. Dari situ dia mengagumi Shah Dhani.
Chon seorang pemuda rajin mencari wang dan fokus pada apa yang diingininya, iaitu memiliki sebuah kereta drift. Untuk menambah pendapatan, Chon menjadikan kereta Myvi miliknya sebagai kereta grab. Pelbagai gelagat lucu dan ragam di sepanjang dia memandu kereta grab.
Meskipun berstatus jaguh sukan drift, tetapi Shah Dhani sebenarnya menghadapi banyak masalah. Hutangnya bertimbun, dan menjadi buruan samseng. Untuk melangsaikan hutangnya, dia sanggup berlumba haram. Walau bagaimanapun, masih belum selesai.
Shah Dhani ialah pelumba lagak ngeri kereta drift di taman tema MAPS, yang juga taman tema animasi pertama di Asia. Itulah pekerjaan utamanya.
Chon dan Shah Dhani mula berkenalan apabila Chon datang ke MAPS dan melihat jaguh sukan itu beraksi. Ketika sesi bergambar, Chon merayu kepada Shah Dhani supaya mengambilnya sebagai anak murid. Hubungan mereka semakin akrab. Chon belajar berlumba drift dengan Shah Dhani sama ada di trek taman tema MAPS mahupun di litar haram sehingga dia mahir.
Mereka juga rapat dengan ketua pomen di taman tema MAPS, Ayai. Pada suatu hari, Ayai menawarkan kepada Chon supaya membeli sebuah kereta drifIt. Chon cuma perlu menyambung bayar sahaja.
Inilah peluang memenuhi impian yang ditunggu-tunggu oleh Chon. Atas dorongan dan idea Ayai dan Shah Dhani, Chon bersetuju membeli kereta drift itu.
Kemudian kereta drift Chon dijadikan sebuah kereta grab yang istimewa. Pelbagai gelagat timbul daripada perkhidmatan yang ditawarkan oleh Chon, sehinggalah perkenalannya dengan seorang gadis cantik, Intan Farhana (Dayana Roza). Untuk mendapatkan cinta Intan Farhana, bermacam-macam cara dilakukannya supaya gadis itu melanggan kereta grabnya.

No comments:

Powered by Blogger.