SASTERA & BUDAYA


TIADA WASIAT UNTUK WARIS MUSIBAT

MENJELANG ‘persaraan’nya sebagai James Bond, Daniel Craig keluar dari ‘dunia’ perisikan dengan membintangi filem arahan Rian Johnson, Knives Out.
Walaupun masih menyiasat, tetapi watak Detektif Denoit Blanc yang dibawanya tidak asing. Craig (pastilah) tidak kekok, malah membuktikan dia boleh berlakon dengan baik tanpa bertumbuk, melompat, menembak, memandu kereta laju, dan sebagainya seperti biasa (yang kelihatan selesa dilakukannya dalam filem-filem ejen rahsia terkenal itu).
Hanya dengan mimik wajah, dan gerak tubuh, serta pertuturan yang sesekali lucu, Craig membuktikan dia pelakon berbakat/wibawa.
Chris Captain America Evans mencuba kelainan dengan memegang watak Ransom Hugh Drysdale, sementara Ana de Armas yang turut mendampingi Craig dalam filem 007 terbaharu, No Time to Die, menjadi jururawat peribadi orang kaya, Marta Cabrera.
Banyak perkara menarik dalam Knives Out. Antaranya ialah si pelaku kebaikan tetap menerima/mendapat balasan baik; siapa pun kita, yang penting ialah ketulusan hati, ahli keluarga yang berantakan tidak wajar menerima wasiat, dan pemberi wasiat sanggup membunuh diri demi orang yang disukainya.
Knives Out ialah filem untuk peminat Craig dan Evans yang tampil dalam watak yang berbeza. Ia filem misteri komedi gelap yang lakon layarnya turut ditulis oleh Johnson.
Disebut sebagai filem bergenre misteri pembunuhan moden, Knives Out membawa kisah pertemuan keluarga yang bertukar menjadi kecoh selepas kematian ketuanya sehingga disiasat oleh seorang detektif berpengalaman.
Selain Craig, Evans, dan de Armas, Knives Out turut menampilkan Jamie Lee Curtis (Linda Drysdale/anak sulung Harlan, dan isteri Richard, tokoh hartanah yang berpengaruh, menjalankan syarikat sendiri dengan bantuan suaminya.), Michael Shannon (Walter ‘Walt’ Thrombey/anak bongsu Harlan, suami Donna dan pemangku baharu CEO syarikat penerbitan ayahnya), Don Johnson (Richard Drysdale/menantu Harlan dan suami Linda yang membantu syarikat isterinya), Toni Collette (Joni Thrombey/menantu Harlan dan isteri mendiang anaknya, yang juga guru gaya hidup), dan K Callan (Wanetta ‘Great Nana’ Thrombey/ibu Harlan). dan Frank Oz (Alan Steven/peguam Harlan).
Ada juga Lakeith Stanfield (Detektif Leftenan Elliot), Riki Lindhome (Donna Thrombey/menantu Harlan, isteri Walt). Katherine Langford (Megan ‘Meg’ Thrombey/cucu Harlan, anak Joni yang belajar seni liberal, dan aktivis sosial), Jaeden Martell (Jacob Thrombey/cucu Harlan, anak Walt dan Donna, yang asyik dengan telefon bimbitnya), Noah Segan (Trooper Wagner/pembantu Elliot), Edi Patterson (Fran/pembantu rumah Harlan), dan Christopher Plummer (Harlan Thrombey/pengarang novel misteri jenayah kaya-raya), serta Raúl Castillo, dan
M Emmet Walsh.
Filem yang turut menampilkan Johnson sebagai penerbit ini telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada 7 September 2019 lalu. Tayangan umumnya di seluruh Amerika Syarikat bermula pada 27 November 2019, oleh Lionsgate Films. Di Malaysia, ia ditayangkan di pawagam sehari kemudian.
Si pelaku kebaikan tetap mendapat balasan baik, sama ada di dunia atau selepas hari kebangkitan. Oleh kerana ini bukan filem Melayu Malaysia yang tentunya tidak berteraskan Islam, maka watak baik itu mendapat laba semasa masih di dunia lagi.
Marta Cabrera tiada talian darah dengan Harlan Thrombey, malah dia pendatang asing. Walau bagaimanapun, atas jasa baik dan keikhlasannya sebagai jururawat, dia lebih disayangi Harlan sehingga memperoleh semua harta orang kaya itu.
