SOSIAL

 

 

ANGKASA HARGAI PETUGAS BARISAN HADAPAN ATM

 

 

SELAIN mangsa COVID-19 seperti pesakit serta saudara-mara mereka dirawat, dan disantuni, petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani wabak pandemik maut ini juga tidak dilupakan.

 

Sudah semestinya penghargaan dan ucap selamat sentiasa menjadi antara keutamaan kita semua yang memperoleh manfaat daripada pengorbanan mereka. Antara petugas berkenaan yang tidak mengenal penat lelah, serta siang dan malam adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang sedang menyambut Jubli Emas penubuhannya, tidak ketinggalan dalam hal mengenang budi dan memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan ini.

Bertempat di Wisma Koperasi Tentera di Kuala Lumpur pada 10 Disember lalu telah berlangsung majlis penyerahan sumbangan oleh ANGKASA kepada petugas barisan hadapan ATM sebagai memenuhi program Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) COOPCARE ANGKASA Prithatin COVID-19.

Sememangnya sumbangan tersebut bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera yang merupakan petugas barisan hadapan negara dalam mendepani krisis COVID-19 untuk memastikan keselamatan, dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terpelihara.

 

Para anggota tentera yang menerima sumbangan pada majlis tersebut juga merupakan anggota Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera).

 

Penyerahan sumbangan sebanyak 200 bungkus yang bernilai RM10,000 itu telah disempurnakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN, Dato’ Dr Abdul Fattah Abdullah. Sumbangan tersebut disampaikan kepada Pengerusi Koperasi Tentera, Mejar Jeneral (B) Dato’ Zulkiflee Mazlan.

 

Dalam ucapan beliau, Dato’ Dr Abdul Fattah mengakui sumbangan dan peranan para perajurit kita amat besar, dan disanjungi rakyat negara ini.

 

Bukan kebajikan anggota tentera sahaja yang harus dijaga, tambah Dr Abdul Fattah, malah ahli keluarga mereka perlu turut diberikan perhatian kerana risiko kepada anggota terbabit amat tinggi.

 

“Sumbangan yang diberikan pada hari ini adalah tanda ANGKASA menghargai jasa mereka, dan mengurangkan bebanan dalam menempuh fasa wabak pandemik yang masih mengancam,” tegas Dr Fattah.

 

Sejak COVID-19 melanda negara (mulai 25 Januari 2020), ANGKASA, sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan, mulai Mac 2020, telah menyantuni lebih 60,000 penerima sumbangan menerusi 106 program CSR COOPCARE yang memberi manfaat barangan asas dan kit kesihatan kepada anggota koperasi, golongan asnaf, golongan berpendapatan rendah (B40), dan miskin bandar, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, dan petugas barisan hadapan di seluruh negara.  

 

Dato’ Zulkiflee dalam ucapannya pula menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada ANGKASA atas sumbangan yang diberikan. Sebagai petugas barisan hadapan, katanya, penghargaan penuh bermakna dan berharga yang diterima itu turut menaikkan semangat untuk terus berbakti kepada rakyat, dan negara tercinta.

 

Sementara itu, seiring dengan 50 tahun penubuhannya, ANGKASA akan terus memperjuang hak dan kepentingan gerakan koperasi, serta komited menerajui dan melaksanakan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 agar ia terus berdaya maju dalam menghadapi cabaran masa hadapan, serta berperanan sebagai alat pengagihan ekonomi yang adil demi kesejahteraan semua.

 

Setakat ini, ANGKASA telah melaksanakan program transformasi perniagaan dan keusahawanan koperasi dalam sektor perniagaan berimpak tinggi seperti kewangan, pertanian dan industri asas tani, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, perladangan, hartanah dan industri binaam, inovasi dan teknologi, serta pembangunan komuniti.   

 

Sehingga Jun 2021, ANGKASA berjaya menaungi 14,657 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan individu kira-kira 7.04 juta orang, jumlah modal syer/yuran sebanyak RM16.3 bilion, dan jumlah aset RM152.1 bilion. Perolehan gerakan koperasi mencatat RM41.5 bilion sehingga 31 Disember 2020 (sumber statistik: Suruhanjaya Koperasi Malaysia).

No comments:

Powered by Blogger.