SASTERA BUDAYA


PAKSI SAMBUT HARI PUISI SEDUNIA 2021 DI BUMBUNG
























 

DATUK Dr Zurinah Hassan yang juga Sasterawan Negara (SN) ke-13, bersama-sama Yassin Salleh (pengarah filem veteran/penyair), Ahmad Shukri Abdullah (juara Deklamasi Puisi Kebangsaan 1996) antara yang diundang menjayakan ‘Baca Puisi Bumbung (IDE)’ di Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam pada 21 Mac lalu.

Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) menganjurkan acara yang disambung semula selepas terhenti sekian lama itu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan IDE.

SN Datuk Dr Zurinah menyampaikan pantun beliau, ‘Warisan Bangsa’, sementara Yassin dengan sajaknya, ‘Pokok TAP yang Direpang-repang’. Shukri pula mendeklamasikan sajaknya, ‘Kembali Muda’, dan ‘Peradaban Abad Ini’.

Presiden PAKSI, Datuk Dinsman turut hadir dan mendeklamasikan sajak beliau, ‘Bersahabat Berjuang Bersama’.

Dalam ucapan alu-aluannya sebelum itu, Dinsman menyatakan kekesalan beliau kerana sepohon pokok yang pernah dijadikan pentas untuk Teater Atas Pokok pada 16 dan 17 April 2016 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam tidak diuruskan dengan wajar hingga hampir musnah.

Pada awalnya, pokok tersebut dipilih oleh PAKSI sebagai lokasi acara menyambut Hari Puisi Sedunia 2021. Namun demikian, disebabkan oleh keadaan pokok tersebut yang amat daif, lokasi acara ditukar ke IDE.

Justeru ‘tragedi’ itu, Dinsman berharap pihak berkuasa tempatan, bukan sahaja di Shah Alam, dapat berbuat sesuatu dan menyediakan dana yang sewajarnya untuk kegiatan seni sastera budaya.

Turut menjayakan ‘Baca Puisi Bumbung (IDE)’ itu ialah penyair terkenal Ijamala MN yang mendeklamasikan sajak ‘Makbulkan Doa Kami’, Setiausaha PAKSI, Hasni Abas dengan sajak ‘Doa Pencuri’, dan ‘Ular yang Memakai Songkok’, dan Ketua Penerangan PAKSI, Mohamed Nasser Mohamed (‘Penyair Apakah Kita Ini’).

Mantan Ahli Dewan Negara, Syed Shahir, serta Ayudez Zuraina, Lim Ah Nee, dan Raja Yusof Ariffin juga hadir memenuhi undangan penganjur.

Masing-masing mendeklamasikan sajak ‘Apa Dosanya Makhluk Itu’, ‘Suara’, ‘Lautan Bukan Pemisah’ (karya Ratna Laila Shahidin), dan ‘Usah Biarkan Barah Itu’.

Dalam kalangan hadirin yang kebetulan juga penggiat seni turut dipelawa spontan mendeklamasikan sajak, iaitu Ahmad Sarju, Dr Ibrahim Ghaffar, Harlym Yeo, dan Aloy Indra Jokina.

Menariknya, ‘Baca Puisi Bumbung (IDE)’ yang diiringi Kreatif Akustika sebagai pemuzik iringan itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah.     

Dalam ucapan beliau, Borhan menghargai puisi dan ‘Baca Puisi Bumbung (IDE)’ itu yang menurutnya selaras dengan kata-kata Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapok, iaitu ‘bahasa menunjukkan bangsa’.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat itu turut menyampaikan cadangan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari mahu menganjurkan acara puisi bulanan di kediaman beliau (Menteri Besar). 

Di sepanjang acara, Kreatif Akustika mendendangkan beberapa lagu puisi dan puitis seperti ‘Doa’, ‘Kepadamu Kekasih’, ‘Nyanyian Pantai Timur’, dan ‘Srikandi Cintaku’.

 

 

No comments:

Powered by Blogger.