Dalam wasiat yang telah diubah seminggu sebelum kematiannya (kebetulan seminggu), Harlan mewasiatkan semua hartanya kepada Cabrera. Itu tentu sahaja mengejutkan Linda, Walter, Richard, Joni, Donna, Megan, dan Jacob.
Cabrera yang juga sangat terkejut, telah dihenyak dengan bermacam-macam tuduhan oleh adik-beradik, anak-beranak, dan ipar-duai Thrombey itu.
Siapa pun kita, yang penting ialah ketulusan hati. Cabrera masih belum memiliki dokumen yang sah untuk tinggal di Amerka Syarikat. Namun demikian, hatinya baik dan tidak pernah menimbulkan masalah di sepanjang berkhidmat. Dia dibantu oleh Harlan.
Cabrera memperoleh harta kerana dia lebih disayangi Harlan berbanding anak-anak, dan cucu-cucunya sendiri. Harlan sedih serta kecewa kerana darah dagingnya sendiri hidup berkecamuk, dan mementingkan harta benda.
Harlan yang sangat menyayangi Cabrera sanggup mengelar lehernya sendiri sehingga mati agar jururawat muda jelita itu terselamat daripada tuduhan membunuh majikan. Cabrera menyangka dia telah tersilap dos memberi ubat suntikan kepada Harlan sehingga boleh menyebabkan kematian. Harlan sanggup membunuh diri agar Cabrera terlepas. Sebenarnya, Cabrera tersalah sangka. Harlan juga tidak tahu dos suntikan Cabrera itu sebenarnya betul.
Persembahan jalan cerita dan suntingan kemas membuatkan penonton tidak menyangka kematian Harlan (meskipun membunuh diri) berpunca daripada Ransom Drysdale, cucunya (anak Linda dan Richard). Ransom yang juga digambarkan sebagai kaki perempuan itu telah mengetahui perubahan isi wasiat. Dia tidak mahu terlepas harta datuknya, lalu membuat rancangan menganiayai Cabrera. Dos ubat dijadikan ‘senjata’. Namun begitu, rancangannya digagalkan oleh Fran yang ternampak dia menukar ubat.
Ransom mengetahui tindakan Fran, lalu dia bertindak membunuh wanita itu. Dia sendiri mengaku di hadapan Blanc, Elliot, Wagner, dan Cabrera tanpa disedari.
Mungkin ada yang berpendapat penyelesaian kisah ataupun penyiasatan Blanc akan lebih menarik jika bukan menerusi penceritaan/penjelasan olehnya pada penghujung durasi. Walau bagaimanapun, apa lagi cara yang berkesan jika tidak menerusi naratif berserta imbas kembali itu? Bukankah untuk meleraikan kekusutan/merungkaikan misteri?
Dalam perfileman Melayu tempatan, saya terus teringat pada Syafiq Yusof yang menggemari penyelesaian sedemikian. Lihatlah antara filem arahannya seperti Desolasi (2016), Abang Long Fadil 2 (2017), dan Misteri Dilaila (2019).
Meskipun dipersendakan oleh Cabrera sebagai ‘penyiasat tidak boleh harap’, tetapi sebenarnya Blanc memang hebat. Dia tidak menonjol-nonjolkan kemampuannya, tetapi bertanya dan terus bertanya sambil mengawal keadaan ketika menyiasat. Dalam diam dia mengumpul maklumat, dan membuat keputusan – walaupun lucu apabila melambangkan/menganalogkannya dengan kuih donat.
Blanc dengan mudah menjawab soalan Cabrera mengapa dia menjadi sasaran penyiasatan. Sedikit kesan darah pada kasut yang jururawat itu pakai menjadi kunci. Begitu peka dan tajam penglihatannya. Jadi, tidak hairanlah Blanc terkenal dan/kerana telah menyelesaikan banyak kes rumit.
Cuma, Blanc tidak sebaik Cabrera. Dia tidak menjawab dengan jelas, tetapi boleh difahami apabila Cabrera bertanya pendapatnya wajar membantu keluarga/waris Harlan atau membiarkan. Blanc yang tahu anak cucu Harlan tidak melayan Cabrera dengan baik memberi isyarat agar jururawat itu tidak membantu.     

No comments:

Powered by Blogger.