SASTERA BUDAYA


Pelajar Sastera Relevan di Mana Sahaja

 

LEDAKAN revolusi industri 4.0 yang melanda negara sejak tahun 2018 telah menggalakkan kaedah pembelian menerusi dalam talian, dan kian rancak semasa

pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak pandemik Covid-19.

Karyawan, pengkaji, pengkritik dan peminat sastera tidak terkecuali dalam hal ini.

Dalam masa yang sama, mereka bimbang dengan kedudukan kesusasteraan tanah

air. Meskipun ramai dalam kalangan mereka menjangkakan kegelapan, tetapi masih

ada yang yakin kesusasteraan negara akan kekal relevan dalam cabaran revolusi

industri 4.0.

Antaranya ialah Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan. Sebagai panel penggubal

subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK), Prof Dr Mohamad ada hujah,

dan alasan kukuh. Hampir semuanya beliau nyatakan ketika menjadi pembicara

dalam Wacana Sastera anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP pada 24 Julai

2020 lalu, yang membincangkan soal Kesusasteraan Melayu Komunikatif

Menyantuni Era Revolusi Industri 4.0.

Dalam wacana yang dimudahcarakan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera

DBP, Abang Haliman Abang Julai di Anjung DBP itu, Dr Mohamad memberitahu

ada bekas pelajarnya yang bekerja sebagai pengurus bank. Tegas beliau, itu hasil

pengajaran dan pembelajaran dalam Kertas 3 KMK yang lebih luas bidangnya

kerana turut melihat pembangunan insan, dan pembangunan negara.

Dalam kertas itu, tambah Mohamad, pelajar membaca karya sastera yang

diwajibkan seperti novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur karya Sasterawan

Negara pertama, Keris Mas, dan Sulalat u’s-Salatin.

Menurut Mohamad, biarpun menjadi keluhan ramai kerana menyukarkan jika kurang

membaca, tetapi ia amat bermanfaat kerana aspek-aspek di luar sastera dapat

diketahui. Kertas 3 KMK yang mengandungi multimedia diminati ramai. Kaedah

menulis dan menyunting karya dengan menulis atau menaip menggunakan mesin

taip, digantikan oleh penggunaan komputer.

Pelajar, jelas Mohamad, memperoleh lebih kepakaran kerana mereka turut

mempelajari hal pengurusan, selain multimedia, dan ada kreativiti. Itu dapat

mempertingkat pengetahuan pelajar tentang KMK melalui penghayatan karya, bina

insan, dan pembangunan kreativiti berasaskan teks sastera terpilih.

Jelas Mohamad, pelajar dapat mengapresiasi karya kesusasteraan, mengkaji dan

menelusuri ilmu kesusasteraan, serta penerapan ilmu bantu; menghuraikan konsep

sastera dan pembangunan meliputi pembangunan insan, masyarakat, dan negara

berasaskan teks sastera terpilih, menghasilkan karya kreatif, menyunting karya

kreatif, menguasai dan menghuraikan prinsip pengurusan dalam organisasi sastera;

mengkaji dan memahami ilmu pengurusan dalam karya; dan menguasai serta

mengaplikasikan elemen multimedia dalam teks sastera terpilih.

Fokus utamanya ialah untuk merangsang pertumbuhan, dan perkembangan sahsiah

dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani; kepercayaan dan kepatuhan kepada

Tuhan; patriotisme, kenegaraan, nilai murni, estetik, budi bahasa, ketahanan diri,

serta keutuhan pendidikan berasaskan teks sastera terpilih, di samping menerokai

disiplin, mengkomunikasikan ilmu, penulisan kreatif, prinsip pengurusan, dan elemen

multimedia dalam sastera.

Mengenai unsur pengurusan dalam karya sastera, Mohamad memberi contoh kisah

dua orang guru besar berkonflik akibat masalah pelajar. Pelajar KMK boleh

mempelajari bagaimana konflik itu diuruskan. Mereka juga boleh melihat kisah sang

kancil dengan jin untuk mengkaji kebijaksanaan binatang tersebut menangani

keganasan jin itu yang banyak memakan binatang. Perenungan dan pembelajaran

itu boleh dimanfaatkan ketika bekerja, termasuk dalam era industri 4.0.

KMK bertujuan menggantikan Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu yang

digunakan sejak peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun

2003. Peperiksaan STPM tahun 2012 menjadi peperiksaan pertama yang

menggunakan KMK. Penggubalan KMK mengambil kira perubahan oleh Majlis

Peperiksaan Malaysia (MPM) terhadap sistem peperiksaan STPM sedia ada.

Melaluinya, pengajian di tingkatan enam dibahagikan kepada tiga penggal, dan

calon akan menduduki peperiksaan pada setiap akhir penggal. MPM

memperkenalkannya untuk memperbaiki orientasi pengajaran, dan pembelajaran di

tingkatan enam agar tidak jauh berbeza dengan orientasi pengajaran, serta

pembelajaran di kolej, dan universiti.

Dalam aspek penghayatan, jelas Mohamad, pembelajaran meneliti analisis teks

prosa dan puisi Melayu. Aspek sastera dan pembangunan pula ditelusuri melalui

teks karya agung dan novel terpilih, sementara aspek kreativiti melihat penulisan

kreatif, pengurusan, dan multimedia dalam sastera.

Mohamad berharap DBP dapat berperanan mengubah tanggapan buruk masyarakat

terhadap KMK dengan memperbaik kekurangan. Beliau juga berharap guru-guru

tidak lagi menganggap kesusasteraan tiada masa hadapan. Pelajar kesusasteraan

Melayu jangan lagi dianggap “pelajar bermata merah”. Mereka, tegas Mohamad,

boleh hidup di mana pun kerana memiliki banyak kepakaran.

 







No comments:

Powered by Blogger.